CATATAN KECIL DARI MEMBAKUT …








Ketika Presiden PENA, Sdr. Saleeh Rahamad, memanjangkan jemputan untuk menyertai Hari Puisi Nasional 2011 yang bakal berlangsung di Sabah pada tahun ini saya kurang teruja, namun apabila dinyatakan bahawa ianya akan berlangsung di Membakut yang terletak lebih kurang dua jam perjalanan atau 90 kilometer dari Kota Kinabalu saya menjadi amat ghairah.

Membakut antara dua DUN yang terletak dalam Parlimen 176 Kimanis selain Bongawan, merupakan sebuah pekan yang membangun. Ahli Dewan Undangan Negeri N24 Membakut ialah Datuk Haji Arifin Arif yang merupakan Ahli Lembaga DBP serta seorang penulis yang prolifik.

Hari Puisi Nasional 2011 aktiviti GAPENA dianjurkan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Hari Puisi Nasional 2011 ini adalah sempena sambutan 40 tahun GAPENA, diadakan dari 25 hingga 27 Februari yang lalu di Binsulok Resort Membakut dengan tema ‘Puisi Menjana Gagasan 1Malaysia’.

Pelbagai acara disusun sejak dari majlis perasmian pada malam pertama yang tidak saya hadiri hingga ke akhirnya kerana keletihan yang amat sangat. Pembentangan kertas kerja dan forum turut diadakan selain daripada acara ‘kenduri puisi’ pada malam kedua. Usaha pihak penganjur bagi mengimarahkan para peserta dengan warga tempatan memang patut dipuji. Pada hari kedua para peserta di bawa melawat industri kampung di sekitar Binsulok yang meliputi juga lawatan ke kilang belacan dan makanan ringan. Memang ramai yang bertanya kenapa kilang belacan, namun belacan di Binsulok khabarnya adalah sebagai mercu tanda atau flagship product bagi Kampung Binsulok di Sabah.

Acara bersama orang kampung yang meraikan para peserta dengan pelbagai aktiviti kebudayaan yang disediakan melalui usaha ADUN N24 Membakut, Datuk Haji Arifin Mohd Arif, memang wajar dipuji, malah saya kira tidak ramai ADUN sama ada di Sabah mahupun di Semenjung yang begitu prihatin terhadap aspek keseniaan dan kebudayaan di kawasan masing-masing. Syabas dan tahniah YB.

Kisah teman-teman yang terpaksa membayar tambang yang luar biasa mahal kerana kesilapan teknikal dalam tempahan tiket juga menjadi modal bersembang sewaktu makan tengahari yang ringkas sesuai dengan persekitaran setempat. Walaupun dikhabarkan bahawa Binsulok terkenal kerana belacannya, namun tidak sekali pun makan baik makan malam mahupun makan tenghari dihidangkankan dengan ‘sambal belacan’!

Saudara Amiruddin Ali Hanafiah, Timbalan Presiden PENA menjadi ‘mangsa’ apabila tempahan tiket oleh seorang temannya tidak dapat direalisasikan ketika sampai di Lapangan Terbang di KLIA. Maka mahu tidak mahu terpaksa menagih simpati ruang kosong dengan tambang yang tidak lagi murah.

Ketika dalam ucapan Sdr. Jasni Matlani, Yang DiPertua BAHASA, yang masih lagi berhutang buku biru ‘Gema Membelah Gema’ dengan saya menyebut mengenai kehadiran warga GAPENA yang begitu sedikit, tiada kelihatan Ketua Dua, Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar, begitu juga Setiausaha 1 yang begitu dikagumi atas kelantangannya memperjuangkan novel Interlok, Prof. Madya Datuk Haji Zainal Abidin Borhan dan ramai lagi warga penting GAPENA. Tan Sri Prof. Emiritus Ismail Hussein, Ketua 1 GAPENA patut dipuji kerana penglibatannya dalam semua acara sepanjang Hari Puisi Nasional 2011 walaupun keadaan kesihatan yang kurang memberangsangkan.

Tuan Haji Hamzah Hamdani, Tuan Haji Borhan Mohd Zain, Datuk Dr. Mohd Mansur Abdullah antara warga GAPENA yang turut berada di Membakut. Mungkin hambatan-hambatan yang tidak mungkin dapat diatasi menyebabkan banyak nama-nama besar dunia puisi tidak berada di Binsulok bagi Hari Puisi Nasional 2011.

Walaupun Hari Puisi Nasional 2011 telah berlalu dengan pelbagai kekurangan daripada segi penganjuran, namun usaha Badan Sastera dan Bahasa Sabah (BAHASA) mengambil tanggungjawab menjadi penganjur, apatah lagi dalam kegawatan iklim ekonomi dan ketidak tentuan politik, usaha ini wajar mendapat pujian. Penganjur bersama khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan lain-lain agensi seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kegigihan Saudara Saleeh Rahamad selaku Presidennya yang dikhabarkan berusaha mendapatkan dana untuk disumbangkan kepada pihak penganjur memang benar-benar meruntun naluri 1Malaysia saya.

Tema Hari Puisi Nasional 2011 – Puisi Menjana Gagasan 1Malaysia, saya kira amat tepat dengan penganjurannya di Sabah kerana benarlah anggapan pelbagai pihak malah para penulis Sabah yang mendabik bahawa Sabah telah lama mendahului gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah ketika menaiki teksi ataupun berlegar di bandaraya Kota Kinabalu saya memang terkesan dengan semangat 1Malaysia seperti yang diungkapkan oleh Saudara Dek, pemandu teksi yang membawa saya pulang dari hotel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, katanya jika mahu melihat semangat 1 Malaysia datanglah ke Sabah!

Kepada teman-teman baru dan lama yang ditemui sempena Hari Puisi Nasional 2011, tiada yang lebih manis untuk diungkapkan selain menyimpan kemas dalam lipatan kenangan bersama kalian. Puluhan nama malah ratusan yang perlu disebut jika mahu mengungkapkan kesemuanya. Sesungguhnya Hari Puisi Nasional wajar dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara dengan biaya dan dana dari Kerajaan sebagaimana yang disimpulkan dalam resolusi di akhir Hari Puisi Nasional 2011. Kepada sahabat-sahabat di PENA, khususnya Sdr. Saleeh Rahamad, terima kasih kerana memanjangkan jemputan ke Hari Puisi Nasional 2011 di Binsulok Resort Membakut!

Tiada yang tidak manis sepanjang di Membakut Sabah menghadiri Hari Puisi Nasional 2011 kecuali ungkapan ‘saya Melayu yang makan babi!

Share this article :
 

+ komen + 2 komen

anis
4 Mac 2011 11:09 PG

aik ..ada ke melayu makan babi..

4 Mac 2011 7:23 PTG

Samalah mcm dinegara jiran..melayu hanya pada nama bukan agamanya.. malah klau berada di pekan kk kita seolah2 berada di negara jiran..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger