SELAMAT DATANG KE MALAYSIA, NEGARA BR1M!



Apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dengan segala agensinya, yang kesemuanya berjumlah 63 buah setakat 30 Disember 2011 di samping unit-unit khas seperti PEMANDU, PEMUDAH, Talent Corp dan pelbagai inisiatif yang didokong empat tonggak utama iaitu Gagasan 1Malaysia,  Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Rancangan Malaysia ke-10, mengumumkan pemberian BR1M pada tahun 2012, banyak pihak yang mempertikaikan kaedah pemberian ini, malah tidak ragu-ragu melabelkan sebagai ‘rasuah politik’.


Semalam Perdana Menteri mengumumkan bahawa pemberian BR1M yang telah memasuki siri kedua tidak akan dihentikan malah akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan seterusnya pada tahun-tahun mendatang.  Bunyinya menyeronokkan, ini kerana setiap isi rumah di bawah pendapatan RM3000 bakal menerima bantuan sebanyak RM500, malah bagi yang belum berkahwin dan berpendapatan RM2000 pula bakal menerima RM250 sekiranya BR1M diteruskan.

Pedulilah jika pun pemberian BR1M ini dilabel sebagai rasuah politik khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.  Itu bukan soalnya, tetapi apa yang lebih munasabah dan bijak selain memberikan BR1M ialah membantu rakyat secara umum untuk meningkatkan pendapatan dan sumber pendapatan mereka.  Pemberian BR1M secara jangkapanjang memang tidak akan membantu, malah dikhuatiri ‘akan disalahguna’ oleh pihak-pihak berkepentingan di samping mengwujudkan penerima yang ‘tidak sepatutnya’.

Walaupun menurut Perdana Menteri bahawa BR1M adalah ‘pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi’ namun pemberian BR1M seolah-olah menampakkan keadaan sebaliknya.

Kerajaan sepatutnya mendedahkan secara terperinci pola dan demografi serta data-data penerima BR1M setakat ini bagi menunjukkan bahawa penerima BR1M setakat ini adalah yang benar-benar layak.  Adakah Kerajaan benar-benar prihatin untuk memastikan bahawa penerima BR1M telah benar-benar ditapis dan bukan kerana ‘mengisi borang’ dan kerana ‘tidak mempunyai slip gaji’ dianggap sebagai berpendapatan di bawah RM3000!

Malah jika diteliti daripada kalangan penerima BR1M ada juga terdapat mereka yang sebenarnya tidak layak kerana mempunyai perniagaan yang menjana pendapatan lebih RM3000 sebulan, namun kerana mereka bekerja sendiri dan tidak mempunyai bukti pendapatan seperti slip gaji menjadikan mereka ‘melayakkan diri’ untuk menjadi penerima BR1M.

Usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib memanglah dipuji dalam usaha ‘mensejahterakan rakyat’ dengan pemberian pelbagai bantuan kepada rakyat namun dengan melihat implikasi pemberian BR1M akan mewujudkan pula budaya ‘subsidi’ di kalangan rakyat.

Jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk menyalurkan ‘pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi’, usaha seperti menurunkan harga minyak, meminimakan kadar tol serta bantuan-bantuan yang lebih praktikal daripada pemberian BR1M yang dianggap ‘one-off’ saban tahun adalah lebih bermanfaat dan berjejak ke bumi!

Jika kita mempunyai kerajaan seperti pada hari ini yang lebih mudah memberikan pelbagai bantuan ala BR1M, maka sudah tiba masanya untuk kita memikirkan untuk menukar  kerajaan yang telah memerintah negara selama lebih setengah abad!  

Meminjam ungkapan pelawak terkenal negara 'lu pikirlah sendiri!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
sbb x dpt brim ke..
Tanpa Nama berkata…
TENGKORAK HANG..
teh berkata…
setuju br1m banyak dimanipulasi oleh kaum bukan melayu...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?