BERSEMADILAH DENGAN AMAN, JOHN COFFEY!
Seperti
SN/SR A. Samad Said yang mengulang baca novel Dr. Zhivago karya Boris Pasternak
saban tahun, saya juga saban tahun ulang menonton filem The Green Mile. Malah dalam
banyak hal filem The Green Mile
adalah antara filem yang menjadi ‘favourite’
saya, malah ketika blog ini dimayakan saya memang tidak teragak-agak meletakkan
filem The Green Mile dan Rain Main (sebuah lagi filem lakonan
mantap Dustin Hoffman) sebagai antara ‘favourite film’ saya.
Filem
The Green Mile memang termasuk dalam
agenda ulang nonton saya saban tahun malah ketika-tika saya agak ‘down’ disebabkan hambatan-hambatan
tugas dan hidup, filem The Green Mile
adalah antara yang menjadi penyejuk saya.
Kali terakhir saya menonton filem The
Green Mile ialah pada Februari yang lalu, dan semalam saya menontonnya lagi
dengan penuh kepiluan menekuni John Coffey.
![]() |
John Coffey watak Michael Clarke Duncan dalam The Green Mile |
John
Coffey ialah watak yang dimainkan oleh Michael Clarke Duncan yang bertubuh sasa
dengan hati yang kecil. Hal ini terserlah dalam lakonannya dalam filem The Green Mile arahan Frank Darabont. The Green Mile menampilkan Tom Hanks
sebagai sebagai pegawai penjara, Paul Edgecomb yang ditugaskan mengawasi
banduan akhir yang menunggu hukuman mati kerana kesalahan membunuh.
Watak
John Coffey sepanjang filem tersebut memang sangat mengesankan malah setiap
kali saya menontonnya saya merasa amat sebak, ini kerana sebenarnya bukanlah John
Coffey yang membunuh dua orang kanak-kanak perempuan seperti yang didakwa,
namun kerana dia tidak mempunyai sebarang bukti bagi menidakkan tuduhan ini,
dia dihukum. Di tambah pula kerana statusnya sebagai
pekerja ladang berkulit hitam.
Kerana
watak dalaman John Coffey yang lembut dan penyayang, serta kuasa penyembuh yang
dimiliki secara tidak sedar dia berjaya
membantu Paul Edgecombs menyembuhkan masalah pundi kencingnya, menyembuhkan
pesakit tumor otak iaitu isteri kepada
warden Hal Moores (watak yang dipegang oleh James Cromwell) malah ‘menghidupkan’
semula tikus kesayangan seorang lagi rakan banduannya yang telah dipijak oleh
warden penjara yang biadap, Percy.
Dengan
kuasa ‘melihat’ dan menyembuhkan yang dimiliki John Coffey, dia akhirnya
terjumpa secara tidak sengaja dengan pembunuh sebenarnya apabila dipindahkan ke
penjara yang sama dengannya. Bagi
melunaskan tugasnya, John Coffey menjangkitkan penyakit tumor otak isteri
warden yang diselamatkannya kepada Percy, warden penjara yang biadap yang
kemudiannya bertindak ganas menembak si pembunuh yang sebenarnya, Wharton.
Paul
Edgecombs memang mengsyaki bahawa John Coffey sebenarnya bukanlah seorang
pembunuh apabila dia berpeluang ‘melihat’ sendiri kejadian sebenarnya. Namun John Coffey berkeras dia bersedia
menghadapi hukuman mati kerana kesalahan yang tidak dilakukannya kerana
beranggapan ‘dunia kini sedang sakit’.
Watak
John Coffey lakonan mantap Michael Clarke Duncan yang membolehkannya memenangi Anugerah
Saturn sebagai Pelakon Pembantu
Lelaki Terbaik melalui filem The Green
Mile dalam Academy of Science Fiction, Fantasy & Horror Films pada tahun 2000.
Pada
hari Isnin yang lalu, John Coffey dalam The
Green Mile dan Michael Clarke Duncan dalam realiti hidup menghembuskan
nafas yang akhir kerana masalah jantung pada usia 54 tahun. Saya tidak mengingati nama sebenarnya namun
watak John Coffey lebih akrab kepada saya.
Setiap
kali saya mengulang nonton filem The
Green Mile, setiap kali saya menekuni John Coffey, banduan akhir hukuman
mati yang sebenarnya tidak bersalah.
Mengingatkan John Coffey, mengingatkan saya pelbagai ketidakadilan di
sekeliling kita, selamat bersemadi dengan aman, John Coffey!
Ulasan
penyembuh, hidup lama dan pengorbanan diri utk menjadi pelindung dunia!