SURAT UNTUK YAB DATUK SERI PERDANA MENTERI MALAYSIA …


Datuk Seri,

Hari ini genap setahun Datuk Seri menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam. Semua kita tahu dan sedar situasi ketika Datuk Seri mengambilalih pucuk pimpinan negara. Bukan pula suatu yang rahsia setahun sebelum itu tsunami politik melanda negara ketika Pilihanraya Umum ke-12, menyaksikan bagaimana majoriti dua pertiga bukan lagi seperti tradisinya.

Datuk Seri memulakan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dengan aktiviti ‘terjah’ yang membawa kepada lawatan mengejut ke Petaling Street, Brickfield dan Kampung Kerinci di ibu kota, tanpa protokol dan rasmi-rasmian. Sebagai seorang Perdana Menteri dengan semangat 1 Malaysia tentulah tidak sukar meneka kesediaan Perdana Menteri melawat tempat-tempat yang disifatkan sebagai mercu tanda bangsa Cina, India dan Melayu di ibu kota.

Memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA. Semangat 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan pertama kali diperkenal oleh Datuk Seri ketika membuat ucapan sulong. Ironinya, peralihan tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri berlaku ketika terdapat tiga pilihanraya kecil iaitu di Bukit Selambau (Kedah), Bukit Gantang (Perak) dan Batang Air (Sarawak). Walaupun tewas di Bukit Selambau dan Bukit Gantang namun semangat kepimpinan Datuk Seri selaku Perdana Menteri terus menyerlah.

Satu demi satu transformasi terus Datuk Seri lakukan baik daripada segi ekonomi, sosial dan kewangan. Malah janji Datuk Seri untuk memulakan proses kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih belum menampakkan sebarang tanda-tanda atau masihkah dalam proses kajian. Rakyat tentu masih menagih janji ini walaupun jumlah mereka yang masih ditahan di bawah ISA telah jauh berkurangan.

Pengumuman kabinet baru Datuk Seri selepas seminggu menjadi Perdana Menteri memang sangat dinantikan selepas semangat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dengan saiz kabinet yang mengecil dan ketiadaan beberapa kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi yang fungsi diserapkan kepada beberapa kementerian lain menjadikan Datuk Seri kurang popular khususnya di kalangan usahawan Melayu. Tetapi saya begitu yakin, Datuk Seri tentulah telah menimbang sebaiknya sebelum hal ini dilakukan. Pengenalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terhadap Menteri dan Kementerian adalah sejajar dengan pengangkatan prinsip akauntabiliti yang Datuk Seri laungkan.

Klinik 1Malaysia walaupun dikecam hebat seakan merendahkan martabat para doktor khususnya oleh Persatuan Perubatan Malaysia kerana klinik ini hanya akan diketuai oleh pembantu doktor khususnya yang berpengalaman adalah satu langkah bijak mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan dan memberikan keselesaan dan kelegaan khususnya kepada rakyat berpendapatan rendah di pinggir bandar.


Datuk Seri,

Terlalu banyak perubahan dan aspirasi yang telah Datuk Seri penuhi dalam tempoh selama setahun menjadi Perdana Menteri dan saya percaya lebih banyak perencanaan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negara tanpa mengira agama, kaum dan taraf hidup sesuai dengan semangat 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selepas setahun teruji sebagai Perdana Menteri, sekali lagi dalam tahun kedua pula akan melalui satu lagi pilihanraya kecil, kali ini di Parlimen Hulu Selangor yang telah dimenangi oleh calon pembangkang dalam tsunami politik PRU 12 pada tahun 2008. Kerusi ini secara tradisinya telah ditandingi oleh calon dari parti MIC walaupun majoriti pengundi di Parlimen ini ialah kaum Melayu yang mewakili 51 peratus manakala kaum India hanyalah sebanyak 19 peratus. Apakah Datuk Seri akan terus mengekalkan tradisi permuafakatan Barisan Nasional dengan membenarkan MIC mewakili Barisan Nasional, apakah stigma ‘fear for change’ akan terus dipraktikan dalam percaturan di Hulu Selangor. Bukankah suara-suara akar umbi mahukan perubahan tradisi kerusi ini dilakukan. Walau apapun pengalaman di lebih sembilan pilihanraya kecil sebelum ini akan sentiasa menjadi rujukan tentang pemilihan calon yang tepat.

Kepada Datuk Seri, selamat meneruskan amanah selaku Perdana Menteri Malaysia yang keenam, semoga hasrat dan impian untuk menjadikan Malaysia dan rakyatnya lebih berdaya saing, berpendapatan tinggi serta mampu memacu negara ke persada dunia. Terima kasih, Datuk Seri!

Nota Kaki: Kehadiran Datuk Seri ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang baru berlalu telah meninggalkan impak yang bukan sedikit khususnya kepada pemain industri perbukuan di tanah air, moga sokongan Datuk Seri terhadap dunia perbukuan negara akan berterusan. Moga ada lagi sesi pembacaan pada masa akan datang!

Ulasan

ayu berkata…
Tahniah kepada PM ..
anep berkata…
tahniah kepada PM. 1 tahun yg cemerlang..
asif berkata…
tahniah PM..kekalkan kecemrlangan.
musa berkata…
terima kasih PM..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?