BANK TIPU, TIPU BANK!
Sejak setahun dua ini antara iklan yang menarik perhatian
saya adalah iklah Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM). Ini kerana di awal iklan tersebut
diperkenalkan ianya dibintangi oleh ikon laporan sukan dan pelakon teater dan filem
terkenal, Datuk Rahim Razali. Kini
terdapat pula versi seorang lagi selebriti, Faizal Ismail.
Tulisan ini bukan mahu bercakap mengenai Datuk Rahim Razali,
Faizal Ismail mahupun PIDM itu sendiri, namun mengenai pendedahan mengejut jenayah komersil oleh kakitangan bank sendiri.
Bayangkanlah jika Pak Ngah di sebuah pekan kecil berjalan ke
dalam bank membawa wang daripada hasil
jerit perihnya untuk disimpan, dicatat di dalam buku simpanan atau tidak
tercatat, mungkin atas dasar percaya kepada petugas bank, Pak Ngah mungkin
tidak begitu menyemaknya.
Selepas beberapa tahun, Pak Ngah mungkin tidak perasan atau
ingat jumlah yang disimpannya, akan adakah kemungkinan bahawa ada transaksi
yang tidak direkodkan. Sebelum ini
mungkin kita beranggapan bahawa hal ini adalah tidak mungkin, kerana pekerja
bank tertakluk kepada sikap dan sifat amanah dan antara yang amat ‘boleh
dipercayai’.
Secara peribadi, saya tidak pernah meragukan integriti
kakitangan bank apatah lagi memang sering berurusan dengan bank dan tidak
pernah mengalami sebarang masalah atau bentuk penipuan.
Pendedahan oleh Ketua Unit Jenayah Perbankan & Kewangan,
Jabatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Supt Harjinder Kaur Gurdial Singh
baru-baru ini memang mengejutkan.
Kakitangan bank yang saya dan Pak Ngah berurusan selama ini menyumbang
kepada 60% salah laku, 10% oleh pihak pengurusan bank manakala hanya baki 10%
oleh pelanggan bank.
Kisah bagaimana rumah yang tidak berbayar, telah dilelong
oleh bank tanpa dimaklumkan kepada pelanggan bukanlah kes yang terpencil, namun
penipuan secara nyata seperti mengeluarkan wang daripada akaun yang tidak
aktif, tidak memasukan wang yang diberikan oleh pelanggan ke dalam akaun, penyalahgunaan kemudahan
overdraf dan penyalahgunaan akaun pelanggan adalah antara yang dinyatakan
jenis-jenis penipuan oleh petugas bank.
Walaupun simpanan dan deposit pelanggan dilindungi oleh PIDM
sekirannya bank mengalami kegagalan, namun jika penipuan oleh petugas bank
tentulah mengambil masa yang lama dan sukar dibuktikan malah akan memberikan
tekanan kepada para pelanggan untuk mendapatkan kembali wang mereka.
Sebuah bank yang pernah saya berurusan memaklumkan dua hari
bekerja diperlukan untuk mengembalikan satu cek bank (banker’s cheque) walaupun
semua dokumen asal serta surat daripada pengarah syarikat dan surat daripada
penama pada cek tersebut disertakan, yang lebih malang adalah perlu membayar
caj sewaktu penyediaan cek bank tersebut dan perlu pula membayar caj untuk
membatalkannya.
Anehnya pembatalan tersebut tidak melibatkan pemberian wang
tunai di kaunter tetapi dikreditkan kepada akaun syarikat. Kerana saya tidak berpuas hati dan membantah
alasan dua hari dan dengan sedikit nada tinggi, akhirnya ianya dikembalikan
pada waktu itu juga.
Begitu juga kisah bagaimana sebuah bank cuba mengenakan caj
kerana saya menggunakan kaunter untuk membayar bayaran kad kredit saya kerana
kerosakan mesin mereka. Sekali lagi
selepas membantah dan meminta penjelasan daripada pengurusnya barulah caj tersebut
diabaikan.
Bukit Aman melaporkan peningkatan drastik dalam peningkatan
kerugian kerana jenayah dan penipuan perbankan dan institusi kewangan yang
dilakukan oleh kakitangan bank. Untuk
tahun ini sahaja setakat November 2013 sebanyak RM390 juta ringgit dilaporkan
berbanding RM10.1 juta pada tahun 2008.
Mungkin Persatuan Bank Malaysia (ABM) boleh memberi jaminan atau langkah-langkah
yang telah dan sedang diambil untuk
mengurangkan jenayah khususnya yang dilakukan oleh kakitangan bank, jika
berdasarkan rekod Bukit Aman, 90% penipuan dilakukan oleh petugas bank manakala
hanya 10% oleh pelanggan. Yang satu bank
tipu, yang lain pula tipu bank!
Ulasan