KUALA BESUT, PERLUKAH CIPTA SEJARAH?

Tidak semena-mena Kuala Besut menjadi sebutan, itu pun selepas tidak sampai dua bulan selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei yang lalu. 

Benarlah kata orang takdir selalu mengatasi tadbir.  Kuasa dan kehendak Allah SWT, tiada siapa yang boleh menghalang.  Selepas kepergian Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar  yang sedang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N1 Kuala Besut bagi penggal kedua, pilihanraya kecil perlu diadakan.

Ironinya, kedudukan DUN Trengganu pasca PRU-13 adalah pada kedudukan 17 kerusi oleh Barisan Nasional berbanding 15 kerusi oleh pakatan pembangkang.  Pada 24 Julai nanti, rakyat Kuala Besut atau yang lebih tepat para pengundi Kuala Besut akan menentukan hidup dan mati kedudukan  Menteri Besar Trengganu, Datuk Ahmad Said. 

Walaupun PAS menyatakan mereka tidak berminat untuk kerusi MB namun mana mungkin mereka melupakan ‘lubuk emas’ yang pernah mereka terajui dari tahun 1999 – 2004 selepas berjaya merebut negeri itu pada pilihanraya umum yang ke-10 pada tahun 1999.  Alasan dalam kempen kononnya mereka tidak berminat dengan kerusi MB hanyalah retorik untuk memperdaya para pengundi Kuala Besut.

Trengganu yang sedang menikmati durian runtuh daripada agihan wang ihsan juga tidak sunyi dengan deretan ‘keruntuhan’ struktur fizikalnya, malah keputusan pada PRU yang lepas juga hampir-hampir meruntuhkan BN di Trengganu.

DUN Kuala Besut terletak dalam Parlimen P33 Besut yang dimenangi oleh mantan Menteri Besar dan kini menjadi Menteri Pendidikan, sebenarnya adalah salah satu daripada empat kawasan DUN dalam Parlimen P33 Besut.

DUN yang lain dalam P33 Besut adalah DUN Kota Putera, DUN Hulu Besut, dan DUN Jertih.  Namun apa yang jelas dengan limpahan pelbagai projek segera di Kuala Besut sempena pilihanraya kecil pada 24 Julai, siapa sahaja boleh menduga bahawa DUN N1 Kuala Besut adalah yang paling tertinggal daripada arus pembangunan dan kemodenan. 

Entah apa malangnya DUN N1 Kuala Besut begitu ketinggalan berbanding tiga DUN yang lain, adakah kerana amalan Menteri Besar Trengganu Datuk Ahmad Said yang berpilih-pilih dalam melaksanakan pembangunan di Trengganu  atau adakah label Allahyarham Dr.  A. Rahman Mokhtar sebagai ‘budak baik’ yang sentiasa akur kepada keputusan pucuk pimpinan sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Mungkin takdir Allah SWT untuk memberikan limpahan pembangunan di Kuala Besut supaya seimbang dengan tiga lagi DUN dalam P33 Besut, atau juga sedang menghantar isyarat bukan sahaja kepada para pengundi di Kuala Besut tetapi juga kepada pucuk pimpinan di peringkat negeri dan pusat supaya melaksanakan pembangunan dan arus kemodenan secara berimbang di semua tempat secara konsisten.

Walau apapun para pengundi N1 Kuala Besut yang memberikan kemenangan dengan majoriti 2,434 kepada Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar yang menentang calon PAS Napisah Binti Ismail yang memperolehi 6, 475 undi dalam PRU yang lepas, kini berpeluang untuk melakarkan sejarah bagi menjadikan kedudukan kerusi DUN seimbang pada masing-masing 16 kerusi.  Namun harus diingat implikasi daripada kedudukan tergantung seperti ini akan pula berpanjangan dengan kemungkinan paling serius ialah pembubaran DUN Trengganu dan memaksa Pilihanraya Negeri.

Pada PRU yang lalu, P33 Besut dan 4 DUN di dalamnya dimenangi oleh Barisan Nasional dan DUN N1 Kuala Besut adalah yang paling tinggi majoritinya berbanding tiga lagi DUN yang lain.

Adakah para pengundi Kuala Besut mahu menjadikan Kuala Besut sebagai ‘test tube’ atau bahan uji bagi melihat kemungkinan yang sama seperti yang berlaku di Perak pada tahun 2009, apabila terdapat ADUN yang menjadi ‘katak’.


Para pengundi Kuala Besut harus bijak membuat percaturan serta tidak begitu mudah terpengaruh dengan ungkapan manis seperti ‘tidak berminat untuk menjadi MB’ dan yang sewaktu dengannya!  Selamat menjadi penentu pada 24 Julai nanti!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
pengundi KB patut cipta sejarah titik
Tanpa Nama berkata…
mat said patut dinyah..
Tanpa Nama berkata…
tidak salhnya 16-16..baru bn tau langit tinggi rendah..
SIS berkata…
Kuala Besut dicadangkan ciptalah sejarah..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?