USAHAWAN DALAM PEMBIKINAN ...

Pelbagai saiz untuk produk impian saya

Saya telah membulatkan tekad untuk menjadi usahawan. Saya sekarang ini sedang menyiapkan kertas kerja. Malah kerja-kerja penyelidikan telah saya mulakan sejak minggu lepas lagi, saya kena benar-benar bersedia kerana sektor yang ingin saya ceburi adalah sektor yang kurang diceburi malah penyertaan Bumiputera pula, boleh dikatakan tiada langsung.

Malah produk saya ini mungkin antara yang pertama di dunia, saya amat yakin tekad saya untuk menghasilkan produk ini akan mampu direalisasikan, ini adalah kerana sejak sekian lama keinginan saya untuk menghasilkan produk ini seperti menolak-nolak dari dalam diri saya. Keinginan saya lebih membuak-buak sejak akhir-akhir ini apatah lagi membaca pelbagai kes penderaan, buang bayi dan lain-lain insiden yang menuntut nilai kemanusiaan yang tinggi.

Saya juga telah melayari internet sejak beberapa ketika untuk mencari maklumat jika ada pihak-pihak lain samada dalam atau luar negara pernah menghasilkan produk yang saya rancang dan impikan ini. Sah, memang tiada malah saya amat yakin produk ini akan menjadi best seller atau lebih tepat lagi mampu melonjak nama Malaysia ke persada dunia. Penghasilan produk saya dalam pelbagai saiz dan citarasa diharap akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan harapan YAB Perdana Menteri ketika mengumumkan keadaan ekonomi negara minggu lepas.

Saya akan memohon bantuan semua pihak untuk merealisasikan penghasilan produk impian saya ini, hatta MATRADE, MIDA, MITI, Agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam usaha kemanusiaan dan keusahawanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya akan saya usahakan untuk mengedarkan produk saya, malah 6000 koperasi, lebih 10000 sekolah, IPTA dan IPTS di seluruh negara akan digembeling bagi memastikan produk impian saya sampai ke sasarannya. Ialah apalah ertinya jika mempunyai produk yang cemerlang tetapi gagal dinikmati dan dipraktis oleh masyarakat umum.

Produk saya ini, harapan saya akan dinaungi oleh YABhg. Datin Seri isteri YAB Perdana Menteri kita, kerana telah menjadi lumrah jika sesuatu produk dilancarkan oleh setakat Ketua Kampung atau Tok Sidang, tidak akan ke mana, malah akan segera dilupakan. Saya amat berharap dan berdoa usaha murni saya menjadi usahawan dan menghasilkan produk ini akan diberkati Allah SWT. InsyaAllah.

Maaf saya hampir terlupa, apa sebenarnya yang mendorong saya berusaha untuk menghasilkan produk impian saya ini ialah kerana membaca pelbagai berita mengenai bayi dibuang, penderaan kanak-kanak dan yang terbaru kisah seorang anak berusia tiga tahun didera sehingga maut oleh teman wanita si ibunya sendiri dan khabarnya hanya kerana si anak itu bermain air.

Di sebabkan hambatan hidup masa kini, kita semakin pantas bergerak hingga sukar membezakan nilai dan norma-norma sebagai seorang manusia. Produk saya menepati kehidupan kita yang semakin sibuk dan tidak punya waktu untuk menghargai kemanusiaan.

Saya ingin menghasilkan produk dalam tin: apa yang ingin saya jual – KEMANUSIAAN. Secara ringkasnya KEMANUSIAAN DALAM TIN! Inilah sumbangan kecil saya kepada dunia yang semakin kekurangan nilai kemanusiaan. Untuk pasaran antarabangsa produk ini akan diberi jenama: HUMANITY IN CAN. Ada sesiapa ingin menjadi rakan kongsi saya?
Share this article :
 

+ komen + 8 komen

ustazah
27 Februari 2010 8:01 PTG

kritikan yg sinis...syabas tuan sakat

sara
27 Februari 2010 8:09 PTG

sedih sangat keadaan masyarakat sekarang ini.

anep
27 Februari 2010 9:07 PTG

Salam tuan, syabas

minah
28 Februari 2010 11:05 PG

Salam tuan, dahlah dpt mak dia, dera anak dia pula, apa punya jantan keparat...

karim
28 Februari 2010 1:49 PTG

komen sinis yang merangsang..

arif
28 Februari 2010 2:38 PTG

sinis

nabil
1 Mac 2010 4:10 PTG

saya suka entri ini..

sis
1 Mac 2010 5:08 PTG

kemanusiaan dlm tin...menarik sekali imiginasi tn...tapikan kemanusiaan itu akan melalui tekak ke perut lalu dicernakan terus menjadi sesuatu yang dibuang dr tubuh manusia....kemanusiaan itu patut singgah di hati dan lekat di akal..br kemanusiaan itu mampu menjadikan manusia itu seorang manusia..tn patut buat inovasi baru terhadap produk tn..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger