CAUVINIS BAHASA MELAYU vs CAUVINIS BAHASA INGGERIS


oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad


SEORANG menteri Melayu telah membuat kenyataan yang mengelirukan terhadap nilai dan fungsi bahasa Melayu di negara ini dan terhadap orang yang cuba mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kenyataan menteri itu disiarkan secara besar-besaran di muka depannya dengan tajuk `Master English or the nation will lose out, Ignore language chauvinists'.


Saya katakan bahawa kenyataan ini mengelirukan atau boleh menimbulkan kekeliruan pada pandangan rakyat dan pelbagai pihak di negara ini terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini kerana dua sebab. Pertama, daripada kenyataan itu, kita diberikan gambaran seolah-olah negara akan kalah atau rugi atau `lose out' jikalau rakyat Malaysia, khususnya agaknya orang Melayu, tidak menguasai bahasa Inggeris, dan kedua, orang atau kumpulan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu dianggap `cauvinis'. Kita ingin tahu bagaimanakah Malaysia akan rugi atau kalah - mungkin agaknya kalah dengan negara berbahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia, mungkin juga negara seperti Singapura - jikalau rakyatnya tidak menguasai bahasa asing ini, iaitu bahasa Inggeris. Kalah atau rugi dari segi apa? Kalah semata-mata kerana rakyat di negara ini tidak menguasai bahasa Inggeris?

Kita tahu bahawa banyak negara di dunia ini cukup maju dalam apa jua bidang, baik dalam bidang ilmu, bidang ekonomi dan teknologi, walaupun rakyat di negara tidak menggunakan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sebagai alat utamanya. Kita boleh menyebut banyak contohnya. Di Eropah, misalnya, bahasa Inggeris bukan bahasa utama untuk kemajuan bangsa Perancis, Jerman, Itali, dan lain-lain lagi. Di negara-negara Scandinavia - walaupun kecil, misalnya Norway dan Sweden - bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan bahasa teknologi mereka ialah bahasa mereka sendiri, bukan bahasa Inggeris. Di Asia, Jepun dan Korea, bahkan negara Thai, juga maju walaupun majoriti penduduk di negara itu tidak `menguasai' bahasa Inggeris. Tetapi Filipina yang boleh dikatakan merupakan negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia, adalah negara yang selalunya dianggap, `tidak maju' dalam bidang ekonomi dan teknologi.


Saya teringat seorang pembentang kertas kerja dalam suatu persidangan atau seminar yang diadakan di Kuala Lumpur tidak lama dahulu, berkata bahawa `produk' utama yang dieksport oleh Filipina, negara yang majoriti penduduknya berbahasa Inggeris atau boleh berbahasa Inggeris (termasuk khususnya golongan elit dan para pemimpin mereka) hanyalah `housemaids', yakni orang gaji, dan pekerja restoran di negara asing. Di Afrika, kita tahu beberapa banyak negara di kawasan itu tidak maju, malah daif dalam bidang apa pun, walaupun bahasa rasmi di negara itu ialah bahasa Inggeris atau bahasa Perancis. Ini bukan soal sama ada rakyat sesebuah negara itu menguasai atau tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi ialah soal, keupayaan sesuatu bangsa atau negara itu untuk memajukan diri mereka dan negara mereka dalam bahasa mereka sendiri.


Dan ini tentunya tidak bergantung pada bahasa sahaja tetapi juga pelbagai faktor lain, misalnya kebolehan dan kecekapan pihak yang mentadbirkan negara, budaya bangsa itu, kerajinan bangsa, sumber-sumber negara, dan peluang yang diberikan kepada penduduk negeri untuk maju dalam bahasa mereka sendiri. Di negara kita, kebanyakan usahawan ahli perniagaan dan tauke yang antara mereka ada yang menjadi bilionair, tidak menguasai bahasa Inggeris. Mereka lebih menguasai bahasa mereka sendiri (misalnya bahasa Cina), dan mengetahui bahasa Melayu.Orang tidak menjadi `pakar bahasa Inggeris' atau `fasih berkomunikasi' dalam bahasa Inggeris seperti orang Inggeris sendiri. Apabila hanya segelintir sahaja penduduk di sesebuah negara `menguasai' bahasa asing yang digunakan untuk `memajukan negara' sedangkan majoriti rakyatnya tidak mengetahui bahasa itu, maka akan berlakulah jurang pemisahan budaya, sosial, pendidikan, ilmu dan kemajuan yang besar dan yang makin akan bertambah besar antara golongan yang menguasai bahasa asing dengan rakyat terbanyak yang tidak memahami bahasa asing itu.


