HARI BAPA & KE-500

Jika allahyarham bapa saya masih hidup, dia mungkin berumur sekitar 80 tahun, namun usianya tidak panjang dan meninggal dunia sewaktu mencapai usianya hampir 60 tahun.  Namun jika dia masih hidup, dia juga akan sedikit kecewa dengan saya kerana jelas saya banyak mewarisi sikap dan pendiriannya.

Apa tidaknya, ayah saya sewaktu hayatnya seorang yang tegas, kuat bekerja malah tidak pernah tunduk kepada tekanan dan kelihatannya sebagai seorang ‘pejuang’ dalam konteksnya tersendiri.  Ketika saya di sekolah menengah dan terdedah kepada bacaan ‘biografi’ di pusat sumber sekolah, pengamatan saya terhadap hidup juga berubah, malah kadang kala menjadi terlalu berani dan bersikap.

Ramai yang mengenali saya sewaktu bersama allahyarham ayah saya juga tidak percaya malah sehingga kini seakan sukar mempercayai laluan hidup yang saya tempoh selama ini.  Apa tidaknya sehingga berada di sekolah menengah pun, saya masih takut kepada polis yang bertandang ke kedai ayah saya untuk minum petang.  Malah melalui di hadapan balai polis pun amat menggerunkan saya.

Sesuatu yang saya sendiri tidak menjangka adalah ‘keberanian’ luar biasa saya mengharungi hidup dan tidak mudah mengalah, walaupun sewaktu kecil dan masih bersama allahyarham ayah saya, saya setiap hari akan ‘menangis’ hatta jika ditanya ‘hari ini tak nangis ke’. 

Walaupun, saya hanya hidup sekitar 15 tahun bersama allahyarham ayah saya, namun jangkamasa tersebut menjadi satu fasa hidup yang amat bermakna, berwarna-warni dan menyeronokkan.  Menjadi anak manja kerana dua sebab, kerana saya yang paling kecil tinggal bersama ayah saya dan situasi penyakit lelah saya sejak dari usia kecil lagi.

Malah dalam banyak keadaan saya adalah anak yang paling banyak ‘menghabiskan’ wang ayah saya, kerana dihantar belajar dan juga kerana sering berubat.  Kini selepas berkeluarga dan mempunyai anak sendiri, barulah faham bagaimana perasaan dan hati seorang ayah. 

Sebagai seorang ayah saya mungkin merasa agak ‘menyesal’ dengan beberapa tindakan yang saya lalui dan lakukan, namun itu adalah kerana sifat idelistik dan jiwa muda yang dilalui oleh siapa sahaja ketika melalui fasa usia mudanya.

Tulisan ini adalah entri ke lima ratus dalam blog saya dan didedikasikan kepada semua bapa, bakal bapa dan dedikasi khusus untuk Allahyarham ayah saya, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh, InsyaAllah, Amin.  Al- Fatihah. 


Terima kasih kerana melahir dan membesarkan saya dengan segala nikmat sebagai seorang anak!  Selamat Hari Bapa.
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

anep
16 Jun 2013 9:36 PG

selamat hari bapa tuan ks. tahniah juga kerana entri yang ke500 harap2 akan dibukukan sekurang-kurangnya pilihan entri2 menarik untuk dokumentasi dan renungan generasi akan datang...

Tanpa Nama
16 Jun 2013 10:33 PG

SELAMAT HARI BAPA & TAHNAIH KERANA ENTRI KE500 SEMOGA AKAN TERUS BERKARYA..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger