AKHIRNYA MEREKA BERSUARA …


Kemelut novel Interlok yang kononnya didakwa menghina kaum India di negara ini ekoran frasa ‘paria’ yang dianggap menghina kaum tersebut. Pelbagai desakan oleh MIC mahupun NGO dan ditambah oleh demonstrasi oleh HINDRAF yang mahukan novel Interlok digugurkan daripada menjadi teks KOMSAS pelajar tingkatan lima di Zon 2 yang meliputi Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Kerajaan pada Februari lalu menubuhkan Panel bebas untuk menentukan pindaan yang diperlukan bagi tujuan mengekalkan novel tersebut. Panel bebas ini telah pun selesai dengan tugas mereka setelah empat mesyuarat diadakan. Walaupun usia kemelut novel Interlok yang bermula pada 15 Disember yang lalu, hampir tiga bulan, tidak pernah kedengaran kenyataan mahupun pandangan rasmi oleh para Sasterawan Negara berhubung dengan pendirian mereka terhadap isu novel Interlok.

Sasterawan Negara yang sehingga kini berjumlah sepuluh orang dengan enam daripadanya masih hidup, semalam empat daripada mereka menyatakan pendirian mereka melalui kenyataan rasmi. Profesor Dr Tan Sri Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Tan Sri Noordin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah teks sastera bukanlah teks politik dan bukan juga teks sejarah atau geografi yang memerlukan pemurnian seperti dokumen pemerintah.

Selain daripada menyatakan pendirian berhubung novel Interlok, mereka juga melahirkan kegelisahan apabila tiada parti orang Melayu yang mempertahankan penulis novel Interlok yang juga Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. “Akan tetapi yang agak dikesalkan ialah hakikat bahawa sangat sedikit golongan, terutama partai politik yang menjadikan pembelaan nasib dan martabat kaum Melayu sebagai landasannya, tampil memberi sokongan moral kepada seorang pengarang Melayu bernama Abdullah Hussein, yang melalui Interlok berbicara tentang kemanusiaan yang merentas sempadan ras dan etnik di tanah airnya”.

Saya merasa amat gembira dan sentiasa menunggu saat ini di samping sentiasa berdoa dan berharap para Sasterawan Negara menyatakan pendirian mereka, pernyataan ini bukanlah sebenarnya mahu mempertahankan seorang Sasterawan Negara yang lain tetapi adalah pernyataan jujur mengenai sebuah karya. Selain itu, anggapan sesetengah pihak yang seolah-olah memperlekehkan kemampuan penghadaman intelek para pelajar kita telah ditegaskan oleh para Sasterawan Negara ini: ” Ramai daripada kita yang merasakan pelajar kita kurang mampu untuk menilai apa yang mereka baca. Pada tahun 2011, dengan gunung maklumat di internet dan dunia cetakan, kami maklum bahawa mereka sudah lama dituntut dan dilatih untuk mempertimbangkan, memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Sesuatu fakta yang diubah dan dimetaforakan secara halus sekalipun di dalam karya sastera dan kenyataan dengan wajah sebenar akan tetap muncul dalam pelbagai medium yang lain.

Saya pernah berseloroh dengan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, pada ketika para pelajar kita bersarapan dengan ‘facebook’, ‘twitter’ dan pelbagai medium interaktif merubah beberapa frasa sebagai proses menghalalkan cara hanya akan memberikan implikasi yang lebih buruk. Para pelajar kita yang dianggap begitu bergarda hadapan sehingga ada di antara mereka ‘berani’ untuk membunuh diri, frasa seperti ‘paria’ hanya akan dilihat dalam konteks sastera dan dalam lingkungan sekolah sahaja.

Meminjam pernyataan para Sasterawan Negara lewat kenyataan rasmi mereka “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian.

Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita”.

Share this article :
 

+ komen + 1 komen

anep
13 Mac 2011 10:51 PG

org tua lambat panas...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger