MELAYU MUDAH LUPA ...

iFishing - permainan memancing dalam iPhone

Saya baru sahaja mendapat kegilaan baru. Gila memancing, dan saya memilih untuk menjadi pemancing professional. Setakat hari ini, saya telah mengumpul wang hadiah sebanyak $331000, sejak mula menjadi pemancing bermula 1 Januari 2010 yang lalu. Dengan hanya lebih kurang 5 minggu, saya berpendapatan purata $66,200 seminggu atau lebih kurang $9500 sehari! Maaf terlupa, wang saya menang adalah dalam matawang Amerika Syarikat, maknanya setakat hari ini saya telah memenangi RM1.138 juta.

Sejak mula memancing pula, saya lebih menumpukan kepada kerjaya professional saya di Amerika Syarikat. Memancing di Mosquito Lake, Deer Lake, Beaver Lake, Cedar Lake, Buffalo Lake, Camping Lake dan pelbagai lagi lokasi memancing yang menawarkan hadiah yang lumayan sudah semacam rutin saya pula.

Ketika membaca celoteh kaum hawa dalam sisipan Joran beberapa ketika dahulu, bagaimana si kaki pancing mengabaikan rumah tangga sehingga ada yang hampir menfailkan penceraian kerana kegilaan memancing. Kegilaan memancing saya pula malah dikongsi oleh anak-anak saya memandangkan hadiah lumayan yang ditawarkan.

Saya kini faham dan kenal jenis-jenis ikan walaupun sebelum ini tidak dapat membezakan kembung dan cencaru ketika membeli di pasar malam. Sebut sahaja ikan apa – Musky, Pike, Largemouth Bass, Smallmouth Bass sekadar beberapa nama ikan yang menyumbang kepada hadiah kemenangan saya. Dalam masa singkat sahaja saya telah memenangi beberapa kejuaraan memancing yang saya sertai.

Berbeza dengan pertandingan memancing di sini yang banyak menumpukan kepada persisiran pantai atau tasik, saya lebih gemar memancing menaiki bot malah saya dibekalkan dengan teknologi untuk mengesan ikan – Fish Magnet 2000 yang mampu memberikan lokasi yang mana terdapat banyak ikan. Malah setiap kali saya keluar memancing saya juga mempunyai pembantu yang memberikan syor jenis umpan dan kawasan memancing yang patut saya teroka, seperti seorang ‘caddy’ yang membantu si pemain golf professional mengenalpasti jenis pemukul yang sepatutnya digunakan.

Saya mencongak jika dalam tempoh sebulan saya boleh berpendapatan RM1 juta, bayangkanlah jika saya hanya berkecimpung secara professional dalam masa 2 tahun. Saya mula merencanakan apa yang patut saya lakukan dengan pendapatan sebanyak itu. Terlupa saya, modal saya hanyalah RM1290 – bagi mengubah diri saya menjadi pemancing professional! Sebenarnya semua itu hanyalah sebahagian daripada puluhan ribu aplikasi dalam iPhone baru saya! Teruja kan! Kalaulah pendapatan sebanyak itu menjadi realiti, saya mungkin tidak punya masa untuk meneroka iPhone saya malah mungkin tidak punya masa menulis catatan ini pun – Melayu mudah lupa !

Ulasan

sarip dol berkata…
hampeh..baru aje nak ajak buat bisnes..
anep berkata…
salam tuan, seronok juga ada kawan2 blogger yang kaya raya..
anis berkata…
tuan nak pinjam iPhone barang seminggu...
USTAZAH berkata…
Salam tuan, ingatkan bebetul la,saya rasa catatan ini sinis dan tersirat ...
SIS berkata…
pancing lah...pancinglah dgn keluarga...memang seronok...pilih lah umpan bersama..dan lapah lah hasil pancingan juga bersama-sama..memang sedap...lupa nasib si umpan dan lupa nasib anak2 si ikan...
Tanpa Nama berkata…
bukannya melayu saja yang mudah lupa...manusia mudah lupa bila lupa tujuan hidup..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?