TEPAT MASA MAJU BANGSA!

oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad


Kalau kita hendak tahu sama ada seseorang atau sesuatu bangsa itu cekap atau maju, malas atau rajin, kita lihat pada setakat manakah mereka menghormati atau patuh kepada masa dan cekap menguruskan masa dalam kehidupan dan kegiatan mereka. Nilai masa bagi orang yang sibuk, rajin dan cekap disamakan dengan nilai emas. Mereka sentiasa mengejar masa. Masa tidak menunggu mereka. Bagi orang yang malas atau tidak cekap, masa dilihat sebagai angin yang lalu: Dipegang tak dapat, dibiarkan lepas. Mereka menganggap masa boleh menunggu mereka. Orang yang sibuk selalu berkata, mereka ada masa. Orang yang malas selalu berkata, mereka tidak ada masa.


Dalam Islam orang yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dianggap orang itu beriman dan beruntung. Dalam Surah Al-'Asar, Allah berfirman: Demi Masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati untuk menetapi kesabaran. Surah ini mengingatkan manusia bahawa jika mereka tidak menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, mereka akan rugi.


Masa banyak terbuang atau dibazirkan melalui pelbagai kegiatan yang tidak produktif dan tidak cekap. Orang yang tidak cekap sering membazirkan masa, tetapi mereka tidak menyedarinya. Kerja yang dapat diselesaikan dalam masa satu jam diselesaikan dalam tempoh yang panjang, mungkin berjam-jam lamanya, boleh jadi juga sampai dua tiga hari baru siap. Itu pun belum tentu hasilnya bermutu. Di pejabat kerajaan, cuba kita kaji berapa banyakkah kerja produktif yang dilakukan berbanding kerja yang membazir, dan berapa banyak masa terbuang melalui kegiatan yang tidak produktif, yakni yang tidak menghasilkan apa-apa yang dapat dinilai dari segi sumbangannya kepada kecekapan dan keberkesanan prestasi organisasi itu kepada masyarakat atau dalam pasaran yang kompetitif. Orang selalu tidak dapat membezakan antara kerja dengan kegiatan. Kegiatan bukan kerja dalam erti katanya yang sebenarnya berdasarkan ilmu pengurusan. Kegiatan selalunya bersifat 'pesta-pestaan', hasilnya tidak dapat diberikan nilai yang konkrit.

Di Malaysia, kita perhatikan banyak masa terbuang menghadiri mesyuarat yang selalunya tidak perlu, atau menghadiri pelbagai seminar, persidangan dan upacara atau majlis yang tidak perlu atau yang diaturkan secara yang tidak cekap. Sebagai contoh, masa mesyuarat, baik mesyuarat rasmi kerajaan, lebih-lebih lagi mesyuarat tidak rasmi, tidak pernah atau jarang-jarang bermula atau dimulakan tepat pada waktunya. Biasanya mesyuarat dimulakan lewat, kadang-kadang sampai setengah jam lewatnya. Sebabnya ialah (a) Menunggu pengerusi yang belum masuk ke bilik mesyuarat tepat pada waktunya, atau (b) Kalau pengerusi sudah hadir pada waktu yang ditetapkan, mesyuarat terpaksa pula menunggu anggota mesyuarat yang belum datang untuk memulakan mesyuarat atau untuk mencukupkan kuorum.


Sebab orang lambat datang ke mesyuarat sudah menjadi perkara biasa: Kerana kesesakan lalu-lintas atau traffic jam, atau kerana sibuk dengan kerja lain di pejabat, atau kerana susah hendak mencari tempat letak kereta. Dan sebab-sebab ini sudah dianggap tidak dapat dielakkan, jadi tidak salahlah kalau orang tidak mematuhi waktu. Dan semasa menunggu mesyuarat bermula atau dimulakan, orang yang sudah hadir bersembang kosong, bergosip. Jarang-jarang kita mendengar cerita yang serius. Hal yang sama sering berlaku dalam majlis-majlis lain, misalnya majlis perjumpaan, seminar, persidangan dan sebagainya yang akan dirasmikan oleh menteri atau orang besar, atau VIP dan VVIP. Saya perhatikan dalam beberapa banyak majlis yang saya hadiri, majlis tidak pernah bermula tepat pada waktu yang dijadualkan dalam program atur cara atau pada kad undangan. Kadang-kadang majlis terpaksa menunggu menteri atau orang besar lain yang akan merasmikan majlis itu. Maka para hadirin yang sudah masuk ke dewan kenalah menunggu, kadang-kadang sampai setengah jam lamanya. Biasa juga, majlis tidak dapat dimulakan tepat pada waktunya kerana dewan belum penuh. Para undangan atau peserta majlis itu belum semuanya sudah menjelma, jadi menteri atau orang besar lain yang hendak merasmikan majlis itu, kalau dia datang awal, terpaksa diminta menunggu di bilik VIP, di luar dewan.


