INTERLOK, DI MANA SILAPNYA?


Novel Interlok buah tangan SN Datuk Abdullah Hussin yang menjadi buah mulut dan polemik nasional kini di tangan panel bebas yang dilantik oleh Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri. Selepas 3 pilihanraya kecil di DUN Tenang, DUN Merlimau dan DUN Kerdau, nampaknya kemelut mengenai novel Interlok dan nasib novel ini masih belum diketahui.

Panel bebas yang dianggotai oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku Pengerusi panel, juga dianggotai oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz; Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), selain daripada Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G.Krishnabhawan dan penulis, Uthaya Sankar.

Walaupun telah ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima di Zon 2 yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, namun pelbagai suara sama ada dari MIC mahupun Hindraf mahukan novel ini digugurkan.

ii)

Saya sentiasa menggemari perbicaraan di mahkahmah sama ada mengikutinya secara langsung di Mahkahmah mahupun membaca laporan di akhbar saban hari. Ada juga kes-kes yang dianggap sebagai serius di mana akhirnya si tertuduh terlepas dan dibebaskan. Walaupun hati kecil saya seolah-olah mengatakan bahawa sitertuduh memang benar-benar melakukan jenayah tersebut, tetapi disebabkan kepintaran peguam bela, maka sitertuduh pun terlepas, kerap kali atas alasan ‘teknikal’.

Seperti dalam kes novel Interlok yang diperjuangkan oleh pihak MIC mahupun Hindraf yang mahukan novel ini digugurkan sebenarnya hanya ‘menang’ tuntutan mereka secara teknikal. Ini berdasarkan daripada kesilapan pihak penerbit novel ini, Dewan Bahasa dan Pustaka yang begitu ghairah kerana novel ini terpilih sebagai teks KOMSAS bagi Zon 2, sehingga telah melakukan kesilapan yang amat jelas dan nyata sehingga menjadi senjata kepada penentang-penentang novel ini dari kalangan ahli MIC mahupun Hindraf.

Novel Interlok Edisi Murid dinyatakan sebagai hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2010. Tidak pernah menyatakan di mana-mana bahagian buku ini, bahawa Edisi Murid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2010 adalah yang disesuaikan daripada edisi asalnya terbitan pada tahun 1971, malah tidak dinyatakan juga dalam mana-mana bahagian buku ini bahawa ia pernah memenangi Peraduan Mengarang Novel sempena sambutan 10 tahun Merdeka.

Malah berbeza dengan Edisi Pelajar yang diterbitkan pada tahun 2005 yang menyatakan pengarangnya sebagai pemegang hakcipta novel tersebut di samping itu terdapat maklumat : “Karya ini merupakan edisi yang diringkaskan daripada novel Interlok oleh Abdullah Hussain yang pernah memenangi hadiah sagu hati peraduan mengarang novel sepuluh tahun merdeka 1973”. Di kulit belakang edisi pelajar ini juga dinyatakan bahawa novel ini pernah memenangi hadiah pada peraduan novel merdeka pada tahun 1967. Jika dilihat maklumat pada halaman ‘imprint’ dan kulit belakang amat kontras, satu menyatakan 1973 manakala di kulit belakang dinyatakan 1967.

Saya memiliki sekurang-kurangnya enam versi novel Interlok, namun begitu amat kecewa dengan garapan editor-editor yang menyunting Edisi Murid terbitan 2010, ini kerana terlalu banyak kepincangan dalam aspek asas penerbitan yang tidak dilakukan dengan teliti, misalnya adakah dengan menyatakan hak cipta bagi edisi murid ini telah beralih kepada penerbitnya, Dewan Bahasa dan Pustaka, begitu juga tidak terdapat nama penulis pada kulit hadapan novel edisi murid ini. Lebih memalukan editor-editor ini lebih berminat bagi memastikan nama mereka termasuk pereka bentuknya dinyatakan dalam Data pengkatalogan Dalam Penerbitan! Mungkin ini bahana daripada keghairahan apabila novel ini terpilih sebagai teks KOMSAS, itu andaian saya.

Seperti kes-kes yang dibicarakan di mahkahmah yang acapkali dilepas dan dibebaskan kerana aspek teknikal, saya percaya kekalutan dan kecelaruan yang begitu menyusahkan pelbagai pihak termasuk SN Datuk Abdullah Hussain yang terpaksa diheret dalam kemelut ini sehingga melukakan hatinya apabila ada pihak yang bertindak membakar gambar pengarang dan novel ini pada Januari yang lalu, sebenarnya berpunca daripada kecuaian daripada aspek teknikal oleh penerbitnya, Dewan Bahasa dan Pustaka!

Hal ini menjadi senjata yang paling ampuh digunakan oleh para penentang novel Interlok ini, apabila ianya berjaya menjadi teks KOMSAS yang seterusnya diedarkan melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), makanya apabila novel ini memasuki ruang tamu rumah dan dibaca pula oleh lebih ramai yang tidak hanya terhad kepada para pelajar yang menggunakannya tetapi mungkin juga oleh ibu bapa dan orang luar yang berada selain dari zon 2, tentulah frasa-frasa seperti ‘paria’ menimbulkan kegusaran kerana pada anggapan mereka novel ini diterbitkan pada tahun 2010, dan frasa dan aspek kasta yang cuba dilupakan oleh kaum India di negara ini seperti ditimbulkan semula lewat novel ini. Hakikatnya novel ini telah berada sejak 40 tahun yang lalu malah telah juga mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam Peraduan Mengarang, malah penulisnya telah diangkat sebagai Sasterawan Negara yang ke lapan pada tahun 1996.

Dewan Bahasa dan Pustaka seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya demi memastikan novel Interlok akan terus kekal sebagai teks KOMSAS tanpa sebarang perubahan mahupun pindaan!

Share this article :
 

+ komen + 3 komen

anis
6 Mac 2011 9:54 PTG

salam tuan, syabas kupasan yang menarik..harap dpt memiliki novel ini kerana tidak kedapatan di kedai buku ...

6 Mac 2011 11:26 PTG

salam tn..ramai yg tak nampak apa yg tn nampak..tulisan tn mampu mencelikan mata yg tertutup..

anep
6 Mac 2011 11:26 PTG

bernas, mantap

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger