BERSAHABAT DENGAN PENGGANAS?
Apabila
hampir 100 orang anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng
tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung pada
hari Selasa yang lepas, tindakan pantas pihak keselamatan negara menghalang
mereka amat dipuji.
Malah dikhabarkan
pula oleh Menteri Dalam Negeri berdasarkan sumber risikan menunjukkan kumpulan
tersebut bukan kumpulan pengganas tetapi penyokong Kesultanan Sulu.
Malah, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memujuk
kumpulan tersebut meninggalkan perairan negara melalui perundingan dan bukan
pertumpahan darah, sesuatu yang baik mengikut piawaian antarabangsa.
Namun apa yang berlaku di Kuala Lumpur
pula berbeza, apabila seorang Senator bebas Australia ditahan oleh pihak
Imigresen dan menunggu untuk dihantar pulang kerana dianggap ‘musuh
negara’.
Ironinya, Senator Nick Xenophon dan
kumpulan pemerhati bebas turut hadir ketika perhimpunan aman Bersih 3.0 yang berlangsung
April 2012 yang lalu. Malah kumpulan ini
juga dianggotai oleh enam orang yang lain – MJ Akbar (India), Hasil Bizenjo
(Pakistan), Nasir Tamara (Indonesia), Clinton Fernandes (Australia), Dean Amado
Valdez (Filipina) dan Juliane Schmucker (Jerman).
Kesemua pemerhati bebas ini membuat
kesimpulan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah aman sehingga pihak polis
menimbulkan provokasi. Malah mereka juga
secara kritis menyelar akhbar-akhbar arus perdana yang lebih ghairah menyiarkan
wajah Perdana Menteri ketika di Sabah berbanding perhimpunan terbesar di
Malaysia. Tindakan melumpuhkan
pengangkutan awam ketika itu juga tidak terlepas daripada pemerhatian mereka.
Apa yang lebih menyedihkan adalah komen seorang senator daripada Pakisatan “SPR
nampak kolot, ia kena berubah. Pakistan pun dah berubah ke sistem
elektronik,” merupakan tamparan hebat
kepada SPR, apatah lagi ia datang daripada Pakistan yang merupakan negara dunia
ketiga berbanding Malaysia yang sedang menuju negara maju!
Kini, senator yang sama mengkritik
kerajaan tempohari telah dihalang memasuki negara ini walaupun mempunyai
dokumen yang sah dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Australia,
malah dilabel sebagai ‘musuh negara’.
Adakah ini bermakna, enam lagi pemerhati bebas yang hadir pada April
2012 juga bakal menjadi ‘mangsa’ peraturan imigresen dan kemudiannya dilabel
‘musuh negara’?
Apakah pertimbangan yang digunapakai
oleh pihak imigresen seharusnya dijelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak
membuat spekulasi dan andaian bahawa ini adalah satu usaha kerajaan Perdana
Menteri, Datuk Sri Najib untuk menghalang kemasukan ‘agen asing’ ke negara
kita.
Jika hanya kerana mengkritik tindakan
SPR dan perjalanan pilihanraya, maka senator ini dihalang masuk, tentulah amat
menyedihkan kerana dalam laungan SPR bahawa mereka telah ‘melaksana’ yang
terbaik sepanjang 12 kali mengendalikan PRU di negara ini dan apabila dikritik
hebat secara kolektif, dan sukar menerimanya, apa yang boleh diharapkan pula
apabila Bersih pun telah memasuki siri ketiganya.
Tindakan pihak imigresen dan
keselamatan menangani isu senator dan kumpulan 100 orang militan di Lahad Datu
seolah-olah memberikan gambaran bahawa negara lebih takut kemasukan orang-orang
yang memberikan ‘kritikan membina’ kepada negara khususnya kepada SPR
berbanding kemasukan pengganas ke negara ini!
Menuju ke arah negara maju dengan menghalang kemasukan mereka
yang ‘kritis’ terhadap sistem di negara kita nampaknya sesuatu yang baru yang
mungkin juga boleh menjadi sesuatu yang ‘original’, dan pihak Kerajaan boleh pula mencuba memasarkan
kepada negara-negara lain sebagai satu ‘inovasi’ seperti yang dilaungkan oleh
Perdana Menteri!
Ulasan