TENTERA KACANG MERAH – DONGENG BARU 1MALAYSIA?

Jika anda seorang penulis cerita kanak-kanak, anda tidak perlu menghadiri seminar atau bengkel penulisan berhari-hari lamanya atau menghabiskan ratusan atau ribuan ringgit.  Apa yang perlu ialah membaca akhbar-akhbar arus perdana di  Malaysia untuk mendapatkan idea penulisan.  Ini kerana tugas mencerna idea telah diambil oleh wartawan dan editor akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia.

Yang terbaru adalah mengenai tentera kacang merah, yang selalu dilihat mengenai kacang merah adalah ketika membeli roti sama ada roti kaya, roti kelapa atau kacang merah.  Khabarnya akhbar-akhbar arus perdana berebut-rebut untuk mendapatkan skop mengenai tentera kacang merah yang kononnya dikawalselia oleh parti DAP.

Dikhabarkan pula tentera kacang merah ini dibayar gaji bulanan yang tetap dan DAP membelanjakan sehingga RM1.5 juta sebulan untuk imbuhan tentera kacang merah ini.  Tentera kacang merah dikhabarkan bergerak di alam siber dengan misi utamanya untuk menggulingkan kerajaan dengan bantuan dana pihak tertentu. 

Tentera kacang merah dikatakan ditaja oleh DAP dan antara lain ditugaskan menyerang mana-mana tokoh politik, perniagaan, selebriti serta siapa sahaja yang dilihat sebagai ‘mesra BN’  melalui media alternatif seperti blog, facebook, twitter dan youtube dan matlamat akhirnya membangkitkan kebencian pengundi Cina.

Laporan akhbar-akhbar arus perdana menggambarkan bahawa tentera kacang merah juga ditubuhkan untuk mencipta penipuan, memanipulasi fakta serta menyuntik kebencian terhadap kerajaan malah mereka ini dibayar gaji tetap sebanyak RM3000 sebulan sejak enam tahun yang lalu.

Soalnya sehingga kini, tiada siapa atau mana-mana akhbar arus perdana yang mendakwa mengenai kewujudan tentera kacang merah mempunyai bukti yang konkrit mengenai hal ini, jika pun benar dakwaan wujudnya tentera kacang merah sejak enam tahun lalu, akhbar arus perdana yang mendakwanya tentulah sebuah entiti yang tidak bertanggungjawab dan tidak berusaha mendedahkan lebih awal lagi.

Malah pihak polis dan risikan yang dianggap antaranya yang terbaik di rantau Asia tentulah merasa malu apabila hal ini tidak dapat didedahkan lebih awal dan hanya dilaporkan oleh akhbar sahaja. 

Jika dikira jangkamasa enam tahun DAP membiayai tentera kacang merah ini dengan biaya RM1.5 juta sebulan, mereka memerlukan RM108,000,000.00 untuk membiayainya sejak enam tahun yang lalu, satu jumlah yang dianggap mustahil oleh sebuah parti pembangkang di Malaysia.  Walaupun dikhabarkan sipolan dan sipolan membiayainya namun sehingga kini, tiada satu pun bukti konkrit berhubung dakwaan ini.


Lain pula bagi parti seperti UMNO atau gabungan dalam BN, jumlah itu hanyalah satu jumlah yang kecil kerana jika DAP dikhabarkan membelanjakan RM108 juta, tentulah boleh dibayangkan bagaimana BN membelanjakan begitu banyak dalam membiaya rakan-rakan siber mereka yang ditugaskan untuk membentuk perspektif dan imej positif BN dan UMNO.   Mengata dulang paku serpih, mengata orang tentulah awak yang lebih!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mungkin juga betull. tapi yg lebih betul jika dap belanja rm108 juta, ubn tentulah belanja rm1.08 billiuon hi hi.hi..
Tanpa Nama berkata…
hanya penyamnun yg tahu pasal pemnyamun yang lain..
barajiwa berkata…
Ada satu soalan. Kita BIARKAN segala perbuatan seperti ini bermaharajalela kerana regime ini berkuasa melakukannya?

Sampai bila kita perhatikan, baca dan ulas perbuatan regime ini? Setelah segalanya rosak binasa?

Kita berpeluk tubuh? Atau meminjam sebaris puisi ikonik Wiji Tukul,"Hanya satu kata:Lawan" dalam sajaknya, "Peringatan"?

Jawapannya dengan kita semua.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?