MERITOKRASI: TIBA-TIBA ORANG MELAYU TERSEDAR!
Pasca Pilihanraya Umum 2013 yang
kononnya menyaksikan ‘tsunami Cina’ apabila kaum Cina dikatakan tidak begitu
menyumbang dalam kemenangan Barisan Nasional, orang Melayu dan pemimpin Melayu
tiba-tiba tersedar dari lena yang panjang.
Apa tidaknya, mantan Ketua
Menteri Melaka yang secara peribadi dan rasmi seorang yang kuat bekerja,
menyokong semua kaum termasuk kaum Cina di negerinya apatah lagi di kawasan
beliau sendiri, tiba-tiba tersungkur sehingga beliau mengungkapkan ‘kaum Cina
tidak mengenang budi’.
Apabila meritokrasi diperkenalkan
ketika tahun-tahun akhir Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, saya telah
membuat kesimpulan bahawa Dr. Mahathir sebenarnya ‘seolah-olah’ sedang
menganiyai bangsa Melayu sendiri.
Pemimpin Melayu menganiya bangsanya sendiri. Walaupun
kewajaran ketika melaksanakan dasar meritokrasi, ianya adalah sebagai
satu kaedah bagi menyedarkan kaum Melayu yang sedang lena dalam ‘zon selesa’,tidak
lebih dari itu malah dikatakan hanya bersifat ‘sementara’.
Selepas hampir sedekad
diperkenalkan dasar meritokrasi pada tahun 2002, yang pada ketika itu majoriti
orang Melayu seperti tidak mempertikaikan tindakan Dr. Mahathir yang pada saya
merupakan satu lagi ‘malapetaka’ dan ‘bala’ kerana orang Melayu sekali lagi
dijadikan bahan eksperimen atau ‘tikus-tikus makmal’ oleh para pemimpin mereka
sendiri.
Bukan saya tidak menyokong dasar
meritokrasi yang diperkenalkan itu, namun pelaksanaan ‘lurus bendul’ oleh
pentadbir institusi pengajian tinggi awam di negara ini sangat membimbangkan,
apa tidaknya dasar meritokrasi yang diperkenalkan sebenarnya bagus namun ianya
seharusnya mengikut ‘acuan’ kita sendiri, yakni melihat senario negara dan
bukannya pelaksanaan secara ‘lurus bendul’!
Selepas pelaksanaan dasar
meritokrasi, dilaporkan pula penurunan drastik kemasukan pelajar Bumiputera di
Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) malah lebih mengecewakan dalam
kursus-kursus kritikal, seperti kejuruteraan, sains, perubatan dan sebagainya.
Sikap ‘ambil hati’ ahli-ahli
parti yang merasakan apa sahaja yang dilakukan oleh para pemimpin mereka
sebagai betul atau sikap ‘batuk’ apabila pemimpin mereka ‘batuk’ adalah satu
tindakan yang merugikan bangsa, apatah lagi jika para pemimpin mereka begitu
ghairah untuk menjaga hati kaum-kaum lain dan mengguris perasaan kaum yang
memilih mereka dan yang mereka wakili.
Statistik selepas sedekad jelas menunjukan dasar meritokrasi yang
dilaksanakan secara ‘lurus bendul’ kini telah mengurangkan dan menjadikan orang
Melayu lebih ketinggalan, anak-anak Melayu lebih ketinggalan, penghasilan golongan
professional Melayu juga makin menurun kerana kekurangan kemasukan anak-anak
Melayu dalam kursus-kursus kritikal.
Kini timbul desakan bagi
menghapuskan dasar meritokrasi malah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) juga mahu dikaji semula di atas alasan bahawa dasar
mengubah pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang yang mendapat Ijazah
Kelas Pertama Kepujian sebenarnya tidak menguntungkan bangsa Melayu, ini kerana
mereka yang layak sebenarnya tidak sampai 10% daripada yang diberikan
keistimewaan ini.
Semalam telah berlangsung “Konvensyen
Pendidikan Melayu & Bumiputera: Meritokrasi – Di mana kedudukan anak-anak
kita?” yang dihadiri hampir 1200 orang
daripada kalangan cendikiawan, para pemimpin dan generasi muda.
Konvensyen sempena ulangtahun
ke-44 Yayasan Pelajaran Mara seolah-olah sebagai satu ‘wake-up call’ orang Melayu kepada para pemimpin mereka terhadap
dasar-dasar yang bukan sahaja tidak menguntungkan orang Melayu malah
meminggirkan Perkara 153 dalam Perlembagaan yang jelas mengenai keistimewaan
orang-orang Melayu yang termaktub di dalamnya.
Mungkin selepas ini orang Melayu
tidak perlu sekadar menjadi ‘pak turut’ malah menyokong secara membabi buta
atau melaksanakan sesuatu dasar secara ‘lurus
bendul’ apatah lagi kepimpinan tertinggi negara di pegang oleh orang Melayu,
kepimpinan tertinggi institusi pengajian tinggi awam juga diterajui oleh orang
Melayu malah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga diketuai oleh orang
Melayu, namun dengan pelaksanaan dasar-dasar tanpa mengikut acuan kita sendiri,
sebenanya lebih merugikan orang Melayu.
Selepas 10 tahun,
sekurang-kurangnya kita tersedar, mungkin selepas ini orang Melayu dan pemimpin
Melayu memerlukan lebih banyak ‘wake-up call’, sekurang-kurangnya seperti
pepatah bahasa Inggeris, better late than
never!
Ulasan