PANDANG KE TIMUR LAGI!

Selepas hampir tiga dekad dasar pandang ke timur diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, kini ia dijengah semula oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.  Dengan jolokan ‘gelombang kedua’, dasar Pandang Timur adalah anjakan kepada hubungan baik dua hala sedia ada Jepun dan Malaysia.

Pada awal pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad, sejak 1981, kagum dengan etika kerja dan kaedah perniagaan Jepun, beliau memperkenalkan Dasar Pandang Timur.  Malah beliau juga memperkenalkan kempen ‘Buy British Last’ sebagai protes kepada tindakbalas Britain terhadap usaha menasionalkan syarikat-syarikat di Malaysia.

Ironinya, Jepun yang bangun daripada keruntuhan Hiroshima dan Nagasaki menjadi idola banyak negara bagaimana mereka bersifat kental, rajin dan sangat berdedikasi terhadap aspek membangunkan negara mereka.

Melalui dasar pandang timur ketika era Dr. Mahathir, tumpuan adalah lebih kepada pendidikan dan perindustrian berat, apabila syarikat pengeluar kereta negara berkerjasama dalam menghasilkan kereta buatan Malaysia melalui Proton.

Malah pemindahan teknologi oleh syarikat-syarikat Jepun seringkali tidak menepati citarasa dan kehendak tempatan apabila Proton hanya lebih menonjol sebagai ‘pemasang’ berbanding sebagai pengeluar kenderaan.

Dalam gelombang kedua pula, Malaysia dan Jepun khabarnya akan meningkatkan kerjasama dua hala yang tidak hanya bertumpu kepada latihan dan pendidikan tetapi juga “perlu bersifat lebih progresif dengan memberi fokus kepada keutamaan dan perubahan dalam struktur ekonomi semasa”.

Jepun memang terkenal sebagai ‘jurujual’ yang bijaksana apabila Perdana Menterinya mempromosi sistem kereta api laju Jepun direalisasikan.  Laluan sepanjang 330 kilometer daripada Singapura ke Kuala Lumpur, khabarnya akan dimuktamadkan pada tahun hadapan.

Nampaknya dasar pandang timur versi Dr. Mahathir Mohamad dan gelombang kedua dasar ini seperti tidak menampakkan apa-apa sumbangan jangkapanjang yang signifikan selain daripada memberikan nilai pelaburan sebanyak RM40 billion untuk selama tiga tahun mendatang melalui projek kereta api laju.

Pindahan teknologi tidak mungkin akan berlaku dengan pendekatan yang sedang diguna pakai mungkin kita perlu menilai semula dengan akal yang waras gelombang kedua dasar pandang ke timur supaya tidak hanya menjadi ‘pengguna’ produk dan sistem kerja Jepun tanpa boleh mengaplikasikannya secara lebih efisyen.

Apakah Jepun sekadar memancing dengan umpan ‘tambahan biasiswa’ kepada pelajar dari negara Asean yang melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), dan kita pun begitu terharu dan bersedia melayarkan ‘gelombang kedua’ dasar pandang ke timur?


Mungkin tulisan ini agak skeptikal, namun jika dibaca secara harfiah tujuan pelaksanaan gelombang kedua, kita akan jadi lebih teruk daripada ketika dijajah Jepun dahulu, jangan hanya menang sorak dan menggadai negara!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kena jual ngan jepun aja..
SIS berkata…
Rakyat M'sia kena belajar ambil yg positif dr apa2 yg berlaku / dilakukan oleh negara2 maju tidak kira barat atau timur...buang yg negetif...dasar pandang ke timur lebih kepada mencontohi perubahan sikap..bkn sekadar meminjam teknologi mereka tetapi mencipta teknologi..rakyat M'sia seolah2 blum bersedia utk merubah sikap...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?