ANGGUR & AYAM

Negara kita bukanlah pengeluar buah anggur, tidak seperti penghasil beras dan minyak.  Namun jika disebut ayam, negara kita merupakan antara yang aktif menghasilkan ayam, malah terdapat syarikat-syarikat besar yang menumpukan usaha menternak ayam secara komersil dalam skala yang besar.

Namun dalam musim perayaan seperti ini, antara yang diungkapkan dalam siaran televisyen yang cenderung menjaga hati kerajaan berbanding melaporkan situasi yang sebenarnya ialah “harga ayam masih di paras yang rendah”, ungkapan yang menjadi bahan lawak hatta anak saya yang belum mengenal alam persekolahan.

Apa tidaknya, ungkapan klise semacam itu, menjadi momokan.  Pergilah ke mana sahaja pada masa menjelang perayaan seperti sekarang, jika anda tidak tabah dan tidak mempunyai jantung yang kuat, lupakanlah hasrat untuk bertanyakan harga sekilo ayam.  Jawapannya pasti akan membuat anda tersentak, dan mungkin dalam hati kecil bertanya tidakkah kementerian atau menteri yang berkaitan dengan isu-isu harga berbuat sesuatu yang lebih menyakinkan, selain daripada membuat laporan-laporan ‘penyedap hati’!

Memang ayam termasuk dalam senarai barang-barang kawalan khususnya menjelang perayaan seperti sekarang, tetapi sekadar menyelitkan harga ayam dalam senarai tanpa ada usaha membendung kenaikan harganya, tidak memberikan sebarang makna.

Kementerian bertukar, menteri bertukar namun masalahnya adalah sama, alasan yang kerap diberikan adalah ‘permintaan meningkat’.  Kini kementerian yang bertanggungjawab perihal ayam dan pelbagai keperluan harian rakyat Malaysia diterajui oleh Menteri yang baru pula.  Khabarnya, beliau akan mengumumkan formula ‘menang-menang’ yang bakal menggembirakan semua pihak dalam sehari dua ini.

Kementerian Pertanian pula khabarnya telah memberikan kebenaran mengimport ayam daripada luar kepada 34 buah syarikat bagi mengimport ayam daripada negara-negara seperti China, Thailand, Australia dan negara Kesatuan Eropah (EU).

Harga ayam pula dikhabarkan mencecah RM10 sekilogram dan antara yang paling tinggi dalam sejarah harga ayam di negara ini.  Tentulah seronok membaca rekod-rekod sesuai dengan semangat Malaysia Boleh, namun bukankah rekod ini juga menunjukkan bagaimana kementerian atau kerajaan dilihat tidak tegas dan tidak cekap serta tidak bersungguh-sungguh mempertahankan rakyat dan dilihat seolah-olah lebih menyebelahi golongan peniaga.


Alasan terbaru yang diberikan adalah kenaikan harga ayam adalah kesan daripada kenaikan bahan makanan ayam!  Nampaknya anggur yang tidak ditanam secara komersil lebih murah daripada ayam yang diternak secara komersil, tunggu siapa yang kena.  Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
harga memmilh BN=barang naik..
Tanpa Nama berkata…
hi hi hi..analogi yang menarik..
SIS berkata…
jgn beli ayam cucuk..ayam cucuk ni seekor bleh cecah sampai RM20 sbb harga sekilo yg meningkat...bila ada menteri kata jgn beli ayam sampai harga turun..bleh ke?..bila anak2 nak mkn ayam terpaksa juga dibeli..bli ayam pencen @ ayam kampung je...stakat ni ayam pencen masih RM8.50 seekor dan ayam kampung RM12 seekor...
SIS berkata…
klau betul pun harga mknan ayam meningkat..nape masa nak raya je jd camtu..auta je lebih..nak ambil kesempatan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?