BANK TIPU, TIPU BANK!

Sejak setahun dua ini antara iklan yang menarik perhatian saya adalah iklah Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM).  Ini kerana di awal iklan tersebut diperkenalkan ianya dibintangi oleh ikon laporan sukan dan pelakon teater dan filem terkenal, Datuk Rahim Razali.  Kini terdapat pula versi seorang lagi selebriti, Faizal Ismail.

Tulisan ini bukan mahu bercakap mengenai Datuk Rahim Razali, Faizal Ismail mahupun PIDM itu sendiri, namun mengenai pendedahan mengejut jenayah komersil oleh kakitangan bank sendiri.

Bayangkanlah jika Pak Ngah di sebuah pekan kecil berjalan ke dalam bank  membawa wang daripada hasil jerit perihnya untuk disimpan, dicatat di dalam buku simpanan atau tidak tercatat, mungkin atas dasar percaya kepada petugas bank, Pak Ngah mungkin tidak begitu menyemaknya.

Selepas beberapa tahun, Pak Ngah mungkin tidak perasan atau ingat jumlah yang disimpannya, akan adakah kemungkinan bahawa ada transaksi yang tidak direkodkan.  Sebelum ini mungkin kita beranggapan bahawa hal ini adalah tidak mungkin, kerana pekerja bank tertakluk kepada sikap dan sifat amanah dan antara yang amat ‘boleh dipercayai’.

Secara peribadi, saya tidak pernah meragukan integriti kakitangan bank apatah lagi memang sering berurusan dengan bank dan tidak pernah mengalami sebarang masalah atau bentuk penipuan.

Pendedahan oleh Ketua Unit Jenayah Perbankan & Kewangan, Jabatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Supt Harjinder Kaur Gurdial Singh baru-baru ini memang mengejutkan.  Kakitangan bank yang saya dan Pak Ngah berurusan selama ini menyumbang kepada 60% salah laku, 10% oleh pihak pengurusan bank manakala hanya baki 10% oleh pelanggan bank.

Kisah bagaimana rumah yang tidak berbayar, telah dilelong oleh bank tanpa dimaklumkan kepada pelanggan bukanlah kes yang terpencil, namun penipuan secara nyata seperti mengeluarkan wang daripada akaun yang tidak aktif, tidak memasukan wang yang diberikan oleh pelanggan  ke dalam akaun, penyalahgunaan kemudahan overdraf dan penyalahgunaan akaun pelanggan adalah antara yang dinyatakan jenis-jenis penipuan oleh petugas bank.

Walaupun simpanan dan deposit pelanggan dilindungi oleh PIDM sekirannya bank mengalami kegagalan, namun jika penipuan oleh petugas bank tentulah mengambil masa yang lama dan sukar dibuktikan malah akan memberikan tekanan kepada para pelanggan untuk mendapatkan kembali wang mereka.

Sebuah bank yang pernah saya berurusan memaklumkan dua hari bekerja diperlukan untuk mengembalikan satu cek bank (banker’s cheque) walaupun semua dokumen asal serta surat daripada pengarah syarikat dan surat daripada penama pada cek tersebut disertakan, yang lebih malang adalah perlu membayar caj sewaktu penyediaan cek bank tersebut dan perlu pula membayar caj untuk membatalkannya. 

Anehnya pembatalan tersebut tidak melibatkan pemberian wang tunai di kaunter tetapi dikreditkan kepada akaun syarikat.  Kerana saya tidak berpuas hati dan membantah alasan dua hari dan dengan sedikit nada tinggi, akhirnya ianya dikembalikan pada waktu itu juga. 

Begitu juga kisah bagaimana sebuah bank cuba mengenakan caj kerana saya menggunakan kaunter untuk membayar bayaran kad kredit saya kerana kerosakan mesin mereka.  Sekali lagi selepas membantah dan meminta penjelasan daripada pengurusnya barulah caj tersebut diabaikan.

Bukit Aman melaporkan peningkatan drastik dalam peningkatan kerugian kerana jenayah dan penipuan perbankan dan institusi kewangan yang dilakukan oleh kakitangan bank.  Untuk tahun ini sahaja setakat November 2013 sebanyak RM390 juta ringgit dilaporkan berbanding RM10.1 juta pada tahun 2008.


Mungkin Persatuan Bank Malaysia (ABM)  boleh memberi jaminan atau langkah-langkah yang telah dan sedang  diambil untuk mengurangkan jenayah khususnya yang dilakukan oleh kakitangan bank, jika berdasarkan rekod Bukit Aman, 90% penipuan dilakukan oleh petugas bank manakala hanya 10% oleh pelanggan.  Yang satu bank tipu, yang lain pula tipu bank!
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
8 Disember 2013 12:27 PG

t kasih atas pencerahan ini..

Tanpa Nama
8 Disember 2013 12:48 PTG

malangnya ...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger