HEBATNYA ANWAR!



Perdana Menteri selepas Najib Tun Razak seharusnya mestilah Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya itulah yang terlintas di fikiran saya apabila akhbar media perdana Utusan Malaysia dan TV3 melaporkan mengaitkan peristiwa pencerobohan di Sabah dengan ketua pembangkang itu.

Rasionalnya amat mudah, jika empat agensi pusat yang diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Malaysia, dan Tentera yang kesemuanya dibawah kuasa menteri pusat dapat ‘diperbodohkan’ sehingga terjadinya pencerobohan, maka tentulah Ketua Pembangkang yang dikaitkan dengan insiden ini hebat orangnya dan layak memimpin negara!

Apakah yang tidak disedari oleh kerajaan Barisan Nasional ialah bagaimana bercelarunya menteri-menteri yang terlibat sama ada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan bercanggah kaedah dan pandangan mereka.  Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa berdasarkan risikan kumpulan tersebut yang lengkap bersenjata bukanlah pengganas tetapi penyokong Kesultanan Sulu.

Ironinya masalah Kesultanan Sulu di bawa ke perairan kita dan mengancam keselamatan penduduk di kampung di mana mereka mendarat dan masih dikatakan bukan pengganas!
Apakah masalah kesultanan mereka lebih penting daripada keselamatan rakyat negara ini sendiri.  Malah jika mereka bukan pengganas, bagaimana pula kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan kumpulan ini memulakan serangan dan mengakibatkan dua wira negara terkorban.

Malah laporan menyebut bahawa dua wira negara yang terkorban dalam insiden ini sebenarnya ‘terpedaya’ dengan dakyah penceroboh yang dilabel bukan pengganas oleh Menteri Dalam Negeri itu, apabila mengibarkan bendera putih yang kononnya menggambarkan mereka ingin menyerah diri.

Jikapun ada laporan dikaitkan dengan jemputan pembangkang namun amatlah malang jika pihak penguatkuasaan gagal membendung kumpulan ini sehingga kumpulan ini mampu muncul di perairan negara malah sehingga menyelusup ke kampung berhampiran, sehingga menyebabkan penduduk kampung terpaksa lari untuk perlindungan ke lokasi lain.

Seperkara yang menjadi keanehan kepada saya ialah mengapa isu pencerobohan ini ditangani oleh pihak polis dan bukannya pihak tentera sedari awal, isu yang mampu mengancam kedaulatan dan keselamatan negara sepatutnya ditangani oleh pihak tentera dan bukannya pihak polis yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Jika akhbar Utusan Malaysia dan TV3 boleh mengaitkan tindakan pencerobohan ini dengan pihak pembangkang, apakah tidak mustahil juga mengaitkan bahawa isu ini semacam satu ‘sandiwara’ oleh kerajaan Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum berdasarkan laporan akhbar oleh pembangkang dan pandangan beberapa orang mantan pemimpin ketenteraan negara!

Walauapa pun tuduhan oleh Utusan Malaysia dan TV3 semacam memberikan gambaran bahawa Ketua Pembangkang di negara ini lebih ‘hebat’ jika mampu menerobosi kecekapan empat agensi Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional berbanding menteri-menteri Kabinet mereka sendiri!

Jika di negara seperti Jepun, Korea dan Taiwan dalam insiden seperti ini akan menyebabkan menteri yang berkenaan akan merasa malu dan mengumumkan 'perletakan jawatan' kerana kegagalan dalam tugasnya, apakah akan berlaku di negara kira apabila Menteri Dalam Negeri berani meletakkan jawatan kerana kegagalan melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan kepadanya!

Nota Kaki: Tulisan ini merakamkan salam takziah kepada tiga wira negara yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu - Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud serta seorang lagi anggota polis yang dilaporkan terbunuh awam malam tadi.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
aku umno pun malu dgn tuduhan tv 3 suku dan akbar utusan meloya...
Tanpa Nama berkata…
anwar hebat meporak peranda kan negara ja..hihihi..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?