CENTRAL STATION



Ada sesuatu yang sering memisahkan saya daripada orang lain. Saya kurang berminat dengan hasil akhir atau keputusan, tetapi saya lebih tertarik mengenai proses mendapatkan hasil. Kepada saya proses seperti satu perjalanan yang cukup asyik dan mengujakan.

Seperti menonton filem, saya sering terpanggil untuk menonton di dalam pelbagai keadaan acapkali menonton di pawagam. Sebut sahaja pawagam di sekitar Lembah Kelang yang sering menghuni dan melampiaskan keinginan naluri ingin tahu saya terhadap filem-filem tontonan saya. Pada minggu lepas, saya tidak menonton filem di pawagam tetapi di sebuah auditorium milik sebuah pusat komuniti. Walaupun hanya dengan empat penonton, saya merasa amat puas dengan filem yang ditayangkan.

Central Station ialah sebuah filem Brazil terbitan pada tahun 1998 diarahkan oleh Walter Salles (Foreign Land, Dark Water). Central Station adalah perjalanan kemanusiaan watak-wataknya, Dora (Fernanda Montenegro) seorang pesara guru yang mengambil upah untuk menulis surat kepada mereka yang buta huruf di stesen keretapi Rio De Jeneiro. Malangnya tidak semua surat yang ditulis Dora dihantar sebagaimana janjinya, sesetengahnya berakhir di tong sampah atau di laci Dora, malah menjadi bahan bualan dan lawak bersama teman serumahnya, seorang pelacur Irene (Marilia Pera).

Josue (Vinicius de Oliveira) anak yang kematian ibunya yang merupakan pelanggan Dora kerap menggunakan perkhidmatannya untuk menulis kepada suaminya yang tinggal jauh di utara. Selepas kematian ibunya dalam kemalangan, Dora yang bersimpati mengajak Josue tinggal bersamanya di bilik kecil berhampiran stesen keretapi.

Central Station menjejak perjalanan dua orang yang tidak mempunyai sebarang ikatan menyelusuri perjalanan kemanusiaan dalam misi mencari bapa kandung Josue, anak kecil yang kematian ibunya. Dora yang seringkali cuba untuk memisahkan dirinya daripada anak kecil yang dianggap beban dalam hidupnya yang kosong, tiba-tiba diasak naluri keibuan akhirnya berusaha menjadi ibu yang baik, kerana sikap dan kejujuran anak kecil yang pintar. Perjalanan dalam misi menemukan bapa Josue menjadi begitu meruntun apabila Dora merefleksi dirinya sendiri.

Walaupun ayah kandung Josue sebenarnya tidak ditemui sehingga ke akhir filem ini, namun kedua-dua abang tirinya yang begitu senang dengan Josue dan Dora sebagai tetamu mereka telah memudahkan misi pencarian Dora yang akhirnya meninggalkan Josue untuk terus tinggal bersama kedua abang tirinya, juga surat yang sepatutnya dihantar kepada bapa Josue.

Central Station selain dibintangi oleh bintang-bintang terkenal juga majoritinya adalah oleh pelakon amatur. Bintang kecil utama dalam filem ini, Vinicius de Oliveira, berusia 9 tahun adalah sebenarnya penggilap kasut yang ditemui oleh pengarahnya di lapangan terbang Rio De Jenairo. Mengalahkan lebih 1500 yang diujibakat bagi watak tersebut, Vinicius de Oliveira terbukti memberikan lakonan yang berkesan dan berusaha untuk menjadi dirinya sendiri.

Central Station sebenarnya adalah proses pencarian diri yang dilambangkan melalui perjalanan dua watak dalam misi mencari kemanusiaan dalam diri mereka!

Memenangi pelbagai anugerah perfileman, Central Station adalah potret filem ala dokumentari yang meruntun jiwa.

Share this article :
 

+ komen + 2 komen

28 Mac 2011 8:48 PTG

Setiap perkara punya proses yg berbeza mengikut sikap, sifat mahupun persekitaran yg mempengaruhi proses itu sendiri..mmg mengujakan...kesan @ impak dr proses tersebut yg sepatutnya memberi manfaat brguna..

Mama
29 Mac 2011 2:18 PTG

Allah sesungguhnya menilai apakah kita 'sudah berjalan' bukan pada apakah kita 'sudah sampai'.(Petikan dari blog genta-rasa.com.)

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger