WARKAH TERBUKA UNTUK YAB DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK


Assallamualaikum Datuk Seri,

Kurang 24 jam ketika tulisan ini disiar, Datuk Seri akan mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, tepat jam 10.00 pagi, 3 April 2009.

Saya percaya harapan saya dan harapan seluruh rakyat Malaysia akan digalas dan diamanahkan kepada Datuk Seri untuk menerajui Malaysia selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Apalah sangat harapan saya selaku rakyat kecil negara berjiwa besar ini selain dari melihat negara dipacu dalam suasana yang aman, stabil ekonomi, jiwa dan politiknya. Mungkin agak keterlaluan bagi saya meletakkan harapan yang menggunung tinggi untuk melihat perubahan berlaku sekelip mata seperti magis, tetapi saya sentiasa berharap dan berdoa agar Datuk Seri dapat memanjangkan perubahan seperti yang dilaungkan oleh Datuk Seri sewaktu mengambil amanah selaku Presiden UMNO yang ketujuh baru-baru ini.

Ujian pertama Datuk Seri sebenarnya sudahpun bermula, tiga pilihan raya kecil di Bukit Gantang, dan DUN di Bukit Selambau dan Batang Air bakal melakar lanskap politik tersendiri buat Datuk Seri, harapan saya Barisan Nasional mampu melakar kejayaan di ketiga-tiga pilihan raya kecil ini walaupun pihak pembangkang amat memerlukan kemenangan ini demi melemahkan semangat Datuk Seri khususnya di Bukit Gantang yang mana negeri Perak berjaya ditawan Datuk Seri selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak.

Sewaktu Datuk Seri menerajui Kementerian Pelajaran, dalam 10th International Conference on Asssessing Quality in Higher Education (27-29 Julai 1998), Datuk Seri menyarankan pensyarah-pensyarah IPT dilengkapi latihan khusus dalam bidang pedagogi sebelum diterima sebagai pensyarah, malah sewaktu penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, Datuk Seri juga menyarankan bentuk latihan perkaderan kepada pemimpin UMNO di semua peringkat, saya percaya latihan dan pendidikan berterusan ini akan menjadi intipati Datuk Seri untuk sentiasa memuhasabah diri dari masa ke semasa agar akan sentiasa menjadi pemimpin yang ‘cakap serupa bikin’ – maaflah saya hanya mahu kurang beretorik!


Datuk Seri,

Walaupun belum secara rasmi menerajui negara sebagai Perdana Menteri, saya percaya banyak perencanaan yang telah Datuk Seri rencanakan sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004, tetapi saya amat yakin perencanaan ini lebih khusus selepas menerajui UMNO baru-baru ini, walaupun saya amat tahu dan sedar Datuk Seri terpilih menerajui negara dengan izin Allah SWT dalam masa negara dan dunia mengalami kegawatan dan kelembapan ekonomi, tetapi saya amat yakin dengan pendekatan dan pengalaman selama 30 tahun dalam Kerajaan, Datuk Seri mampu memberi tumpuan kepada hal-hal berkaitan ekonomi dan kegawatan.

Walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi Perdana Menteri mengamalkan konsep keterbukaan yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah, moga Datuk Seri akan mengambil iktibar dari keterbukaan yang tidak dihargai ini.

Akhirnya saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menggalas amanah agama,bangsa dan negara selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Selamat Bertugas!

Ulasan

ustazah berkata…
Selamat Bertugas Datuk Seri Najib, moga negara akan terus kekal cemerlang gemilang dan terbilang..saya berkongsi perasaan ini dgn tuan juga..
Tanpa Nama berkata…
Selamat dan lega bila dah jadi PM agaknyer lah...
SIS berkata…
salam tn ks..DSN memikul tanggungjawab yang berat..utk satukan ahli2 UMNO..yang paling utama untuk mengembalikan kepercayaan rakyat pada BN sebagai parti memerintah yang mementingkan kesejahteraan agama bangsa dan negara..
jura berkata…
Selamat Bertugas, DS Najib..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU