JAWATAN KOSONG: MENTERI KESIHATAN!

Untuk kesekian kalinya, insiden runtuh berlaku lagi.  Ini setelah Menteri Kesihatan memberi jaminan bahawa ianya sedang dibaiki dan dijamin selamat.  Mungkin menteri terbabit perlu menyemak semula maksud perkataan ‘akauntabiliti’ dalam kamus.

Jika di Jepun atau di Korea, para menteri akan mengambil tindakan meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab dan kekesalan bagi insiden yang berlaku dalam kementerian di bawah jurisdiksi mereka, namun di Malaysia ia adalah sebaliknya.

Jika Hospital Serdang mendapat pengiktirafan atau mencapai sesuatu yang luar biasa, maka para menteri akan berduyun-duyun untuk ‘tumpang sekaki’ kepada kejayaan, namun jika ianya unsur negatif, minta maaflah, “saya tidak boleh komen, masih menunggu laporan”, itu jawapan standard.

Insiden runtuh di Hospital Serdang telah memasuki versi ke lima untuk tahun ini sahaja, malah mungkin pihak yang memberikan pengiktirafan untuk buku rekod di Malaysia boleh mewujudkan satu lagi rekod baru berdasarkan pencapaian ‘runtuh’ di Hospital Serdang.

Insiden terbaru adalah adalah pada semalam apabila siling runtuh di bahagian Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Soalnya, ini bukanlah insiden yang bermula pada tahun ini, namun telah pun bermula sejak beberapa tahun yang lalu.  Pun begitu khabarnya, pada bulan lepas juga berlaku insiden siling runtuh.  Walaupun telah beberapa kali insiden ini berlaku, namun seperti tiada usaha konkrit yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan bagi menangani masalah ‘runtuh’ siling dan bumbung di hospital ini.

Malah dikhabarkan juga bahawa Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang pernah dilaporkan berkata “Ini hanya kes kecil kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan”, apabila diminta mengulas insiden runtuh pada 30 September yang lalu.  Adakah insiden runtuh tanpa kecederaan dianggap kes yang kecil!

Insiden runtuh pada 13 Ogos 2012 yang menyaksikan tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan mengalami kecederaan setelah 15 keping siling runtuh, malah pada 30 Januari 2011 kejadian runtuhan siling nyaris menghempap 9 orang awam.

Janganlah hanya bertindak apabila berlaku kecederaan, ketika itu mungkin tidak lagi bermakna apabila berlaku kecederaan apatah lagi jika membabitkan maut.  Mungkin ketika itu barulah segala macam peruntukan disegerakan dan si menteri akan berlumba-lumba untuk membuat kenyataan ‘simpati’ kepada simangsa.

Menteri datang dan pergi, runtuhan di Hospital Serdang masih juga berlaku walaupun si menteri khabarnya memberi jaminan bahawa akan tidak ada insiden runtuhan.  Jika insiden yang telah saban kali dilaporkan membabitkan runtuhan siling dan bumbung di Hospital Serdang, namun menteri yang berkenaan masih menjual senyum, maka yang lebih baik adalah si menteri yang berkenaan mengundurkan diri bagi mengambil tanggungjawab dan membudayakan akauntabiliti di kalangan rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya slogan ‘Kepimpinan Melalui Tauladan’ boleh diimarahkan semula!


Mungkin juga pihak Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah boleh membuka siasatan bagi menyiasat ‘misteri’ di sebalik runtuhan ini.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ayooyo..itu bukan saya punya salah...
Tanpa Nama berkata…
nnti nak mohon kat piem la..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?