HIDUP TANPA WANITA?


Maaflah, saya memang tidak mungkin boleh hidup selesa tanpa wanita di sisi saya. Seperti ada yang tidak kena, walaupun saya seorang yang ‘loner’ dan sering melakukan pelbagai aktiviti secara berseorangan tetapi tidak bermakna saya boleh hidup tanpa wanita di sisi saya.

Saya boleh memandu hampir beberapa hari berseorangan, menaiki motosikal berseorangan dari selatan di Johor Baharu hingga ke utara di Jitra, Kedah. Tetapi untuk hidup tanpa wanita untuk jangkamasa yang lama, tidak mungkin dapat saya lakukan.

Walaupun saya tidak punya ramai anak perempuan berbanding seorang abang saya yang dikurniakan tiga anak kesemuanya perempuan dan seorang sahabat saya yang mempunyai empat orang anak perempuan, saya masih bersyukur kerana masih mempunyai seorang anak perempuan. Banyak pepatah yang mengaitkan perihal menjaga anak perempuan, kononnya lebih mudah menjaga sekandang kerbau dari menjaga seorang anak perempuan, mana mungkin anak perempuan disamakan dengan sekandang kerbau. Atau mungkin juga sipengembala kerbau berpepatah – lebih mudah menjaga seorang perempuan daripada menjaga sekandang kerbau yang berlumpur dan degil!

Di zaman ini mendidik anak sama ada anak perempuan mahupun anak lelaki sama susahnya, ialah pelbagai cabaran yang perlu ditempohi apatah lagi, kiblat anak-anak lebih mempercayai teman-teman daripada ibu bapa mereka. Dengan pelbagai wadah teknologi tanpa batasan, daripada ‘facebook’, ‘twitter’, ‘myspace’ dan pelbagai lagi medium perhubungan interaktif, anak-anak lebih terdedah dengan dunia luar tanpa sempadan.

Wanita adalah subjek penting dalam kehidupan, sekonyong-konyongnya itulah tanggapan saya secara peribadi. Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada setiap 8 Mac ialah satu bentuk pengiktirafan kepada kaum wanita di seluruh dunia. Pada tahun ini, sambutan Hari Wanita akan lebih bermakna kerana pada tahun ini juga menandakan sambutan 100 tahun Hari Wanita yang pertama kali disambut secara rasmi pada tahun 1911. Tema bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2011 ialah “Kesamarataan peluang terhadap pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita”.

Di negara kita peranan wanita telah diangkat pada tahap yang membanggakan walaupun lebih banyak boleh dilakukan khususnya daripada segi penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan. Di Malaysia, sebuah kementerian khusus bagi wanita telah diadakan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh Datuk Sri Sharizat Abdul Jalil.

Walau siapa pun kita, atau di mana sahaja kita sama ada wanita atau lelaki sama ada Perdana Menteri atau warga kerja bawahan, hubungan dengan wanita memang tidak dapat dinafi dan disangkal, bukankah kita semua dilahirkan ke dunia ini oleh ibu kita, seorang wanita! Walau di mana sahaja anda berada, sekiranya anda seorang wanita, inilah harinya – Hari Wanita Antarabangsa, selamat Hari Wanita!

Ulasan

anis berkata…
selamat hari wanita buat ibu ku..
Tanpa Nama berkata…
jadik tuan ni msti bnyak teman wanita ...
cik puan berkata…
waduh waduh waduh..terkesannya..t kasih tuan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?