NADUNISI NAAYGAL (MIDNIGHT DOGS)


Ketika industri filem kita (betul kah kita ada industri dengan hanya penonton kurang 1 juta!) dimomokkan dengan cerita-cerita hantu yang kononnya digemari oleh penonton, maka apabila ada filem yang lari daripada klise ini, sering mendapat perhatian saya.

Lazimnya filem-filem dari India sama ada dari Bollywood yang mewakili filem-filem Hindi mahupun dari Kollywood yang mewakili filem-filem Tamil sering memaparkan adegan percintaan, nyanyian dan tarian yang mengasyikkan dengan sipelakonnya bertukar pakaian beberapa kali sepanjang menyanyikan lagu-lagu tadi. Jarang ada terdapat filem-filem dari India yang cuba lari dari kelaziman ini. Tetapi lain pula dengan filem yang baru saya tonton lewat minggu lepas.

Filem Nadunisi Naaygal (Midnight Dogs) sebenarnya adalah sebuah filem Tamil yang lari dari kelaziman filem-filem Tamil sebelum ini. Tiada lagu, tiada adegan percintaan, tiada adegan nyanyian berguling-guling. Nadunisi Naaygal adalah sebuah filem psikologikal thriller yang mengangkat isu penderaan seksual kanak-kanak. Walaupun penderaan seksual kanak-kanak sering dikaitkan dengan kanak-kanak perempuan, namun dalam filem Nadunisi Naaygal watak utama penderaan seksual ialah kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun. Samar anak yang kematian ibunya membesar bersama bapanya didera secara seksual oleh bapanya apabila dilibatkan dalam parti seks berama-ramai yang dianjurkan oleh bapanya di rumah mereka.

Filem ini bertolak sebagai penceritaan oleh watak utamanya dari usia lapan tahun sehingga dia ditangkap pada usia 20 tahun. Selama 12 tahun kehidupannya dipenuhi dengan pelbagai trauma, pembunuhan demi pembunuhan oleh watak binatang dalam dirinya. Samar yang dipelihara oleh ayahnya selepas kematian ibunya pada usia lapan tahun membesar dengan penderaan seksual yang teruk sehingga dia berusia 13 tahun dan diselamatkan oleh jirannya yang melaporkan kepada pihak polis aktiviti di rumahnya. Samar dipelihara oleh jirannya, seorang wanita andartu berusia 30an sejak berusia 13 tahun, selepas bapanya membunuh diri.

Samar yang dahagakan kasih sayang seorang ibu membesar bersama jirannya yang dipanggil ‘ibu’. Sehinggalah dia berusia 16 tahun apabila Samar yang remaja menodai ‘ibu’ nya. Bagi mengelakkan kejadian ini berulang, ‘ibu’ nya berhasrat berkahwin dengan teman lelaki lamanya. Samar yang sejak mula telah jatuh hati dengan ‘ibu’ nya membunuh suami ‘ibu’ nya pada malam pertama perkahwinan di samping ibunya mengalami kecederaan muka dan badan yang teruk akibat kebakaran yang dilakukan oleh Samar.

Ibunya sedar, dalam diri Samar masih ada sifat kebinatangan dan memaafkan Samar malah memaklumkan peguamnya bahawa kecederaannya disebabkan oleh suaminya dan bukan oleh Samar.

Kisah Samar yang terjerat oleh dua watak dalam dirinya berterusan apabila dia membunuh ramai orang dan melupuskan bukti-bukti di kediamannya. Segalanya terbongkar apabila Samar diekori oleh seorang lelaki yang sempat memaklumkan kepada pihak polis mengenai kecurigaannya.

Kisah penderaan seksual yang dipaparkan dalam Nadunisi Naaygal berdasarkan kisah benar yang diangkat oleh pengarah lewat filem ini cukup memaksa kita tidak berganjak dari tempat duduk dari permulaan hingga ke akhir filem ini ditayangkan.

Nadunisi Naaygal arahan Gautham Vasudev Menon tidak lari daripada pelbagai kesilapan dan ketidak logikan penceritaannya, namun apa yang membanggakan filem ini sebenarnya adalah sebuah filem yang berbeza daripada filem-filem Tamil dengan kerja kamera yang cukup sinematik. Teknik gerakan kameranya menyerupai filem-filem Hollywood. Subjek penderaan seksual kanak-kanak yang diangkat lewat Nadunisi Naaygal adalah realiti semasa dewasa ini. Kalau mahu kelainan filem Tamil, Nadunisi Naaygal boleh membawa kita ke dunia filem Tamil yang cukup berbeza!

Share this article :
 

+ komen + 1 komen

anis
4 Mac 2011 9:44 PG

nak tengokla..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger