AKU, TUN SERI LANANG & SULALAT al-SALATIN


Saya pernah teringat kata Prof Dr Abu Hassan Hasbullah, seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang pernah mengungkapkan bahawa sebuah buku yang wajib dibaca oleh setiap rakyat Malaysia ialah Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Hal ini dinyatakan ketika sebuah forum pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008.

Ketika saya ‘dipaksa’ menghadiri majlis pelancaran buku Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) edisi kulit nipis oleh Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM, yang diterbitkan bersama oleh Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikaji oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh, saya cepat sahaja menyanggupi walaupun majlis bermakna itu dilangsungkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia pada Isnin yang lepas.

Walaupun saya sudah beberapa kali ‘khatam’ pelbagai versi Sulalat al-Salatin oleh pelbagai terbitan, tetapi menghadiri majlis kecil yang dihadiri lebih 100 tetamu termasuk TYT Timbalan Gabenor Acheh, Mohamad Nazar dan generasi kelapan Tun Muhammad Tun Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang, penulis buku Sulalat Al-Salatin, memberikan saya keghairahan baru untuk kembali menikmati adikarya ini.

Tun Seri Lanang menulis buku Sulalat Al-Salatin yang dititahkan oleh Sultan Johor ketika itu, Raja Abdullah pada tahun 1612 dan menyudahkannya setahun kemudian ketika menjadi tawanan perang Acheh dan dilantik sebagai pembesar di Samalanga.

Tun Seri Lanang dianggap seorang yang genius dan berbakat besar kerana dapat menghasilkan sebuah karya agung sehebat Sulalat Al-Salatin.

Walaupun usia adikarya Sulalat al-Salatin telah berusia hampir 400 tahun, namun kisah-kisah yang digarap lewat karya ini adalah refleksi perlakuan pada masa ini – kerakusan kuasa, rasuah, kezaliman pemerintah, ketidakadilan sosial dan pelbagai perlakuan yang dirakam seperti seorang pemikir, pencatat dan perenung nasib bangsanya.

Sulalat al-Salatin bukan sahaja sebuah karya begitu diterima oleh rantau dalam kelompok orang Melayu samada di Malaysia dan Indonesia, malah ia juga menarik minat pengkaji-pengkaji dari Belanda, England, Perancis, Jerman dan juga China sehingga karya ini dianggap sebagai puncak intelektual bangsa Melayu

Saya kira adikarya Tun Seri Lanang tidak sahaja wajib dibaca oleh setiap rakyat Malaysia malah harus dijadikan bacaan WAJIB oleh mereka yang bergelar pemimpin dan bakal pemimpin kerana di dalamnya diajar dan ditekankan bagaimana harus menjadi pentadbir yang baik dan adil. Berlaku adil kepada rakyat dan menjaga mereka (rakyat) dengan baik kerana pemimpin adalah akar kepada pohon negara. Pemimpin tidak mungkin wujud tanpa rakyat.

Membaca Sulalat al-Salatin memberikan pengalaman sastera yang sukar digambarkan walaupun saya harus memandu sejauh hampir 900 km bagi menghadiri majlis selama dua jam!

Nota Kaki: Esok, 23 April saban tahun diraikan sebagai Hari Buku & Hakcipta Sedunia oleh UNESCO sejak tahun 1995. Selamat menyelami dan menghirup karya-karya agung seperti Sulalat al-Salatin !

Ulasan

bain berkata…
ts lanang setaraf cendikiawan barat..
budak stpm berkata…
boleh ke dibeli buku Sulalat di kedai buku, sbb stpm menggunakan buku 2
anep berkata…
ts lanang lebih hebat dari barat ..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?