Inilah keadaan yang berlaku di beberapa banyak negara di Afrika misalnya, bahkan keadaan ini boleh berlaku di negara seperti Malaysia apabila bahasa asing (bahasa Inggeris) disyaratkan sebagai bahasa kemajuan orang perseorangan. Akan berlaku keadaan yang oleh Robert Phillipson disebut `linguistic imperialism' atau `penjajahan bahasa'. Dalam bukunya `Linguistic Imperialism' (1992/2000), Phillipson mentakrifkan `imperalisme bahasa Inggeris' sebagai berikut: `English linguistic imperialism (means) the dominance of English is asserted and maintained by the establishment and (by) continuous reconstruction of structural and cultural inequalities between English and other languages' (hal.47).


Perkataan `structural', kata Phillipson, `refers broadly to material properties (for example, institutions, financial allocations)' dan perkataan `cultural' merujuk kepada `immaterial or ideological properties (for example, attitudes, pedagogic principles'). Phillipson seterusnya berkata, `The structural and cultural inequalities ensure the continued allocation of more material resources to English than to other languages and benefit those who are proficient in English' (hal. 47).

Jadi, sebagai contoh kalau ada syarat bahawa untuk memohon pekerjaan dalam sektor swasta di negara ini hendaklah fasih `berkomunikasi' dalam bahasa Inggeris, kalau tidak permohonannya akan ditolak, maka ini boleh dikatakan penjajahan bahasa. Calon itu boleh jadi berkelayakan tinggi dalam bahasa Melayu, tetapi kerana dia tidak petah atau tidak fasih bercakap dalam bahasa Inggeris maka dia ditolak dan menganggur.

Kalau orang Melayu disekat untuk memajukan dirinya dalam bidang apa pun semata-mata kerana mereka tidak menguasai bahasa Inggeris, ini bererti nasib mereka di tanah air sendiri sudah ditentukan oleh bahasa Inggeris itu. Inilah yang dikatakan penjajahan bahasa. Dan inilah keadaan yang berlaku semasa Tanah Melayu dijajah oleh British. Tetapi kita perhatikan, apabila bahasa Melayu dijadikan alat pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan selepas kemerdekaan, beratus-ratus ribu pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu berjaya memperoleh pendidikan sampai ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa Melayu, dan beribu-ribu orang Melayu (termasuk juga bukan Melayu) berjaya menjadi pakar dan profesor dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan matematik, melalui bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya. Apakah sekarang, kemajuan ini hendak kita sekat dan kembali ke zaman `penjajahan bahasa Inggeris' dahulu?


Mengatakan bahawa orang atau persatuan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu - bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa urusan rasmi kerajaan - sebagai `cauvinis;, ini tidak adil dan tidak munasabah sama sekali. Hal ini samalah dengan istilah dan ideologi Barat yang mengecap semua orang Islam yang secara tulen memperjuangkan hak dan kebebasan mereka daripada penjajahan Amerika dan Israel sebagai golongan `pengganas'. Tentu sahaja orang yang melakukan keganasan secara membuta-tuli, kejam dan tidak berperikemanusiaan, tanpa sebab, mereka bolehlah kita kecam sebagai `pengganas' - seperti pengganas komunis zaman darurat di Tanah Melayu dahulu, atau `pengganas Serb' di Yugoslavia, atau pengganas Israel atau Amerika yang mencerobohi kawasan orang lain.


