SELAMAT DATANG KE MALAYSIA, NEGARA BR1M!
Apabila
kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dengan segala
agensinya, yang kesemuanya berjumlah 63 buah setakat 30 Disember 2011 di
samping unit-unit khas seperti PEMANDU, PEMUDAH, Talent Corp dan pelbagai
inisiatif yang didokong empat tonggak utama iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Ekonomi, Program
Transformasi Kerajaan dan Rancangan Malaysia ke-10, mengumumkan pemberian BR1M
pada tahun 2012, banyak pihak yang mempertikaikan kaedah pemberian ini, malah
tidak ragu-ragu melabelkan sebagai ‘rasuah politik’.
![]() |
Semalam
Perdana Menteri mengumumkan bahawa pemberian BR1M yang telah memasuki siri
kedua tidak akan dihentikan malah akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan
seterusnya pada tahun-tahun mendatang. Bunyinya
menyeronokkan, ini kerana setiap isi rumah di bawah pendapatan RM3000 bakal
menerima bantuan sebanyak RM500, malah bagi yang belum berkahwin dan berpendapatan
RM2000 pula bakal menerima RM250 sekiranya BR1M diteruskan.
Pedulilah
jika pun pemberian BR1M ini dilabel sebagai rasuah politik khususnya menjelang
Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. Itu bukan soalnya, tetapi apa yang lebih
munasabah dan bijak selain memberikan BR1M ialah membantu rakyat secara umum
untuk meningkatkan pendapatan dan sumber pendapatan mereka. Pemberian BR1M secara jangkapanjang memang
tidak akan membantu, malah dikhuatiri ‘akan disalahguna’ oleh pihak-pihak
berkepentingan di samping mengwujudkan penerima yang ‘tidak sepatutnya’.
Walaupun
menurut Perdana Menteri bahawa BR1M adalah ‘pulangan semula kepada rakyat hasil
kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi’ namun pemberian BR1M seolah-olah
menampakkan keadaan sebaliknya.
Kerajaan
sepatutnya mendedahkan secara terperinci pola dan demografi serta data-data
penerima BR1M setakat ini bagi menunjukkan bahawa penerima BR1M setakat ini
adalah yang benar-benar layak. Adakah
Kerajaan benar-benar prihatin untuk memastikan bahawa penerima BR1M telah
benar-benar ditapis dan bukan kerana ‘mengisi borang’ dan kerana ‘tidak
mempunyai slip gaji’ dianggap sebagai berpendapatan di bawah RM3000!
Malah
jika diteliti daripada kalangan penerima BR1M ada juga terdapat mereka yang
sebenarnya tidak layak kerana mempunyai perniagaan yang menjana pendapatan
lebih RM3000 sebulan, namun kerana mereka bekerja sendiri dan tidak mempunyai
bukti pendapatan seperti slip gaji menjadikan mereka ‘melayakkan diri’ untuk
menjadi penerima BR1M.
Usaha
kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib memanglah dipuji
dalam usaha ‘mensejahterakan rakyat’ dengan pemberian pelbagai bantuan kepada
rakyat namun dengan melihat implikasi pemberian BR1M akan mewujudkan pula
budaya ‘subsidi’ di kalangan rakyat.
Jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk
menyalurkan ‘pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang
tinggi’, usaha seperti menurunkan harga minyak, meminimakan kadar tol serta bantuan-bantuan
yang lebih praktikal daripada pemberian BR1M yang dianggap ‘one-off’ saban tahun adalah lebih bermanfaat dan berjejak ke bumi!
Jika kita mempunyai kerajaan seperti pada hari ini yang lebih mudah memberikan pelbagai bantuan ala BR1M, maka sudah tiba masanya untuk kita memikirkan untuk menukar kerajaan yang telah memerintah negara selama lebih setengah abad!
Meminjam ungkapan pelawak terkenal negara 'lu pikirlah sendiri!
Ulasan