KEMBARA BAHASA 2012 – HARI PERTAMA


Pada awalnya dikhabarkan bahawa majlis perlepasan Kembara Bahasa 2012 akan berlangsung di Kota Singa, iaitu di Woodlands, dan bagi yang tidak mempunyai paspot khabarnya akan diuruskan ‘pas berkelompok’.

Pesanan ringkas daripada pihak penganjur pada malam sebelumnya ialah supaya berkumpul pada jam 5 pagi untuk bertolak ke majlis perasmian.  Namun begitu apabila saya terjaga kerana dahaga, pesanan ringkas yang saya terima sekitar jam 1.30 pagi memaklumkan supaya berkumpul di lobi hotel pada jam 7.30 pagi kerana urusan ‘pas berkelompok’ tidak dapat dilakukan, kerana peraturan Imigresen Singapura ialah memohon dua minggu sebelum tarikh masuk.

Perjalanan Kembara Bahasa 2012 pada hari pertama saya bermula di Stesen Keretapi Johor Sentral, pada jam 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur.  Selepas sesi suai kenal oleh setiap peserta seramai 40 orang, sesi berikutnya ialah penciptaan puisi yang dibimbing oleh ‘sifu’ Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, nama yang tidak asing dalam dunia kepuisian tanah air.

Dibimbing dalam keretapi yang sedang bergerak dengan pemandangan berubah setiap saat, dengan hentian di stesen-stesen yang dilalui rupanya mencambah ilham yang bukan sedikit.  Berkongsi pengalaman, ‘sifu’ Dr. Lim Swee Tin menceritakan bagaimana sajak ‘Kisah Dalam Ribut’ karya SN Datuk Usman Awang mengesankan beliau.

Saya pula teringat sajak yang paling mengesankan saya adalah sajak ‘Songsang’  oleh A. Latif Mohidin yang termuat dalam buku ‘Titian Zaman’ yang digunakan sebagai teks komsas ketika itu.
Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan seperti hari ini

Selepas hampir dua jam memberikan ‘kuliah’ dalam gerabak keretapi, selepas makan tengahari, sesi terakhir pada hari ini adalah sesi mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

Sesuai dengan pengalaman luas dalam dunia kepuisian, Dr. Lim memberikan dua teknik yang ‘mudah’ bagi menghasilkan sajak. 

Teknik aksara dan teknik fokus kemudian diterjemahkan dalam tindak tanduk yang sebenarnya.  Tanpa menyedari dengan berpandukan dua teknik tersebut, para peserta kembara yang sebelum ini tidak mampu atau tidak pernah menghasilkan puisi telah berjaya ‘melaksanakan’ tugasan dengan menghasilkan tujuh buah sajak dalam tempoh yang singkat!

Seronok berpuisi dengan ilmu yang baru dipelajari, rupanya telah menghampiri hentian Kuala Lumpur Sentral, destinasi terakhir untuk hari pertama sebelum berlabuh di Wisma Belia, bagi acara seterusnya pada malam hari di Dewan Bahasa dan Pustaka.  

Ulasan

SIS berkata…
pengalaman yg brharga ye tn..best2..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?