Orang yang memperjuangkan bahasa Melayu bukan fanatik atau cauvinis bahasa, mereka tidak melanggar apa-apa undang-undang, mereka cuma mahu memastikan bahawa dasar bahasa di negara ini tidak digugat oleh golongan cauvinis bahasa Inggeris - yakni, golongan yang secara emosional dan tidak rasional percaya bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa segala-segalanya, bahasa kemajuan manusia, kemajuan orang Melayu, kemajuan kaum Cina, kaum India, kaum Iban dan kaum Kadazan di negara ini.


Orang yang `memperjuangkan bahasa Melayu bukan antibahasa Inggeris. Hal ini perlu diketahui oleh menteri berkenaan dan semua kaum di Malaysia. Hampir semua mereka yang `memperjuangkan' bahasa Melayu sangat fasih berbahasa Inggeris. Mereka menguasai bahasa Inggeris di peringkat tinggi, tidak bahasa Inggeris di peringkat rendah, yang tidak berguna untuk kemajuan mereka, kalau kegunaannya hanya untuk `berkomunikasi', untuk sekadar berbual-bual sesama bangsa sendiri di kedai kopi, di tempat kerja, di rumah dan sebagainya. Yang mereka tentang bukan bahasa Inggeris tetapi ialah kemungkinan atau bahaya bahasa itu menjadi `bahasa penjajah' di negeri sendiri, di dalam masyarakat, di kalangan rakyat yang majoritinya tidak menguasai bahasa ini di peringkat tinggi.


Jadi, kita hendaklah berhati-hati apabila membuat apa-apa kenyataan tentang kegunaan bahasa Inggeris dalam proses pembangunan negara, atau tentang nilai bahasa Melayu sebagai alat pembangunan bangsa kita sendiri, bukan bangsa yang berbahasa Inggeris di dunia lain. Bangsa Jepun maju bukan kerana bahasa Inggeris. Bangsa Perancis atau Jerman maju bukan kerana bahasa Inggeris, tetapi kerana mereka mencipta kemajuan dan kekayaan dalam bahasa mereka sendiri dan berdasarkan kepentingan budaya dan bangsa mereka. Tidak ada bangsa di dunia ini yang mencipta tamadunnya dengan menggunakan bahasa orang lain. Tidak ada! Sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pakar budaya, dan terutama pakar psikologi kognitif, yang menunjukkan bahawa manusia akan lebih kreatif dalam pemikirannya apabila mereka berfikir dalam bahasanya sendiri.


Bangsa yang terlalu bergantung pada bahasa orang lain selalunya akan bergantung juga pada pemikiran orang lain, mereka lebih banyak menjadi bangsa peniru dan pengeksport `produk' orang lain, kerana apa? Kerana mereka tidak mampu lagi berfikir dalam bahasa sendiri untuk mencipta sesuatu yang original, yang dapat menandingi ilmu, produk, teknologi orang lain. Selalu kita mendengar cauvinis bahasa Inggeris berkata bahawa bahasa Melayu terlalu bergantung pada bahasa Inggeris untuk meminjam istilah ilmu, istilah sains dan istilah teknologi, dan orang yang hanya berbahasa Melayu tidak akan dapat `berfikir tinggi' kalau mereka tidak mengetahui bahasa Inggeris. Ini pandangan orang yang tidak memahami hubungan antara bahasa dengan pemikiran atau antara budaya dengan bahasa. Kita tahu, berdasarkan sejarah perkembangan sesuatu bahasa, bahawa bahasa maju menurut kemajuan bangsa yang menggunakan bahasa itu.


Jikalau bangsa Melayu maju maka bahasanya pasti secara logiknya akan turut maju, dengan syarat, mereka menggunakan bahasa itu sebagai alat kemajuannya. Dan salah satu tanda yang menunjukkan bangsa itu maju ialah, kemampuannya memindahkan ilmu yang dipelajari daripada tamadun ke dalam bahasa mereka sendiri. Dengan demikian, mereka dapat terus berfikir dalam bahasanya sendiri untuk mengembangkan ilmu yang diperolehnya itu dan seterusnya mencipta yang baru melalui bahasanya sendiri.


