GURU KENCING BERDIRI, MURID KENCING BERLARI?


Ketika awal kerjaya, saya pernah terlibat dalam dunia keguruan, pada mulanya di sebuah pusat tuisyen di pinggir Kuala Lumpur.  Kerana minat dan dorongan membantu para pelajar, saya bertahan selama lebih 6 tahun dengan kerjaya perguruan saya yang terakhir adalah sebagai guru komputer disebuah sekolah berasrama penuh di ibu kota.
Minat dan keghairahan terhadap dunia keguruan memang menambat saya.  Apabila Perdana Menteri melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 pada 11 Septemberyang lalu, kelihatannya banyak yang perlu diperbaiki di dalam sistem pendidikan negara. 
Sebanyak 11 anjakan telah digariskan,antaranya adalah anjakan ke-4: Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan.
Sebagai seorang yang bergelumang dengan warga pendidik dan dunia pendidikan (dalam cara saya sendiri) sebenarnya kepincangan dan kelemahan di dalam sistem pendidikan bukanlah begitu meruncing malah saya beranggapan bahawa dengan situasi semasa sekurang-kurangnya misi pendidikan kita masih berada di landasan yang tidak membimbangkan kecuali perlu beberapa penambahbaikan.
Dunia pendidikan berkisar kepada dua elemen utama, seperti juga sebuah komputer yang didalangi oleh ‘software’ dan ‘hardware’ – perisian dan perkakasan.  Sekolah adalah terdiri daripada para pelajar dan pengajar.  Jika pengajar diperkasa dan maka tidaklah akan menjadi realiti ungkapan ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’!
Buatlah pelbagai pelan dan program pemerkasaan, namun apa yang pasti adalah usaha pemerkasaan warga guru haruslah menjadi satu keutamaan, kerana gurulah sebenarnya acuan pembentuk para pelajar,lebih-lebih lagi pada zaman internet dan dunia tanpa sempadan yang memungkinkan para pelajar lebih arif mengenai sesuatu perkara berbanding para guru.
Ketika menghadiri sebuah konvensyen melibatkan ribuan guru muda di Shah Alam pada tahun lepas, saya pernah berbisik kepada teraju utama kementerian berkenaan dengan mengatakan bahawa hampir 90 peratus para pelatih guru yang menghadiri konvensyen tersebut sebenarnya tidak layak terlibat di dalam dunia keguruan kerana ketiadaan minat dan keghairahan untuk menjadi seorang pendidik yang dedikasi dan berwibawa.  Malah tidak mempunyai sikap yang betul sebagai pendidik.
Hasrat Kementerian Pelajaran hanya mengambil bakal guru daripada kalangan pelajar yang bijak dengan deretan A, sebenarnya bukanlah jaminan kerana para pelajar yang cemerlang sebenarnya tidak menjanjikan akan menjadi guru-guru yang berdedikasi, tambahan pula kebanyakan mereka menerima tawaran menyertai Institut Perguruan sebagai satu opsyen terakhir selepas gagal ke institut pengajian tinggi.
Saya pernah menemui seorang beberapa orang mantan Guru Cemerlang yang begitu berdedikasi dan bangga dengan profesion malah semacam meninggalkan impak yang mendalam di kalangan masyarakat setempat, menyelusuri sejarah pendidikannya mereka tidak pun tergolong sebagai seorang pelajar yang bijak, namun kerana minat terhadap profesion keguruan, mereka  begitu berjaya, dihormati dan dikagumi.
Gambar hiasan ihsan daripada: mainial.wordpress.com
Memanglah bukan mudah untuk melahirkan seorang guru yang cemerlang dan bukan juga usaha pihak kerajaan menaikkan taraf  keputusan bagi menyertai Institut Perguruan di negara ini perlu diturunkan, namun usaha memartabatkan profesion keguruan dan memperkasanya haruslah disertai dengan pelbagai pendekatan yang lebih inovatif, misalnya kaedah pengambilan guru pelatih dan prasarana serta persekitaran melatih para guru juga seharusnya ditingkatkan bagi menjamin kualiti guru yang dihasilkan!
Benarlah seperti yang diungkapkan oleh SN Datuk Usman Awang lewat sajaknya berjudul Guru Oh Guru:
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Guru sebagai asas kepada segalanya perlulah yang benar-benar mencintai profesionnya. 
Dengan pemberian elaun kepada para pelatih institut perguruan, misalnya tidak begitu dipraktikkan dalam negara maju, jika mahu mencambah minat perguruan biarlah para pelatih diberikan latihan dengan prasarana dan kemudahan latihan kelas satu berbanding untuk memberikan elaun ratusan ringgit saban bulan yang akhirnya tidak sangat melahirkan para guru yang benar-benar mahu menceburi profesion keguruan.
Sepatutnya para pelatih guru juga harus seperti para mahasiswa universiti yang belajar menggunakan wang sendiri atau pinjaman PTPTN bagi mencambah minat dan dedikasi untuk menceburi profesion keguruan.  Kualiti dan motivasi bakal guru juga boleh ditingkatkan  kerana dengan cara ini para pelatih guru tidak secara automatik menjadi guru.

(Nota Kaki: Tulisan ini tidak bertujuan untuk memperlekeh profesion keguruan, namun begitu segelintir para guru dan bakal guru sebenarnya amat menjengkelkan kerana mereka seperti tidak layak berada dalam kelompok para guru yang sangat mencintai profesion keguruan dan mempamerkan dedikasi sebagai pendidik yang sangat mengujakan.)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ini baru betul-betul menyakat ..syabas
citi berkata…
saranan yag bernas..
SIS berkata…
betul3...sejak zaman saya seklh lagi sekitar awal 90an hinggalah sekarang..jadi guru sebab x dpt masuk IPTA, jd guru sbb x dpt keje..jd guru sbb cuti sma dgn bdk seklh...itu antara sebab kenapa nak jadi guru!!...saya cabar guru2 yang macam ni utk cuba kira kenaikan gaji sendiri berapa gaji dapat jika dinaikkan pangkat dgn tunggakan gaji 6 bulan...dema x pernah amik tahu!!..malah ada juga guru seklh menengah yang tidak tahu guna aplikasi 'excell' pun!!
haji manap berkata…
harap tulisan ini tidak dianggap menghina dan memperlekeh para guru, ini tulisan yang jujur bagi memartabatkan dunia perguruan, kupasan yg menambat..
yat berkata…
waduh waduh waduh..pedasnya saya melihat ini sinis utk kerajaan..
SIS berkata…
sy amat bangga krn pernah mempunyai guru yang betul2 ada roh seorang guru..mampu menarik minat anak murid utk terus menuntut ilmu...terima kasih cikgu mnm..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?