MEMINJAM SEMANGAT MERDEKA BUAT LEBUHRAYA RAKYAT


Ketika menonton peristiwa menuntut kemerdekaan seperti yang digambarkan secara sinematik dalam filem 1957: Hati Malaya pada tahun 2007, seingat saya adegan yang paling mengharukan ialah ketika mana penduduk Malaya ketika itu sanggup melucutkan barang kemas dan menghulurkan wang ringgit untuk diberikan kepada Tunku dan kumpulannya sebagai perbelanjaan ke London.  Senario itu digambarkan ketika Tunku berucap menjelaskan bagaimana dia dan rakan-rakannya kekurangan perbelanjaan untuk menuntut kemerdekaan di London.

Apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan akan membuat pembinaan Lebuhraya dari Kuala Krai ke Kota Bharu sejauh 73 kilometer dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM1.8 billion tanpa mengharapkan  bantuan daripada Kerajaan Pusat, saya segera teringat bagaimana rakyat pernah berkorban wang ringgit dan barangan berharga demi kemerdekaan negara.

Pada minggu lepas teman-teman dalam Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan kerjasama PAS Kawasan Batu menganjurkan ‘Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat’ bagi mengumpul dana bagi pembinaan lebuhraya sejauh 73 kilometer itu.  Program budaya itu yang dihadiri hampir 5000 orang menampilkan antara lain pelakon Hairie Othman, Leman Raja Lawak, Pak Salleh Bakar dan Pyan Habib.  Selain itu SN/SR A. Samad Said turut hadir menyatakan sokongan kepada usaha murni Kerajaan Kelantan .

Walaupun saya tidak dapat menghadiri kerana urusan kerja yang mendesak agak terharu apabila dinyatakan bahawa kutipan pada malam itu sahaja melebihi RM15,000.00, yang lebih mengharukan ialah ada juga insan yang menyumbangkan sebentuk cincin dan seutas rantai emas untuk projek pembinaan lebuhraya tersebut.

Benarlah jika apa pun yang kita lakukan dengan niat yang jelas dan ikhlas akan sentiasa mendapat sokongan padu dan dipermudahkan Allah SWT.  Langkah PAKSI dan PAS Kawasan Batu memulakannya hanya sebahagian kecil usaha merealisasikan pembinaan lebuhraya rakyat.  Kutipan pada malam itu sebanyak RM15000 tentulah tidak mungkin banyak membantu namun semangat yang mengiringi jumlah tersebut lah yang lebih penting. 

Seperti dalam filem 1957: Hati Malaya, semangat dan jati diri rakyat tidak mudah dikendurkan dengan ugutan dan perlekeh oleh penjajah, begitu juga obor semangat Kerajaan Kelantan akan terus menyala sehingga lebuhraya siap sepenuhnya!

Ulasan

SIS berkata…
bangga dan terharu dgn usaha tersebut..marilah sama-sama menyumbang walau secebis doa agar lebuhraya rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna...amin
ain berkata…
semoga dimakbulkan..takbir

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?