APA KHABAR BAHASAKU?


Anak Melayu
panas dadamu membakar
kita arak keranda 152 ke tanah perkuburannya Parlimen
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang (1967)


Selepas beberapa bulan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan dan digantikan pula dengan MBMMBI (Memartabat Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris) maka kita dengan senang hati kembali menyenangi kerajaan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Walaupun terdapat suara-suara yang mahukan dasar gelojoh PPSMI dikekalkan ataupun diberi pilihan untuk berubah, tetapi ketegasan Menteri Pelajaran terhadap perkara ini harus diberi pujian.

Rentetan dari pemansuhan dasar PPSMI yang amat ketara ialah apabila tarikh 15 Februari diisytiharkan sebagai Hari Pejuang Bahasa 152. Inisiatif itu merupakan usaha bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mengingatkan semua pihak agar terus memperkasakan Bahasa Melayu, selaras dengan peruntukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bukan tidak pernah Bahasa Melayu mengalami tragedi sehingga memaksa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen. Ini berlaku lebih empat dekad yang lalu, dan sehingga kini kita masih meratap dan merayu kepada pihak-pihak berkenaan untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu.

Kita tidak pasti apa lagi yang harus dilakukan untuk terus mempertahan dan memartabatkan Bahasa Melayu, tampuk kuasa ada pada orang Melayu, kita tidak pernah mempunyai Perdana Menteri selain dari bangsa Melayu. Usaha ini telah melalui sejarah yang panjang, dari demonstrasi hingga kepada perarakan keranda, semuanya jelas untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu di tanah airnya sendiri.

Khabarnya majlis Hari Pejuang Bahasa pada 15 Februari lalu dihadiri kurang dari 200 (mungkin sebab dilangsungkan ketika cuti perayaan) orang dan hanya dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Sairaf yang mewakili Menterinya yang terpaksa ke luar negara kerana urusan negara. Selepas lebih 52 tahun kita merdeka, Bahasa Melayu masih lagi terpinggir dan terus terpinggir, teraba-raba untuk diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan, adakah Bahasa Melayu bakal seperti Bahasa Maori New Zealand yang gah diiktiraf di dalam perlembagaan sebagai Bahasa rasmi tetapi penggunaannya dihadkan!

Apapun pada hari ini 21 Februari saban tahun, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) meraikan Hari BAHASA IBUNDA ANTARABANGSA sejak tahun 2000.

Ulasan

anep berkata…
salam hari bahasa ibunda!
rauf berkata…
Bahasa melayu tenat dan nazak..itulah realitinya
sarip dol berkata…
Hari pejuang bahasa ..apa yg nak dijuangkan lagi..bahasa melayu merempat di negara sendiri..
azis berkata…
bahasaku khabarnya tidak sihat..
anti ppsmi berkata…
ppsmi model rakus...
ustazah berkata…
Salam tuan, MBMMBI lebih menekankan kpd BI maka Bahasa Melayu akan terus dipinggir..itu pandangan saya pdmasa ini..
haji manap berkata…
salam tuan, kalau sekdar ada Hari Pejuang Bahasa..tanpa komitmen kerajaan bagai anjing menyalak bukit..
kadim berkata…
Bahasaku tenat..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

KEMELUT PERSATUAN SUKAN ...

MENGIMBAU BALING SELEPAS 38 TAHUN