SELAMAT BERSARA PAK LAH!

(Lambaian Pak Lah - gambar ihsan akhbar Kosmo)


Selepas menerajui negara selama 5 tahun 5 bulan dan 3 hari, akhirnya YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri yang ke-5 menyerahkan ‘baton’ pemerintahan selaku Perdana Menteri kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Bukan mudah menyerahkan tampuk kuasa sekurang-kurangnya dalam negara kita yang aman damai ini, tetapi itulah Pak Lah yang mendahulukan kepentingan parti dan negara berbanding kepentingan peribadi.

“Inilah harapan saya. Saya tidak minta tuan-tuan berkerja untuk saya tetapi mahu tuan-tuan berkerja bersama-sama saya kerana bangsa dan negara.” Inilah ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada 1 November 2003.

Dengan dua pilihan raya umum iaitu yang ke-11 pada tahun 2004 dan PRU ke-12 pada 2008 masing-masing mencatat sejarahnya sendiri. Kemenangan besar pada PRU 11 dan kekalahan teruk pada PRU 12 tidak mungkin dapat dilupakan rakyat negara ini khususnya di kalangan ahli-ahli politik yang menggelarkan PRU 12 sebagai tsunami politik dengan 5 negeri terlepas dari gengaman parti pemerintah.

Namun Pak Lah seperti sudah menjangkakan situasi ini kerana pada hari penamaan calon PRU 12, saya mengucapkan tahniah dan harapan agar Barisan Nasional dapat mengekalkan momentum seperti pada 2004 tetapi dibalas ‘do you think so, Nasser’?

Pak Lah memang ramah dan berusaha untuk mendekati setiap orang, dan banyak insiden menarik yang saya alami berhubung keramahan Pak Lah, yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah sewaktu perasmian Kompleks Budi Penyayang di Kepala Batas pada tahun 2005 ketika saya bersama ribuan rakyat Kepala Batas mengiring Pak Lah dan Allahyarham Datin Seri Endon selama 4 jam semasa acara perasmian kompleks tersebut.

Pak Lah seorang yang penyayang samada kepada orang yang dikenali mahupun tidak, pengalaman peribadi saya menjaga keperluan seorang anak saudaranya arwah Kak Aminah memang sukar dihakiskan dari lipatan kenangan saya, kerana ketika berkunjung ke Sri Perdana, Pak Lah mengarahkan saya membawa arwah Kak Aminah terus ke hospital Ampang Puteri sebelum meminjam pen saya untuk menulis sesuatu, dan selepas genap 40 hari pertemuan di Sri Perdana, arwah Kak Aminah kembali ke rahmatullah. Semoga roh arwah dicucuri rahmah Allah SWT. Itulah beberapa catatan peribadi saya dengan Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima – Pak Lah.

Walaupun iklim politik agak kurang menyenangkan dan banyak tindakan dan pendekatan yang diambil agak kurang popular khususnya selepas PRU 12, namun Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang mesra rakyat (sehingga acapkali lewat ke majlis seterusnya) memang sukar dilupakan dan akan sentiasa terpahat di kalbu setiap rakyat Malaysia yang cintakan kelembutan, kedamaian dan keterbukaan. Itulah Pak Lah, kepada Pak Lah yang sudi menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan izin Allah SWT selama 5 tahun, 5 bulan dan 3 hari, SELAMAT BERSARA…!

Ulasan

ustazah berkata…
Salam tuan,saya terharu dengan persaraan Pak Lah selaku Perdana Menteri kita, lebih terharu di atas ingatan tuan terhadap Pak Lah, walaupun pernah kurang senang dengan tindak tanduknya. Saya amat gembira tuan mempunyai catatan peribadi berhubung Pak Lah..saya benar-benar teruja walaupun saya masih berusaha mendekati tuan..
SIS berkata…
salam tn ks..saya bangga dan terharu punya PM yang dgn rendah hati menyerah tampuk pemerintah setelah akur dgn kehendak rakyat yang mahu perubahan akibat tamparan dari PRU 12..Pak Lah umpama seorang bapak yg sedaya memenuhi kehendak anak2 tapi dirinya jadi mangsa mereka2 yang rakus dan suka mengambil kesempatan..Selamat Bersara Pak Lah..
amir berkata…
pak lah negarwan berjiwa besar, datang bila dipanggil dan pergi bila tidak lagi diperlukan..syabas pak lah..selamat bersara..
jura berkata…
Selamat bersara Tun Abdullah..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU