BERSAHABAT DENGAN PENGGANAS?


Apabila hampir 100 orang anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung pada hari Selasa yang lepas, tindakan pantas pihak keselamatan negara menghalang mereka amat dipuji.  

Malah dikhabarkan pula oleh Menteri Dalam Negeri berdasarkan sumber risikan menunjukkan kumpulan tersebut bukan kumpulan pengganas tetapi penyokong Kesultanan Sulu.

Malah, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memujuk kumpulan tersebut meninggalkan perairan negara melalui perundingan dan bukan pertumpahan darah, sesuatu yang baik mengikut piawaian antarabangsa.

Namun apa yang berlaku di Kuala Lumpur pula berbeza, apabila seorang Senator bebas Australia ditahan oleh pihak Imigresen dan menunggu untuk dihantar pulang kerana dianggap ‘musuh negara’. 

Ironinya, Senator Nick Xenophon dan kumpulan pemerhati bebas turut hadir ketika perhimpunan aman Bersih 3.0 yang berlangsung April 2012 yang lalu.  Malah kumpulan ini juga dianggotai oleh enam orang yang lain – MJ Akbar (India), Hasil Bizenjo (Pakistan), Nasir Tamara (Indonesia), Clinton Fernandes (Australia), Dean Amado Valdez (Filipina) dan Juliane Schmucker (Jerman).

Kesemua pemerhati bebas ini membuat kesimpulan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah aman sehingga pihak polis menimbulkan provokasi.  Malah mereka juga secara kritis menyelar akhbar-akhbar arus perdana yang lebih ghairah menyiarkan wajah Perdana Menteri ketika di Sabah berbanding perhimpunan terbesar di Malaysia.  Tindakan melumpuhkan pengangkutan awam ketika itu juga tidak terlepas daripada pemerhatian mereka.

Apa yang lebih menyedihkan adalah komen  seorang senator daripada Pakisatan “SPR nampak kolot, ia kena berubah. Pakistan pun dah berubah ke sistem elektronik,”  merupakan tamparan hebat kepada SPR, apatah lagi ia datang daripada Pakistan yang merupakan negara dunia ketiga berbanding Malaysia yang sedang menuju negara maju!

Kini, senator yang sama mengkritik kerajaan tempohari telah dihalang memasuki negara ini walaupun mempunyai dokumen yang sah dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Australia, malah dilabel sebagai ‘musuh negara’.  Adakah ini bermakna, enam lagi pemerhati bebas yang hadir pada April 2012 juga bakal menjadi ‘mangsa’ peraturan imigresen dan kemudiannya dilabel ‘musuh negara’?

Apakah pertimbangan yang digunapakai oleh pihak imigresen seharusnya dijelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak membuat spekulasi dan andaian bahawa ini adalah satu usaha kerajaan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib untuk menghalang kemasukan ‘agen asing’ ke negara kita.

Jika hanya kerana mengkritik tindakan SPR dan perjalanan pilihanraya, maka senator ini dihalang masuk, tentulah amat menyedihkan kerana dalam laungan SPR bahawa mereka telah ‘melaksana’ yang terbaik sepanjang 12 kali mengendalikan PRU di negara ini dan apabila dikritik hebat secara kolektif, dan sukar menerimanya, apa yang boleh diharapkan pula apabila Bersih pun telah memasuki siri ketiganya.

Tindakan pihak imigresen dan keselamatan menangani isu senator dan kumpulan 100 orang militan di Lahad Datu seolah-olah memberikan gambaran bahawa negara lebih takut kemasukan orang-orang yang memberikan ‘kritikan membina’ kepada negara khususnya kepada SPR berbanding kemasukan pengganas ke negara ini!

Menuju ke arah  negara maju dengan menghalang kemasukan mereka yang ‘kritis’ terhadap sistem di negara kita nampaknya sesuatu yang baru yang mungkin juga boleh menjadi sesuatu yang ‘original’, dan  pihak Kerajaan boleh pula mencuba memasarkan kepada negara-negara lain sebagai satu ‘inovasi’ seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
yelah kalaumasuk utk porak perandakan negara elok la dihalan..mencegah lebih bnaik dari merawakt..
SIS berkata…
yg dikatakan sebagai pengganas bukannya pengganas...dan bukan untuk takluk Sabah pun...iklan je tu...yg 'org asing' tu plak cam serius nak cari salah kerajaan...tu yg dianggap pengganas...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?