SURUHAN & BELASAHAN

Sesuai dengan semangat Malaysia Boleh, di negara kita pelbagai anugerah dan rekod dicatatkan, daripada rekod kuih gulung terpanjang sehingga menghasilkan donut oleh sebuah universiti antarabangsa, semuanya dilakukan oleh rakyat Malaysia.  Sebutlah sahaja apa rekod yang tidak ‘direkodkan’ oleh rakyat Malaysia.

Selepas 13 kali Pilihanraya Umum diadakan di negara ini, inilah pertama kali badan yang dimandatkan untuk mengendalikan pilihanraya umum di negara ini dihentam dengan teruk, malah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang diketuai oleh Pengerusi, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalanya menjadi ‘belasahan’ sebahagian rakyat yang tidak puas hati dengan perjalanan Pilihanraya Umum ke-13 yang baru lalu.

Rupanya selama 12 kali Pilihanraya Umum dan puluhan Pilihanraya Kecil kini semakin diragui, malah petikan dasar di laman sesawang SPR yang berbunyi seperti ini juga seperti momokan.

“Dasar Suruhanjaya Pilihan Raya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya bagi memastikan rakyat dapat memilih wakil-wakil mereka melalui undian terus dalam setiap pilihan raya”.

Misi SPR pula Mendukung Sistem Demokrasi Berparlimen Dan Menjamin Hak Rakyat Untuk Memilih Wakil Mereka.  Dengan Mengurus, Mengawal Selia Dan Mengendalikan Pilihan Raya Secara Adil Dan Bebas.”
Visi SPR pula digariskan seperti ini Menjadi Sebuah Institusi Demokratik Yang Cemerlang Dan Mendapat Kepercayaan Rakyat”.
Masalahnya tidakkah SPR sedar bahawa kini mereka tidak lagi menjadi badan yang dipercayai, contoh yang paling jelas adalah berkaitan dakwat kekal yang tidak kekal!  Maka sewajarnyalah semua ahli SPR terutamanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi meletakkan jawatan kerana jelas mereka tidak menepati apa yang mereka sendiri laungkan.
Daripada tujuh Pengerusi SPR setakat ini, hanya Pengerusi yang terkini, yang mula memegang jawatan pada 31 Disember 2008 dikecam begitu hebat, malah tidak pernah dalam sejarah negara siri perhimpunan dan pertelagahan mengenai lokasi untuk berhimpun yang dirancang semata-mata bagi menyatakan ketidakpuasan hati bukan sahaja mengenai SPR malah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahlinya.
Walaupun SPR terus-terusan dikecam sejak himpunan Bersih yang pertama pada November 2007, namun desakan untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi serta ahli-ahlinya tidak pernah senyaring dan biadap seperti pada masa sekarang.
Jika diteliti rekod perkhidmatan Pengerusi SPR sehingga kini hanya seorang sahaja daripada Pengerusinya mempunyai nyawa perkhidmatan yang singkat, iaitu Dato’ Haji Omar Md. Hashim yang mula memegang mandat sebagai Pengerusi pada 21 Jun 1999 dan ditamatkan perkhidmatan beliau pada 11 November 2000.  Usia perkhidmatan beliau tidak pun mencapai sehingga dua tahun. 
Hal ini mudah diterka, sebagai seorang yang aktif dalam dunia pendidikan tentulah sukar bagi beliau melaksanakan tugas-tugas dan menjadi ‘suruhan’ pihak atasan.  Tambahan pula ketika menjadi Pengerusi SPR, Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk yang kedua selepas Pilihanraya Umum pada tahun 1969. 
Mungkin selepas ini, Pengerusi SPR pada masa ini akan menjadi pengerusi kedua yang nyawa perkhidmatannya menjadi singkat, iaitu kurang lima tahun.
Blackout 505 yang menjadi titik menyatakan ketidakpuasan hati kini memuncak dengan cadangan melakukan perhimpunan yang besar di Kuala Lumpur yang pada mulanya dicadangkan pada 8 Jun, kemudiannya diubah kepada 15 Jun dan akhirnya ditetapkan pada 22 Jun, namun lokasi yang dicadangkan di Padang Merbok pula ditolak oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sesuai pula dengan ‘suruhan’ nampaknya Suruhanjaya Pilihanraya semacam merelakan diri mereka menjadi suruhan pihak atasan serta pihak yang melantik mereka, walaupun jelas mereka sebenarnya telah memperdaya dan merapuhkan amanah yang diberikan kepada mereka.


Nampaknya, jika ada rekod ‘muka dan telinga paling tebal’, rekod ini akan dengan mudah dimenangi oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi serta ahli-ahli SPR pada masa ini!   

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju, dah nama pun suruhan!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?