DARI EKONOMI DEB (AB) KE MEB1M ….

Piramid makanan - Amalan Pemakanan Sihat


Beberapa minggu lagi Kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ akan membuat satu lagi lonjakan saujana dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baru 1Malaysia (MEB1M). Model baru ini bukanlah akan terus menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada tahun 1971 atau mengambilalih Dasar Pembangunan Nasional yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir pada tahun 1991.

Ironinya, DEB diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang. Matlamat tersurat DEB ialah sebagai satu katalis kepada perpaduan kaum dan integrasi nasional. Walaupun DEB telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional pada tahun 1991, namun ciri-ciri DEB masih terus kekal dan segar sehingga mengundang pelbagai polemik . Tidak ada salah apa pun dalam DEB tetapi ada tanggapan bahawa DEB sekadar mendebabkan segelintir rakyat Malaysia sahaja, walaupun hal ini adalah bersifat tanggapan semata-mata tanpa bukti ekonomi berasaskan fakta.

Khabarnya Model Ekonomi Baru 1Malaysia berasaskan inovasi, kreativiti dan sumber pertumbuhan bernilai tinggi. Model ini bertujuan mengalihkan pergantungan daripada sektor pembuatan yang menggunakan tenaga pekerja separuh mahir dan berkos rendah kepada sektor yang memberi tumpuan terhadap perkhidmatan moden dan teknologi tinggi yang bergantung kepada pekerja mahir serta berpendapatan tinggi.

MEB1M akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan dan membangunkan asas kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan, reka cipta dan kejuruteraan serta mengkomersilkan aktiviti penyelidikan.

Model Ekonomi Baru 1Malaysia (MEB1M) bukanlah gagasan baru, ianya telah lama diuar-uarkan oleh Perdana Menteri ketika beliau masih menjadi Timbalan dan menggalas amanah menerajui Kementerian Kewangan. Diharap model baru ini bukan sahaja akan menepati aspirasi pada masa ini dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa bahkan meninjau jauh melangkaui sehingga 20 atau 30 tahun sebelum perlu kita memperkenalkan model yang baru pula.

Beberapa hari lagi, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina, dan kenangan saya ketika masih kecil ialah dikelilingi jiran-jiran dari kaum Tionghua akan menutup pernigaan adakalanya sehingga seminggu lamanya dan lazimnya beberapa keperluan harian akan terjejas bekalannya, misalnya ikan dan sayur-sayuran.

Selepas dua model ekonomi yang diperkenalkan sejak 40 tahun yang lalu, kita masih belum berjaya mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Mungkin model ekonomi yang mutakhir ini diharap dapat melaksanakan objektif ini dengan berkesan.


Selamat mendakap Model Ekonomi Baru 1Malaysia dengan lenanya!

Ulasan

adiputra berkata…
DEB sebenarnya gagal..
saripdol berkata…
harap MEB1M akan lebih telus dan tulus..
sanad berkata…
asyik model baru aje..tapi masih ditakuk lama..
razi berkata…
Model baru tapi org MELAYU masih ditakuk lama

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?