TANDA PUTERA & TAYANGAN TERHAD ...


Mungkin ada hikmahnya saya terlepas menonton filem Tanda Putera yang hangat diperkatakan di sana sini.  Saya tidak pasti tentang isi filem tersebut, tetapi di Malaysia segalanya mungkin,  sesuai dengan slogan Malaysia Boleh!

Filem yang suam-suam kuku dengan isi dan fakta yang diragui (maaf saya tidak merujuk kepada filem Tanda Putera) dan teater mahupun pementasan yang dianggap menyumbang pada ‘sifir politik’ sudah mampu melenakan tidur penerbitnya.  Itulah tanggapan saya terhadap filem Tanda Putera yang belum saya tonton lagi walaupun pernah mendapat jemputan untuk menontonnya.

Seingat saya, filem Tanda Putera khabarnya telah diharamkan atau ditangguh tayangan kepada umum (maksudnya tayangan di pawagam) oleh Kabinet, namun ianya telah ditayangkan secara tertutup oleh beberapa organisi.  Sehingga kini jika tidak silap saya tayangan terhad yang diuar-uarkan adalah kepada kurang daripada lima kali.

Ironinya,  kumpulan pertama yang berpeluang menontonnya adalah  para peneroka FELDA di PWTC pada 18 Februari yang lalu, khabarnya seramai 3000 orang peneroka telah mendapat keistimewaan menontonnya atas permintaan Perdana Menteri sendiri.

Pada 9 Mac yang lalu, saya mendapat jemputan untuk menonton filem ini daripada seorang teman melalui sistem pesanan ringkas pada telefon bimbit saya.

“Filem ini pasti tak akan ditayangkan pada umum. Mengisahkan perjuangan & pengorbanan pemimpin negara pd 1969. Sila sahkan kehadiran utk reserve seat. Tempat TERHAD utk PENGUNDI MELAYU shj.”

Saya tidak begitu pasti apakah muslihat filem ini diharamkan untuk tayangan umum namun dibenarkan untuk tayangan tertutup dan terhad kepada sesebuah kumpulan sahaja.

Sekiranya filem mendapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bermakna ia menggunakan dana awam dan sebagai rakyat Malaysia kita memang berhak menontonnya secara terbuka dan bukan tertutup dan berpilih-pilih (selective group screening).

Adakah pihak Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO mempunyai agenda tersembunyi dengan menayangkan filem ini kepada kumpulan tertentu? Jika tidak, mengapa ianya diharamkan atau ditangguh namun ditayangkan pula secara tertutup?

Filem Tanda Putera sewajarnya tidak digunakan sebagai salah satu alat propaganda Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO dan usaha untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu dan Melayu menjelang Pilihanraya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Integriti pengarah dan pengkarya filem ini juga sedang dipersoalkan sama seperti Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO yang membuat keputusan mengharam/menangguhkan tayangan umumnya.  Jika ia benar-benar mencerminkan fakta dan kejadian sebenar peristiwa 13 Mei, seharusnya kerajaan berani untuk menayangkan kepada umum bagi memberikan peluang untuk generasi muda khususnya membuat penilaian mereka sendiri.

Filem adalah wadah seni yang seharusnya digunakan oleh semua pihak untuk menyemai semangat patriotik dan bukannya untuk memecahbelahkan kaum serta mewujudkan kebencian di antara kaum.

Kini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab terhadap aspek perpaduan kaum di Malaysia menyokong tayangan filem Tanda Putera kepada kumpulan tertentu secara tertutup, apakah yang dimahu dicapai oleh kerajaan melalui tayangan filem secara tertutup dan kepada kumpulan tertentu, lu pikirlah sendiri!

Jika pihak-pihak seperti FINAS dan SEMESTA  di bawah pimpinan Dr. Mahadi J. Murad boleh mengusahakan wacana akademik berhubung dengan file mini, mungkin akan memberikan wadah untuk kita menonton, menilai dan memperkatakan filem ini, apakah FINAS mahupun SEMESTA bersedia menyahut cabaran ini?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rndah..hi hi hi..
SIS berkata…
filem tersebut mampu mencetuskan huru-hara antara kaum..itu yg bn takut.. tambahan pulak masa skrg yg menghampiri PRU13...
fikrah islamiah berkata…
Gambaran dalam filem ini untuk menunjukkan bahawa DAP parti yang tdiak sepatutnya disokong oleh orang Melayu dalam pilihan raya kali ini.
kalau didedahkan kepada umum nanti DAP boleh saman finas atau kerajaan kerana membuat fitnah. jadi, tayangkan kepada orang kampung yang tidak terlibat dengan peristiwa 13 Mei itu. Mereka tidak tahu dan terus boleh percaya.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?