SANDIWARA OH SANDIWARA!
Ketika semua pihak menumpukan
usaha menikmati ‘sandiwara’ naskhah dan arahan ameno di Lahad Datu, tiba-tiba
sebuah skrip lama yang terperap begitu lama dan menjadi kes mahkahmah kini
diisytihar pula sebagai satu ‘konspirasi’.
Istilah konspirasi nampaknya
lebih intelektual berbanding istilah drama dan sandiwara yang digunapakai untuk
merujuk kepada insiden di Lahad Datu.
Walaupun Tian Chua dikecam hebat kerana merujuk insiden Lahad Datu
sebagai satu sandiwara, namun sebagai seorang yang biasa-biasa dan tidak
mempunyai sebarang kepentingan politik, mungkin dakwaan ini ada kebenarannya.
Malah ketika sesi teh tarik di
pinggir ibu kota, penduduk sebuah perkampungan yang dikenali sebagai penyokong
kuat parti yang melaungkan ‘tradisi membela rakyat’ dan kini sibuk menjaja ‘janji
ditepati’ juga dikecam hebat ekoran insiden di Lahad Datu. Antara yang dipertikaikan adalah mengapa
pihak tentera menjadi lapisan kedua berbanding polis apabila perairan negara dibolosi
dan diceroboh.
Secara peribadi, ada juga
kebenaran daripada pertanyaan ini yang dilontarkan oleh penduduk kampong yang
masih setia bersama parti ‘tradisi membela rakyat’. Dakwaan Menteri Dalam Negeri, yang mengatakan
bahawa lebih 100 orang berpakaian lengkap tentera dan bersenjata bukan
pengganas tetapi sebenarnya adalah penyokong kesultanan sulu juga menjadi bahan
lawak yang segar.
Sesi teh tarik saya menjadi
sangat menakutkan apabila seorang penduduk yang menongkat motosikalnya
tiba-tiba menyampuk memarahi teman-temannya yang mempertikaikan pendirian si
Menteri tersebut dengan bersungguh-sungguh, saya hampir sahaja mahu
meninggalkan warung tersebut, namun terencat apabila teman yang marah-marah
tadi sebenarnya ‘memperlekehkan’ menteri yang menjaga urusan dalam negeri
sehingga semua mereka ketawa berdekah-dekah sambil mengangkat tangan kepada
saya dan memberi isyarat bahawa tadi sebenarnya dia bergurau!
Mereka juga sependapat mengatakan
bahawa menteri tersebut yang kononnya mendapat maklumat daripada risikan oleh
para pegawainya sepatutnya berani ‘menggantung tugas’ para pegawai yang
memberikan maklumat risikan kepadanya.
Namun jika komen tersebut adalah kerana ‘rasa bijak pandai’ si menteri
tersebut, sepatutnya beliau patut mengundurkan diri kerana menyebabkan
sekurang-kurangnya lapan nyawa yang tidak berdosa menjadi korban.
Hari ini, kita dikejutkan pula
oleh dakwaan bapa mangsa liwat yang dikaitkan dengan ketua pembangkang bahawa
segala dakwaan liwat yang dilontarkan kepada ketua pembangkang itu sebenarnya
adalah konspirasi dua orang pegawai Perdana Menteri. Dakwaan ini kelihatannya sangat serius sama
seperti dakwaan oleh penyiasat persendirian Bala, yang kini giat menyampaikan
ceramah di pentas pembangkang.
Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd
Lazim mendakwa anaknya diperguna oleh pihak-pihak tertentu yang tidak
bertanggungjawab untuk memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan mengheret
Anwar yang dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan liwat pada 9 Januari 2012 yang
lalu.
Dakwaan melibatkan pegawai
Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri yang pertama oleh saudagar karpet,
Deepak Jaikishan, penyiasat persendirian Bala dan terkini oleh bapa mangsa
liwat yang dikaitkan dengan ketua pembangkang adalah sesuatu yang serius, malah
tindakan Bala dan Deepak yang berterusan mengaitkan Perdana Menteri dengan
salah laku boleh mencemarkan imej seorang pemimpin negara di mata
antarabangsa.
Pihak-pihak berkenaan seharusnya
mengambil tindakan proaktif dengan dakwaan ini bagi mengelakkan kecelaruan yang
lebih serius dan spekulasi yang sukar dibendung.
Walaupun tindakan bapa Saiful
Bukhari ini tidak mencerminkan pendirian mangsa liwat ini, namun kenyataan Mohd Azlan Lazim harus diberi perhatian kerana
ketika sumpah laknat dan rentetan peristiwa liwat, dua beranak ini sentiasa
bersama, namun apabila bapanya mengatakan bahawa tuduhan liwat oleh anaknya
terhadap ketua pembangkang ini adalah konspirasi terancang para pegawai Perdana
Menteri, rasanya tentulah ada yang tidak kena.
Sekiranya Kerajaan tidak
mengambil pendekatan bagi memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat negara
ini, maka tidak mustahil dalam dunia tanpa sempadan seperti sekarang ini,
rakyat yang celik internet akan berusaha mendapatkan maklumat daripada
sumber-sumber lain sehingga akan membentuk persepsi bahawa apa yang berlaku
sama ada insiden di Lahad Datu, pengakuan Deepak, pendedahan Bala mahupun
kenyataan oleh Mohd Azlan Lazim akan terus dilabel sebagai ‘sandiwara’. Selamat membuat persepsi daripada tulisan
entri ini!
Ulasan