KELUAR BN HADIAH RAMADAN?



Semalam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.  Manakala mengenai jawatan kabinetnya beliau meninggalkan untuk diputuskan oleh Perdana Menteri.

Hari ini pula, Ahli Parlimen P170 Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan daripada parti UPKO  dan  seterusnya menyokong Pakatan Rakyat.  Ironinya majlis pengumuman beliau dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Lajim Ukin sendiri yang kononnya masih menjadi ahli UMNO dan Timbalan Menteri!

Pengumuman Datuk Seri Lajim Ukin adalah sehari selepas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee,  menggesa beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta merta jika benar beliau berhasrat mahu keluar daripada UMNO, malah melabel tindak tanduknya seperti ‘gunting dalam lipatan’.

Gesaan Ketua UMNO Bahagian Cheras tersebut dilihat amatlah wajar memandangkan tindak tanduk Datuk Seri Lajim akhir-akhir ini sebagai tidak menampakkan sebagai anggota Barisan Nasional.  Mungkin Datuk Seri Lajim mahupun Datuk Seri Wilfred Bumburing mempunyai alasan mereka tersendiri namun ianya haruslah dilakukan selepas keluar daripada sebuah parti dan menyertai parti yang lain selepas itu.

Kepada mereka yang melihat insiden keluar parti oleh Ahli Parlimen Sabah yang selama ini dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional  sebagai tamparan, namun secara positifnya sepatutnya Barisan Nasional harus bersyukur dan menganggapnya sebagai rahmat bulan Ramadan.  Ini kerana adalah lebih baik mereka menyertai parti pembangkang sebelum terpilih sebagai calon pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Anehnya, Datuk Seri Lajim Ukin tidak pula mengumumkan untuk menyertai mana-mana parti berbanding Datuk Seri Wilfred Bumburing yang nampaknya lebih ‘gentlemen’ dengan mengumumkan menyertai Pakatan Pembangkang secara terbuka.

Antara alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Wilfred Bumburing mengenai sebab beliau memilih untuk meninggalkan Barisan Nasional ialah “kekecewaannya ke atas janji BN yang tidak ditepati dan peningkatan jumlah imigran tanpa dokumen serta royalti petroleum”.  Maka kita pun bertanya apakah rasional BN melaungkan ‘janji ditepati’ apabila Ahli Parlimen mereka sendiri secara terbuka menyatakan bahawa BN tidak menepati janji.
Walauapapun mungkin selepas ini lebih ramai ahli politik sama ada daripada BN mahupun Pakatan Pembangkang akan saling keluar daripada parti dengan harapan untuk terus bergayut dengan pohon kuasa kerana khuatir tidak menepati ciri-ciri ‘winnable candidates’ yang digariskan oleh Perdana Menteri, sebagai calon Pilihanraya Umum ke-13.
Landskap politik Sabah tidak mungkin banyak berubah selepas kedua-dua Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing bertindak meninggalkan Barisan Nasional namun apa yang ketara ialah Sabah tidak mungkin terus menjadi ‘simpanan tetap’ BN  dengan pelancaran Angkatan Perubahan Sabah (APS).

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hadiah,,bior betul..
SIS berkata…
hadiah utk pembangkang...?!$#*&?
Tanpa Nama berkata…
apa rasanya apabila ahli parlimen bn senddiri mengaku ada janji yg tidak ditepati!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?