MERDEKA YANG SURAM!

Logo Hari Kemerdekaan ke-55

Seingat saya setiap kali sambutan Merdeka, saya melalui laman ini jarang gagal memperkatakan mengenai merdeka.  Sejak dimayakan pada April 2008, tulisan saya mengenai Merdeka pada tahun 2008 bertajuk  ‘Merdeka Malaysiaku’, entri saya mengenai sambutan Merdeka pada tahun 2009 bertajuk ‘Merdeka, TV Malaysia & London’ telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian dalam ruangan ‘Blog ke Blog’.

Saya tidak menulis mengenai Merdeka pada tahun lepas, mungkin kerana sibuk atau merasakan tiada sebarang peristiwa istimewa yang mahu saya katakan mengenai sambutan Merdeka kali ke-54 itu.

Pada tahun ini, saya menjadi sangat tidak menentu, bukan sahaja kerana sambutan Merdeka kali ke-55 yang agak hambar dalam ketidak tentuan politik negara tetapi yang lebih memeranjatkan ialah pemilihan tema ‘Janji Ditepati’ yang sebelum ini digunakan oleh gabungan Barisan Nasional dalam kempen politik mereka.  Apakah rasional pemilihan tema berbaur politik ini sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan sebuah negara.  Bukankah langkah seperti ini seolah-olah memperlekeh minda ke hadapan rakyat Malaysia.

Saya jadi teringat kepada saranan seorang bapa dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah teknik terkenal di ibu negara, perihal bagaimana pihak sekolah ditegur kerana menjemput seorang pemimpin  parti untuk merasmikan mesyuarat tersebut, menurutnya bukan semua kita dalam dewan ini suka parti politik yang disebutkan, dan saranannya mendapat tepukan para ibu bapa.  Pengetua cemerlang sekolah tersebut merah padam menahan malu.  

Apa yang lebih malang lagi ialah logo Hari Kemerdekaan yang sangat amatur sifatnya.  Bayangkan logo yang telah dipilih jauh ketinggalan daripada aspek estetika dan profesionalisme penghasilan grafik.  Malah jika diteliti, logo dalam tahun 70an dan 80an jauh lebih anggun dan meyakinkan berbanding logo pada tahun ini mengambilkira ketiadaan teknologi dan perisian komputer canggih pada ketika itu.  Malah ada yang mempersendakan bahawa logo yang dihasilkan hanyalah tempelan yang layak dibuat oleh seorang yang menggunakan komputer secara biasa-biasa sahaja.

Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan yang bertanggungjawab mengenai sambutan Hari Kemerdekaan di negara kita, lazimnya dilihat amat kreatif, namun selepas episod pemilihan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 ini, kita mungkin beranggapan Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah hilang bisa kreativitinya atau mungkin beliau kini berada di penghujung karier politiknya!

Mungkin Kerajaan Barisan Nasional beranggapan bahawa pemilihan logo dan tema amat bertepatan dengan kehendak rakyat, namun apa yang terjadi sebaliknya adalah sikap meluat kerana minda rakyat seperti saya diperlekehkan dengan pemilihan tema sebuah gabungan parti politik sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan, yang lebih manis ialah tema negara digunakan oleh gabungan parti politik namun bukan sebaliknya!  Meminjam ungkapan pelawak Nabil – lu pikirlah sendiri!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
yang paling hampeh
lin berkata…
tema yang memalukan, mungkin bee end terdesak kot..
SIS berkata…
sokong 120% bapa budak tu...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?