MARILAH KITA MEMULAKAN LANGKAH PERJALANAN HEBAT INI - BERSAMA-SAMA
Tempat : Pejabat Perdana Menteri
Tarikh : 03/04/2009
Tajuk : PERUTUSAN SEMPENA PENERIMAAN JAWATAN
Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera
1. Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen YABhg. Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah.
2. Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan YABhg. Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.
3. Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanahtanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara.
4. Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya. Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.
5. Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global.
6. Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.
7. Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu.
8. Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.
9. Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.
10. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.
11. Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.
12. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGABELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.
13. Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.
14. Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukupmencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.
15. Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.
Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini.
Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini – bersama sama.
Wabillah hitaufik Walhidayah Wassammualaikum Warah Matullahiwabarokatuh
Ulasan