ADAB SEORANG ANAK ...

(Gambar Hiasan - menuntut tafsiran masing-masing)

Apakah perasaan anda jika anak gadis sunti anda yang baru berusia 15 tahun, menyatakan hasrat ingin berkahwin? Bayangkan pula perasan seorang ibu seorang pelajar yang dianggap pintar apabila anak gadis harapannya meninggalkan keluarga kerana ingin berkahwin, itu ketika masih di bangku sekolah dan baru berusia 15 tahun?

Jika kedua-dua soalan diajukan kepada saya – tentulah hancur luluh hati saya. Saya tidak begitu pasti mana silapnya situasi ini, samada si gadis sunti, ibunya ataupun ahli keluarganya mahupun ahli keluarga teman lelakinya. Tetapi sesuatu yang pelik ialah apabila si gadis berusia 15 tahun mengungkap demikian seperti yang saya petik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac lalu:

"Saya hanya mempunyai wang RM50 dan tidak minat lagi untuk belajar. Saya hanya ingin bernikah dengan teman lelaki saya sebab dia kacak.

"Saya tidak bernikah di Siam (Thailand) sebab saya tak pernah pergi ke sana pun. Macam mana pun, saya hanya nak bernikah di Malaysia,".

Apa yang telah merasuk anak ini, tidak kah diketahuinya bahawa hidup berumahtangga bukan semudah yang disangka dan alasan menginginkan pernikahan dengan teman lelakinya hanyalah sebab ‘kacak’. Apa akan jadi selepas teman lelakinya atau suaminya tidak lagi ‘kacak’. Berita pula merujuk sebagai ‘pelajar pintar’ adakah dengan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR tetapi tidak rasional dalam membuat keputusan boleh dianggap sebagai ciri-ciri pelajar pintar? Apakah sistem pendidikan kita terlalu berorintasikan peperiksaan sehingga tidak menjadi begitu ‘street wise’ sehingga tidak dapat membezakan yang mana baik dan buruk.

Saya tidak bermaksud menambah kesedihan si ibu yang menangis siang malam memikirkan tindakan si anak tadi tetapi agak terkilan dengan sikap keluarga teman lelaki seolah-olah merelakan anak bernaung di rumah mereka. Bukan ada sistem perundangan yang boleh disabitkan kepada keluarga teman lelakinya. Walau apa pun alasan si anak berusia 15 tahun untuk menamatkan zaman sekolah dan gadisnya tentulah akan meremukkan hati seorang ibu, letak diri anda di telapak si ibu itu, anda tentu merasa kesedihan seorang ibu.

Sebenarnya anak-anak zaman ini tidak diajar tentang peranan dan adab menjadi seorang anak, sebagai contoh anak saya yang berusia 14 tahun sesekali atas desakkannya ingin pulang dari asrama dengan teman-temannya menaiki kenderaan awam, dan pada satu hari kepulangannya telah lewat hampir 2 jam (yang kemudiannya diketahui bahawa terkandas di stesen akibat hujan lebat) dan saya serta ibunya begitu risau sehingga menghubungi hampir semua teman yang dikenali anak saya, malangnya tiada siapa yang dapat memberitahu di mana anak saya. Bukan anak saya tidak punya duit yang cukup untuk menghubungi si ibu mahupun saya, tetapi kerana tidak mampu menyelami bagaimanakah perasaan dan kerungsingan seorang ibu dan ayah, hanya kerana si anak pulang lewat dua jam dari waktu yang ditetapkan.

Kepada Halimaton Abdul Rasyid, tolong pertimbangkan semula hasrat anda untuk menamatkan zaman gadis dan persekolahan anda, fikirkanlah tentang pengorbanan ibu anda, tolong lah! Perkahwinan bukan semudah yang anda fikirkan. Mengimarahkan sebuah perkahwinan jauh lebih sukar dari mempunyai pekerjaan di kedai makan dan punya wang saku lima puluh ringgit! Saya jadi teringat kepada watak-watak dalam novel Badai Semalam nukilan Khadijah Hashim yang pernah menjadi teks semasa di Tingkatan 5 dahulu.

aku tidak pernah menemui Mazni di ruang realiti

tetapi aku percaya Mazni bagai ada dan berkata:

lupakan Karim yang dah mati atau Zaki yang setia menanti

lupakan cinta, pelajaran lah diutama.


Nota Kaki: Saya sekeluarga berdoa semoga adik Halimaton Abdul Rasyid akan segera sedar dan kembali ke pangkuan ibu dan alam persekolahannya. InsyaAllah. Amin.

Ulasan

saripdol berkata…
Sedih tak terkata.
anep berkata…
apa yg kemaruk sgt nak kawin tu..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?