KOWTIM GAYA MALAYSIA

Dulunya disebut ‘I scratch your back, your scratch my back’, kemudian Perdana Menteri memperkenalkan ungkapan ‘I help you, you help me’.  Semua ini mempunyai konotasi negatif atau positif mengikut tafsiran masing-masing.

Minggu ketiga Mei yang lalu, selepas bahang pilihanraya kian surut, negara digemparkan dengan perkahwinan bawah umur.  Perkahwinan bawah umur bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia, tetapi perkahwinan yang dimaksudkan yang dilangsungkan oleh Riduan Masmud, pengurus restoran di Sabah dan seorang gadis berumur 13 tahun, sebenarnya adalah mangsa rogol.

Khabarnya, mangsa dirogol dalam sebuah kereta dan laporan dibuat oleh makcik gadis tersebut.  Selepas beberapa waktu, pada 22 Mei lepas, ketika membicarkan kes rogol tersebut, dimaklumkan pula bahawa tertuduh dan mangsa telah melangsungkan perkahwinan dan keluarga gadis tersebut telah pun menarik balik laporan polis.

Hari ini, Riduan Masmud dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan ‘mengkowtim’ bapa mangsa rogol bagi menarik balik tuduhan rogol terhadapnya.  Riduan dituduh merasuah RM5000 kepada bapa mangsa.

Kisah kowtim bukanlah baru di Malaysia, malah telah menjadi bualan umum dan perkara yang dianggap lumrah, apa tidaknya, daripada sekecil-kecil ‘kowtim’ hinggalah kepada sebesar-besar ‘kowtim’ politik seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri ‘I help you, you help me’.

Ketika kes Dhamendran yang mati ketika ditahan di dalam lokap tempohari, khabarnya pegawai-pegawai Jabatan Perdana Menteri di bawah Menterinya yang baru Senator Paul Low telah menghubungi keluarga mangsa dan khabarnya menawarkan kerjasama kepada keluarga mangsa.  Namun  yang menjadi persoalan adalah permintaan untuk tidak menghebahkan pertemuan dan saranan menukarkan peguam, tentulah mengundang persoalan yang bukan sedikit.  Apakah sedang berlangsung sesi ‘kowtim’ dalam kes ini?

Dalam sebuah kes lain yang dilaporkan dalam akhbar The Star, seorang wanita yang membuat laporan polis mengenai tindakan bekas teman lelakinya merakam ‘gambar intim’ mangsa dan dua orang rakannya, yang kemudiannya dipanggil oleh polis dan diminta untuk memadamkan gambar di hadapanya, walaupun mangsa meminta polis menyiasat orang yang dilapor namun polis tersebut hanya meminta mangsa ‘to forget and let him go’.

Malah dalam kes ini, dikhabarkan pula pegawai polis tersebut mencadangkan supaya orang yang dilapor untuk membuat laporan polis supaya tidak disabitkan kesalahan jika gambar-gambar tersebut tersebar selepas ini.

Tentulah tidak adil untuk menuduh apa-apa dalam kes pegawai polis yang mengendalikan aduan mengenai gambar intim seperti yang dilaporkan, namun bukannya sukar pula untuk menyabitkan unsur-unsur ‘kowtim’ dalam situasi seperti ini!

Seorang kenalan saya yang membuat laporan polis mengenai kes kecederaan akibat dipukul oleh saudara bekas isterinya masih berterusan menunggu siasastan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) sejak awal 2012 sehingga memaksa beliau menulis surat kepada pihak-pihak yang lebih tinggi termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.

Khabarnya kes tersebut telah ditutup di peringkat balai polis lagi dan pihak SIAP terpaksa melakukan siasatan, namun sehingga kini tiada tangkapan oleh polis terhadap orang-orang yang bertindak mencederakannya.

Laporan polis mengenai seorang yang cuba mencederakan saya yang dibuat juga masih tiada apa-apa tindakan, kerana tiada sebarang panggilan daripada pihak polis atau adakah pihak polis tidak memerlukan penjelasan saya mengenai laporan polis yang dibuat, bukankah sebagai pelapor sesuatu aduan kita berhak dimaklumkan sebarang perkembangan apatah lagi laporan tersebut adalah mengenai cubaan untuk ‘mencederakan’ seseorang.

Mungkin pihak polis mempunyai alasan khusus mengenai cara dan kaedah mereka melakukan siasatan namun jika tiada sebarang maklum balas tentulah akan ada tanggapan bahawa sipolan atau sipolan yang dilapor yang mempunyai ‘hubungan’ istimewa dengan pihak polis telah memudahkan kerja polis dan hanya melaporkan ‘kes ditutup’!  Harap-harapnya tiada unsur ‘kowtim’ dalam kerja-kerja polis!


(Nota Kaki: Kowtim adalah sebahagian daripada latihan ‘perhubungan awam’ yang berjaya!)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kowtim=rasuah=barah...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?