GHANI MINHAT: PERGINYA SEORANG LAGENDA
![]() |
Ghani Minhat - gambar ihsan olympic.org.my |
Pada hari Jumaat yang lepas,
negara kehilangan seorang lagi lagenda bola sepak, Ghani Minhat yang merupakan
pemain bola sepak yang mendapat jolokan ‘Raja Bola’ meninggal pada 10.34 pagi.
Walaupun berasal daripada Negeri
Sembilan, Ghani Minhat banyak beraksi untuk pasukan Selangor selain mewakili
negara sejak tahun 1956. Mula bermain
ketika berusia 10 tahun, Ghani Minhat bermain di peringkat kelab seawal usia 17
tahun mewakili Depot Polis dalam Liga Selangor.
Keunikan Ghani Minhat adalah
keupayaan beliau menggunakan kedua belah kakinya. Rekod beliau sebagai penjaring dengan jumlah
gol sebanyak 106 dalam 15 perlawanan masih sukar untuk dicapai. Gelaran ‘Raja Bola’ yang dianugerahkan oleh
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diterima oleh beliau pada tahun 1959, tidak
begitu lama selepas menyertai skuad negara.
Mewakili Selangor daripada tahun
1955 hingga 1968 manakala mewakili negara daripada tahun 1956 hingga tahun
1963. Selepas karier sebagai pemain,
beliau menumpukan kepada kejurulatihan dengan mengendalikan pasukan Selangor
sehingga tahun 1993 sebelum memilih untuk menumpukan kepada dunia
perniagaannya.
Ghani Minhat, pemain bola sepak
yang licik dan lincah digeruni lawan khususnya di rantau Asia. Walaupun saya tidak berpeluang untuk melihat
kelincahan Ghani Minhat beraksi namun kisah rembatan gol dari jarak 40 ela
untuk menjaringkan gol ketika menentang Vietnam dalam Pestabola Merdeka kali
pertama pada tahun 1957, sentiasa menjadi sebutan dan bualan di kalangan para
pemain.
Potret Ghani Minhat sebagai
pemain dan jurulatih serta kecintaan terhadap sukan bolasepak adalah sesuatu
yang harus dicontohi oleh generasi pemain pada masa ini yang acapkali dilihat
seperti kurang semangat dan semangat juang yang tinggi.
Ghani Minhat dianugerahi pingat
Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun yang
lepas, menjadikannya sebagai pemain bolasepak yang pertama bergelar Tan Sri.
Semoga roh Tan Sri Dato' Haji Abdul Ghani
Minhat yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung akan dicucuri rahmat dan
ditempat dalam kalangan orang yang soleh.
InsyaAllah, Amin.
Ulasan
Walaupun saya bukan peminat bola sepak, nama Ghani Minhat memang saya kenali. Mengapa tiada pemain generasi sekarang yang hebat seperti beliau, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun (sekadar beberapa nama yang saya ketahui). Jika mengikut logik, ganjaran mewah yang sedia menanti sepatutnya melahirkan ramai pemain yang jika tidak gah namanya sedunia seperti Ronaldo, sekurang-kurangnya setaraf terkenalnya dengan yang saya sebutkan tadi.
Apapun moga Allah cucuri rahmat ke atas roh gemulah dan memberi Malaysia pemain yang mampu membawa pulang Piala Dunia ke tanah air.