Sudahlah begitu, majlis dimulai dengan acara yang membazirkan masa, yang kebanyakannya tidak perlu. Misalnya, kalau majlis itu 'majlis Melayu', kedatangan pembesar disambut dengan kompang atau dengan kumpulan gadis Melayu berpakaian tradisional, menatang sirih junjung. Doa yang dibacakan atau dilafazkan selalunya panjang-panjang, ada kalanya sampai 5 atau 10 minit! Seolah-olah pembaca doa menyampaikan ucapan. Sampai lenguh kedua-dua tangan kita menadah ke atas untuk mengaminkan doa itu. Doa apa ini? Tuhan Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Membaca al-Fatihah sudah cukup kerana itu doa yang paling besar, paling meliputi segala hajat dan paling bernas.


Apabila majlis dimulakan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang, termasuk pembesar yang akan merasmikan majlis, akan berucap. Selain memberi hormat kepada menteri atau perasmi majlis, pengerusi majlis (seminar, persidangan dll.) yang memulakan ucapan akan menyebut "Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datin Seri-Datin Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian yang dihormati'', walaupun dalam majlis itu tidak ada Tan Sri dan tidak ada Datuk Seri. Yang melambak ialah "Datuk''. Tetapi semua gelaran itu mesti disebut, kata orang itu, kalau tidak orang yang mempunyai gelaran itu akan marah atau berasa mereka tidak dihormati.


Ucapan selalunya panjang-panjang, meleret-leret, dan tidak kurang membosankan. Seluruh majlis ucapan itu mengambil masa tidak kurang satu jam lamanya, kadang-kadang sampai dua atau tiga jam kalau dimasuk kira jamuan makan di akhir majlis. Satu pembaharuan yang digunakan untuk menambahkan kemeriahan majlis ialah penggunaan teknologi canggih. Biasanya istiadat atau tradisi Melayu digunakan, misalnya perasmi majlis diminta memukul gong tiga kali tanda majlis sudah dirasmikan. Tetapi teknologi sudah menggantikan adat/tradisi ini. Kuasa teknologi digunakan. Misalnya, dalam majlis pelancaran buku baru, mokap (mock-up) atau replika buku saiz gergasi akan didedahkan kepada para hadirin. Apabila perasmi majlis menarik reben atau tali tirai atau menekan butang komputer di atas pentas, kedengaran bunyi letupan dan kelihatan asap warna-warni menyelubungi pentas, dan terserlahlah gambar buku itu, dan perasmi majlis mencatatkan tanda tangannya di atas 'meja' atau rehal virtual. Maka gemuruhlah bunyi tepukan daripada para hadirin. (Catatan: Sama ada buku itu akan laris di pasaran, itu soal lain). Selepas itu, para hadirin dipersilakan menjamu selera, yakni semacam menikmati jamuan kenduri.


Di majlis perkahwinan "Melayu baru'' acaranya lebih meriah, lebih panjang dan lebih padat lagi. Majlis bermula tidak mengikut waktu sebagaimana tercatat dalam kad jemputan. Kadang-kadang para tetamu terpaksa menunggu sampai satu jam! Menunggu kedatangan pengantin masuk ke dewan. Ini bererti, tidak menghormati para undangan. Doanya lebih panjang lagi, jauh lebih panjang daripada doa yang dibacakan/dilafazkan oleh imam/kadi yang mengendalikan majlis ijab kabul sebelumnya, apatah lagi jikalau doa itu dibuat dalam tiga bahasa: Arab, Melayu dan terbaru, doa dalam bahasa Inggeris. Maka menjadi panjanglah doa itu. Kadang-kadang pembaca doa itu semacam memberi syarahan, bukan doa. Selepas itu bermula pula majlis merenjis. Kemudian baru makan.


Selepas jamuan makan sampai pula majlis memotong kek. Kedua-dua mempelai sudah bersalin pakaian, dari pakaian Melayu (pakaian tradisional) kepada pakaian Barat, pengantin lelaki berpakaian kot dan bertali leher, pengantin perempuan berpakaian gaun. Mereka masuk ke dewan, diarak atau didahului dan diikuti oleh gadis-gadis atau kanak-kanak yang mengiring mereka naik ke atas pentas untuk memotong kek. Ini majlis Melayu-Islam atau majlis apa? Majlis kemudian diikuti dengan sesi ucapan. Ini termasuk ucapan menyampaikan maklumat tentang biodata si pengantin lelaki dan pengantin, tentang pendidikan dan pekerjaan mereka, cita-cita mereka, perangai mereka, tentang bagaimana dan di mana mereka berdua mula bertemu dan 'jatuh cinta', dan akhirnya bertunang dan diijabkabulkan. Perlu apa maklumat ini didedahkan kepada para tetamu?


