SELAMAT DI TEMPAT KERJA...
Saya teringat zaman saya mula bekerja sehingga kini, sejak bekerja sendirian sehingga punya orang bawahan yang menjadi tanggungjawab dan amanah sebagai ketua. Seperti lazimnya saya sentiasa tekankan keselamatan sewaktu bekerja; yelah tugas terakhir saya di sebuah anak syarikat stesen TV swasta yang terkenal, terlibat dengan urusan logistik yang mengendalikan punggahan barangan untuk syarikat.
Seingat saya, sepanjang saya bekerja samada secara sendirian mahupun sebagai ketua, saya berdoa, anak-anak buah saya tidak terlibat dengan kemalangan khususnya sewaktu bekerja. Terima kasih, Ya Allah kerana memang sepanjang tempoh kerja setakat ini, saya, mahupun anak-anak buah saya tidak terlibat dengan kemalangan sewaktu bekerja. Teorinya mudah - kalau berisiko, ambil pendekatan yang pragmatik, jangan cuba jadi hero, kalau perlu kita 'outsource' pada orang luar yang berkepakaran. Apa macam, idea jahat itu!
Saya sengaja memilih untuk bernostalgia mengenai keselamatan di alam pekerjaan, kerana sejak tahun 2003, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah mengisytiharkan setiap 28 April ialah Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ialah kempen sejagat untuk mengenang pengorbanan dan jerit perih golongan pekerja di seluruh dunia.
Di seluruh dunia, warga dunia yang miskin dan kurang dilindungi khususnya wanita, kanak-kanak dan imigran adalah yang paling terjejas. Kempen sejagat pada setiap 28 April adalah salah satu langkah pencegahan bagi membudayakan keselamatan di tempat kerja sentiasa dititik beratkan. 28 April juga adalah hari bagi memperingati mangsa-mangsa kemalangan dan penyakit di tempat kerja oleh pergerakan kesatuan sekerja dunia.
Untuk semua, selamat bekerja dengan selamat!
Ulasan