NELSON MANDELA, TUAN SEORANG LAGENDA!

Seingat saya antara buku awal yang saya beli secara online selepas diterima menjadi ahli American Book Club adalah buku Long Walk to Freedom dan sebuah lagi buku mengenai pemimpin komunis, Mao Tse Tong.

Nelson Mandela, mantan Presiden Afrika Selatan.  Walaupun jangkahayat beliau menduduki kerusi presiden tidaklah begitu lama, namun impak yang ditinggalkan oleh beliau amat ketara kerana beliau merupakan presiden daripada kalangan kulit hitam yang pertama.

Selain menjadi warga kulit hitam yang pertama memegang tampuk pemerintahan sebagai Presiden Afrika Selatan dari tahun 1994 hingga 1999, beliau juga adalah presiden pertama terpilih daripada proses pilihanraya di negaranya.  Fokus utama Nelson Mandela ketika menjadi Presiden adalah melupuskan legasi apartheid yang mencengkam begitu kukuh di benua Afrika.

Sungguhpun pernah menjalani hukuman penjara selama 27 tahun kerana penglibatannya dalam memperjuangkan nasib rakyat sehingga dituduh berkonspirasi untuk menggulingkan kerajaan dan dipenjarakan pada tahun 1962,namun semangat dan iltizam untuk menyatukan rakyat Afrika Selatan tidak pernah luntur sehingga ke akhir hayatnya.

Dengan kemenangan African National Party (ANC) yang dipimpinnya, beliau terpilih menjadi Presiden Afrika Selatan dan membuka lembaran baru dalam isu-isu apartheid.

Semasa hayatnya, sungguhpun dipenjara satu perempat daripada hidupnya, beliau menerima lebih daripada 250 anugerah terhadap usaha beliau dalam memupuk keamanan sejagat, di samping Hadiah Keamanan Nobel yang diterimanya pada tahun 1993.  Beliau menolak untuk penggal kedua daripada menjadi Presiden dan memberikan laluan kepada Naibnya.

Nelson Mandela selepas bersara daripada politik menumpukkan kepada kerja-kerja kebajikan,  usaha pencegahan HIV/AIDS serta membanteras kemiskinan melalui Yayasan Nelson Mandela.

Nelson Mandela bukanlah sosok yang mudah kalah, demikian coretannya dalam buku autobiografinya, The Long Walk to Freedom.  Walaupun telah dipenjara begitu lama, beliau tidak pernah berdendam dan melakukan ‘witch hunt’ terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk menghumbannya dalam penjara.

Dunia menangisi kematian Nelson Mandela, sosok yang tidak akan muncul begitu lagi apatah dengan sifat dan sikap keprihatinan terhadap aspek kesaksamaan sosial, agihan kekayaan yang menyeluruh, kemanusiaan dan perdamaian malah seorang negarawan keamanan yang sukar dicari ganti.  


Tuan Nelson Mandela, Tuan adalah seorang lagenda!  Selamat bersemadi dengan aman.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju...
haji manap berkata…
dunia akan mengambil masa yg lama utk mendapat seorang lg Nelson Mandela..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?