Demikianlah kisah tentang bagaimana orang Melayu (atau orang Malaysia) tidak menghormati masa atau membuang masa dalam majlis atau dalam mesyuarat. Mesyuarat yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam masa satu atau tidak lebih dua jam, akhirnya tamat selepas tiga jam. Perbincangan dalam mesyuarat tidak terfokus, banyak membuang masa, berbincang tentang hal-hal yang tidak penting, yang remeh-temeh. Majlis yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam tempoh yang pendek, tetapi cekap dan berhasil, selalunya memakan masa berjam-jam lamanya kerana majlis dipenuhi dengan acara yang tidak penting. Ini tanda bangsa kita tidak cekap. Atau tidak pandai menguruskan masa dengan cekap. Selain ini mereka suka melalukan `perubahan' yang tidak berfaedah, misalnya dalam majlis perkahwinan, perubahan yang boleh merosakkan budaya sendiri.


Malangnya, soal pembaziran masa ini nampaknya tidak dianggap `salah', tetapi sudah diterima sebagai kebiasaan yang tidak dapat dibuat apa-apa lagi, seolah-olah itulah budaya bangsa kita. Di Indonesia, ada istilah, iaitu jam karet atau 'jam getah' yang boleh ditarik-tarik atau dipanjang-panjangkan, untuk menyatakan 'budaya masa' bangsa Indonesia. Di Malaysia, kita sudah kerap mendengar kata-kata 'Ah, jangan khuatir, kita tidak akan terlambat. Ini kan waktu Melayu!''
Kesesakan jalan atau 'jalan jam' sering dijadikan alasan untuk datang lambat ke majlis, ke mesyuarat atau ke pejabat. Kalau kita sudah tahu ini masalahnya, apakah usaha kita untuk mengatasinya? Kalau mesyuarat dijadualkan akan bermula pada pukul 10 pagi, mengapa kita tidak bertolak ke tempat mesyuarat awal-awal. Biar sampai ke tempat mesyuarat lebih awal. Semasa saya mempengerusikan mesyuarat, saya tidak akan menunggu orang yang datang lambat untuk memulakan mesyuarat. Kita kena menghormati orang yang datang awal daripada orang yang datang lewat.


Menurut pengalaman saya menghadiri mesyuarat dan majlis perasmian persidangan di negara yang dianggap 'sudah maju', misalnya Jepun dan Perancis atau Jerman, orang menghormati masa. Mesyuarat atau majlis perasmian dimulakan tepat atau hampir-hampir tepat pada waktu yang dijadualkan. Dan majlis perasmiannya cukup ringkas: Tidak ada ucapan yang meleret-leret, tidak ada mukadimah menghormati tetamu-tetamu "VIP'' (mungkin kerana di negara mereka tidak banyak orang yang bergelar seperti Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan "Tuan Haji''). Di Perancis, pengerusi majlis hanya akan menyebut nama presiden negara sahaja, kalau presiden itu hadir, atau menteri yang merasmikan majlis. Kemudian baru disebut madames et monsieurs (puan-puan dan tuan-tuan).


Suatu ketika dahulu, saya beberapa kali mempengerusikan mesyuarat di Tokyo. Mesyuarat dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi. Hampir semua yang sudah masuk awal ke dewan mesyuarat datangnya dari negara-negara 'maju'. Tiga orang yang masuk lewat setelah mesyuarat dimulakan tepat pada pukul 9 datangnya dari Bangladesh, Iran dan Filipina. Pada waktu rehat saya bertanya wakil dari Bangladesh, mengapa dia selalu lewat. Jawapan yang diberikan ialah, dia bangun lewat dan pada pukul 8.40 pagi dia baru mandi. Wakil ini jugalah, dan tiga orang wakil lain dari Asia, yang terpaksa ditinggalkan oleh bas yang membawa para peserta ke tempat lain untuk melancong. Bas dijadualkan bertolak dari hotel pada pukul 6.30 pagi. Orang Jepun yang menjaga program ini gelisah. Semua wakil itu sedang mandi, atau baru bangun atau masih tidur. Saya memberitahu orang Jepun itu: Tinggalkan mereka! Bas bertolak pada pukul 7 pagi tanpa wakil-wakil yang tidak menghormati masa itu. Itulah tanda bangsa yang tidak maju!


(Artikel ini pernah tersiar di Utusan Malaysia pada 14 September 2003)
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

15 September 2008 12:54 PTG

http://pkrpasdap.blogspot.com

ikut orang jepun...pasal
1. masa-tepat
2. cara kerja-kualiti, kemas
3.bisnes-
4. utamakan keluarga- bekerja
5. wanita urus rumahtangga
6. pangkat dan gaji kerana pengalaman dan kebolehan bukan mengikut bangsa. cina gaji tinggi, melayu kerja baik, pendidikan bagus, gaji setaraf SPM cina. mana adil.

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger