BUNOHAN: SATU APRESIASI


Faizal Hussein - lakonan cemerlang!
Biarlah saya akui sejujurnya, saya sudah lama tidak membuang wang saya secara sia-sia untuk menonton filem Melayu.  Malah ada dalam satu keadaan saya membuat keputusan mendermakan nilai wang tiket saya kepada tabung di masjid sekiranya saya terlintas untuk menonton sesebuah filemMelayu.

Malah ketika Bunohan berlegar di pawagam, saya memang tidak terdetik menontonnya sehinggalah saya membaca mengenainya di akhbar dan pada ketika itu sudah terlambat, kerana seperti filem-filem yang tidak meletakkan aspek komersil sebagai ‘kiblat’nya, nyawa untuk tayangan di pawagam juga adalah singkat.

Apabila seorang teman mengajukan jemputan untuk menyertai sesi tayangan dan apresiasi ketika godaan jemputan rumah terbuka begitu rancak, saya menerima untuk menghadirkan diri.  Memang benarlah Bunohan buah tangan anak kelahiran Kelantan, Dain Said memang benar-benar mampu  melonjakkan maruah filem Melayu.

Bunohan di tangan Dain Said penuh simbol, imej sinematiknya memang mengkagumkan malah ada banyak adegan yang memukau aspek sinematiknya.   Lihat sahaja paparan di paya bakau ketika Ilham menarik bot berisi rangka manusia untuk dikebumikan semula.  Itu sekadar contoh syot yang memukau.

Bunohan bukan hanya mengenai siri pembunohan oleh Ilham watak yang dimainkan oleh Faizal Hussein dengan begitu meyakinkan, seperti ungkapan dalam dialek Kelantannya – aku bunoh oghe.  Bunohan ialah mengenai pembunuhan pelbagai aspek kehidupan, nilai, alam sekitar,kekeluargaan, persahabatan dan prinsip hidup sesorang.  Ilham sebagai pembunuh upahan hanyalah simbol sama seperti pertarungan dua sahabat Mohd Muski dan Adil adalah simbol perpecahan bangsa Melayu akhir-akhir ini.

Lawi ayam senjata yang menjadi ‘mainan’ ilham untuk melaksanakan tugasnya, main puteri, wayang kulit, semuanya adalah simbol yang digabungjalin secara kreatif di tangan Dain Said.  Kekuatan Bunohan tidak hanya kepada pautan skrip yang mapan, malah lakon layar yang meyakinkan tetapi sebagai seorang pengarah yang menuntut ketelitian, pemilihan pelakon yang tepat juga memainkan peranan yang menyumbang kejayaan Bunohan.

Dain Said, yang pernah menghasilkan Dukun (2007) memang sangat bergantung kepada karisma pelakon-pelakon yang komited, seperti di dalam Dukun, Bunohan membariskan para pelakon yang hampir sama - Faizal Hussein, Bront Palare, Namron, dan Sofi Jikan.

Bunohan mengingatkan kita untuk kembali kepada akar, akal budi, dan tanah leluhur.  Ilham, Bakar dan Adil adalah watak-watak yang digerakkan lewat kelir oleh Pok Eng sebagai pencerita.  Ilham yang kembali setelah sekian lama untuk memburu Adil yang lari dari gelangang Muay Thai oleh penganjurnya, tidak mengetahui yang sebenarnya diburu ialah adiknya sendiri.  Bakar, watak seorang guru (saya tidak begitu terkesan dengan perwatakan gurunya) kecuali profesion barunya sebagai agen hartanah yang rakus.  Adil pula watak yang dibina untuk memautkan kerakusan Bakar dan Jolok serta ketabahan Pok Wah dan Awang Sonar yang masih meneruskan tradisi Muay Thai.

Selepas Ilham mengetahui Adil adalah adiknya, dia berkorban nyawanya bagi menyelamatkan adiknya dengan menyerahkan lawi ayamnya kepada rakan setugasnya, Deng.  

Bunohan yang menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya memang Kelantan sifatnya, Melayu akarnya dan masih Malaysia jiwanya. Tahniah kepada Bunohan yang berjaya mengembalikan keyakinan saya terhadap filem Melayu, seperti yang diungkapkan oleh Ketua Pengarah FINAS –filem seperti Bunohan memberikan peluang kepadanya bagi menyakinkan Kerajaan untuk melihat filem sebagai satu lagi elemen transformasi ekonomi.

Bunohan di tangan Dain Said adalah sebuah skrip akrab yang didakap erat sampai kepenghujungnya.

Selepas menonton Bunohan, saya masih tidak yakin terdapat sebuah tempat yang bernama Bunohan!  

Ulasan

anep berkata…
saya kgum kejujuran tuan berhubung filem melayu..
sarip dol berkata…
bunohan memnag ada kelas..
Tanpa Nama berkata…
fotografi menarik dalam filem Bunohan, namun bukan hasil anak tempatan!
SIS berkata…
akhirnya tn ks cerita juga pasal filem Bunohan ni..sy ingatkan filem ini tidak mendpt tempat dihati tn krn telah lama berlalu..sy suka..selepas menontonnya melalui astro first..pendpt sy filem ini mmg unik dan tersendiri..lain dr filem2 melayu yang ada...
apis berkata…
terbaekk...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?