KAMI TAHU APA YANG KAMI LAKUKAN!


Sejak kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang mengambilalih tampuk kuasa pada Mac 2009, banyak perubahan dan transformasi yang telah diutarakan.  Sebaik sahaja dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kini, selepas hampir empat tahun, walaupun banyak perubahan fizikal dan spiritual, namun mentaliti lama dan kotak fikir usang masih menjadi ‘bau’ yang mengikuti kebanyakan pemimpin di negara ini tidak terkecuali menteri kabinet sekalipun. 

Episod pendaratan lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera di pesisiran pantai Lahad Datu pada 12 Februari 2013 kini masih menjadi tanda tanya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

Kotak fikir para pemimpin di semua peringkat seperti Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang masih mendakap mentaliti ‘government know best’ seharusnya telah lama dipinggirkan, ini kerana sebagai rakyat kita berhak untuk mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh pihak keselamatan menangani episod pencerobohan seperti ini. 

Dengan hanya menyatakan ‘tidak perlu bimbang, kami tahu apa yang kami lakukan’ sebenarnya tidak membantu malah mengundang pelbagai spekulasi yang akhirnya menjadi fitnah.

Pendirian Menteri Dalam Negeri yang mengatakan bahawa kumpulan tersebut bukan pengganas tetapi penyokong Kesultanan Sulu berdasarkan risikan juga diragui dengan tempoh negosiasi yang agak lama. 

Selepas hampir dua minggu sehingga tulisan ini dimuatnaik, malah pada hari semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan episod pencerobohan ini akan diselesaikan secepat mungkin dan menasihatkan rakyat supaya tidak bimbang.  Malah ketika diajukan pertanyaan mengenai tempoh 48 jam yang telah berakhir, Timbalan Ketua Polis sekadar berkata “Tunggu dan lihat”.

Soalnya adakah begitu teruk kawalan di perairan kita sehingga begitu mudah dicerobohi seperti insiden di Lahad Datu yang telah memasuki minggu ketiga, malah rakyat hanya dihidangkan jaminan tanpa sebarang perkembangan yang begitu meyakinkan.

Mungkin insiden di Lahad Datu akan meninggalkan kesan negatif dalam ‘kad laporan’ kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah negara selama lebih setengah abad, bagaimana negara ini kelihatan begitu mudah dicerobohi oleh anasir asing.

Adalah wajar bagi pihak berkuasa merahsiakan tindak tanduk mereka sebagai satu kerahsiaan strategik, namun apa yang lebih diharapkan adalah bagaimana perkembangan dan usaha yang dijalankan sepatutnya dikhabarkan kepada rakyat dan tidak sekadar ungkapan-ungkapan klise seperti ‘tidak perlu bimbang’, ‘tunggu dan lihat’ dan sebagainya.

Malah tempoh penamatan ‘stand off’  yang berupa amaran oleh Polis DiRaja Malaysia yang pada mulanya pada Jumaat, 22 Februari lalu, disambung sehingga Ahad dan disambung sekali  lagi sehingga Selasa lalu, nampaknya tidak memberikan apa-apa kesan sehingga kini.

Harapan supaya insiden seperti ini tidak berulang, apatah lagi dengan bahang pilihanraya umum yang semakin hangat, mungkin isu dan aspek keselamatan rakyat di semua peringkat harus menjadi keutamaan dalam manifesto sama ada pihak Kerajaan Barisan Nasional yang mempelopori ‘tradisi membela rakyat’ dan kini kemaruk dengan ‘janji ditepati’ atau pun pakatan pembangkang yang melaungkan ‘negara berkebajikan’!

Ulasan

SIS berkata…
nak jaga periuk nasi...takut masuk pasir..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?