THE BLACK ROSE: MANIFESTASI SEBUAH HALOBA


The Black Rose buku mengenai pendedahan tauke karpet, Deepak Jaikishan memang ditunggu-tunggu oleh ramai orang, dan seperti selalu ada sahaja yang ‘simpati’ dengan saya untuk menyampaikan senaskhah untuk telahan saya.

Mengambil kurang daripada sejam untuk mengunyah buku kecil setebal dua puluh enam halaman, saya agak terkejut dengan pendedahan di dalam buku tersebut, malah menjadikan saya sukar mempercayai bagaimana sebuah buku yang kononnya akan ‘melondehkan’ Perdana Menteri, seperti memberikan suntikan moral kepada beliau.

Apa tidaknya, buku itu pada saya adalah lebih teruk atau sama dengan pelbagai buku yang telah muncul sebelum ini, sama ada ‘buku dalil’ sipolan yang tidak layak menjadi Perdana Menteri atau buku skandal seks ahli politik yang tidak lebih daripada koleksi ‘maklumat yang biasa-biasa sahaja’ tanpa sebarang fakta.

The Black Rose, yang ditulis oleh ‘Spirit of Altantuya’ tidak lebih adalah dokumentasi kekecewaan si tauke karpet yang gagal untuk menjadi lebih kaya dengan kerakusan untuk mengumpul kekayaan daripada hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan isterinya.

Wajarlah jika Perdana Menteri tidak memberikan sebarang tindakbalas terhadap buku ‘sampah’ si tauke karpet yang kononnya diuar-uarkan akan memberikan gambaran sebenar Perdana Menteri dan isterinya.

Amatlah malang bagaimana sitauke karpet, menulis tentang bagaimana dia membelanjakan sehingga RM8 juta (siap dengan bukti) untuk melangsaikan pembelian barangan kemas   isteri Perdana Menteri, namun tidak satu pun frasa di dalam buku tersebut yang menyatakan berapa banyak pula yang telah ‘dibuat’ atau diperolehi oleh si tauke karpet sepanjang menjalinkan persahabatan dengan Perdana Menteri dan isterinya!

Sekiranya, si tauke karpet benar-benar berhasrat untuk memperincikan segala yang telah dibelanjakan, dia juga harus berlaku adil dengan menyatakan apa yang telah diperolehinya selama ini.  Tentulah tidak adil untuk rakyat Malaysia menelan bulat-bulat hanya berasaskan tulisan mengenai apa yang dibelanjakan dan tidak pula apa yang telah diperolehi. 

Secara logiknya, si tauke karpet tentulah telah memperolehi RM80 juta hingga RM160 juta, jika diambil kira berdasarkan nisbah 1:10 atau 1:20 yang lazimnya digunapakai oleh ahli perniagaan seperti si tauke karpet.

Tentulah amat memalukan bagi seorang ahli perniagaan seperti si tauke karpet menggunakan platform dengan penghasilan buku ‘sampah’ seperti The Black Rose untuk ‘mengugut’ kepimpinan negara, hanya kerana dia gagal menambah kantung kekayaannya kerana kelicikan pihak yang dia berurusan. 

Menyalahkan orang lain memanglah mudah, namun dalam nafas yang sama, pada hemat saya pendedahan dalam The Black Rose tidak ubah seperti meludah ke langit terpercik ke muka sendiri. 

Jika saya berpeluang memberikan nasihat peribadi kepada si tauke karpet, hanya satu yang mahu saya ingatkan: "jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai"!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Jadi kensel la nak jadi penjual karpet? -SH
Tanpa Nama berkata…
terbaek...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?