Demikianlah sejarah yang berlaku pada bahasa Inggeris, misalnya. Kalau bahasa Inggeris tidak meminjam kata-kata dan istilah daripada bahasa Latin dan Greek sejak abad ke-15 lagi, bahasa Inggeris tidak akan menjadi bahasa ilmu dan sains pada hari ini. Bahasa itu meminjam banyak sekali istilah dari bahasa Latin dan Greek kerana adanya orang Inggeris, seperti Francis Bacon dan Isaac Newton yang dapat berfikir dan mengembangkan ilmu dalam bahasa Inggeris - bahasa Inggeris Anglo-Saxon. Hari ini tidak ada satu pun ayat bahasa sains dan ilmu dalam bahasa Inggeris yang tidak mengandungi dua atau lebih perkataan yang asalnya dipinjam dari bahasa Latin dan bahasa Greek.


Demikian juga halnya dengan perkembangan bahasa Melayu sejak berabad lamanya. Walaupun orang Melayu mempelajari ilmu Islam daripada orang Arab (yang berbahasa Arab) sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi, golongan utama Melayu dan pengarang Melayu menulis tentang pelbagai ilmu dan ajaran Islam dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Arab. Maksudnya, mereka mampu berfikir tentang ilmu baru itu dan menyebarkannya dalam bahasa Melayu sendiri. Begitulah halnya pada hari ini. Kita meminjam banyak istilah sains dari bahasa Inggeris (yang asalnya dari bahasa Latin dan Greek), tetapi kita berfikir dalam bahasa kita, tidak dalam bahasa Inggeris, kerana istilah baru itu harus diungkapkan dalam sistem bahasa Melayu, tidak dalam sistem bahasa Inggeris.


Jadi, kalau pada hari ini, ada orang yang berkata, bahawa orang Melayu hendaklah menjadi bangsa yang maju, barulah bahasa Melayu akan maju, maka hendaklah dipastikan bahawa bangsa Melayu itu maju dalam bahasanya sendiri, tidak dalam bahasa lain. Bagaimana bahasa Melayu hendak menjadi bahasa sains dan bahasa matematik, misalnya, jikalau orang Melayu disekat mempelajari dan mengembangkan ilmu itu dalam bahasanya sendiri? Bahasa Latin dan bahasa Sanskrit tidak maju lagi sebagai bahasa ilmu kerana tidak ada orang yang menggunakannya sebagai bahasa ilmu pada hari ini.


Walhasil, seperti yang selalu ditegaskan oleh orang yang memahami soal hubungan antara bahasa dan pemikiran atau hubungan antara bahasa dengan budaya bangsa itu, ada bahasa adalah bangsa. Pupus bahasa pupuslah bangsa. Tetapi ini tidak bererti bahawa orang Melayu tidak usah mempelajari bahasa Inggeris, atau bahasa lain apa pun. Tiada siapa yang membenci bahasa Inggeris. Tetapi salahkah kita kalau kita berkata bahawa kalau kita menguasai bahasa Inggeris, kita tidak akan maju. Malaysia akan kalah dengan negara lain.


Seingat saya, tidak ada atau jarang-jarang saya mendengar para pemimpin di negara seperti Jepun atau Perancis yang seolah-olah melancarkan semacam kempen menyeru rakyat di negara mereka supaya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi `bangsa yang maju'. Yang saya tahu ialah, bahasa Inggeris diajarkan juga di sekolah mereka, tetapi tujuannya bukan untuk menggantikan bahasa sendiri sebagai bahasa utama untuk rakyat mereka, sebagai bahasa kemajuan bangsa mereka, mereka mempelajari bahasa asing itu sebagai `bahasa kedua' atau `sebagai bahasa asing', dengan tujuan tertentu atau tujuan khusus atau `for special purposes', tidak dengan tujuan untuk menandingi bahasa mereka dalam negeri dan masyarakat sendiri. Kita janganlah menjadi cauvinis bahasa Inggeris!


(Artikel ini pernah tersiar dalam Utusan Malaysia - 14 Ogos 2004)

P/S: Blog penulis ini ialah di: http://www.hasmad.blogspot.com/
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
12 Oktober 2008 2:56 PTG

Seorang pemimpin negara China berbicara di pentas antarabangsa dalam bahasanya dan tidak dalam bahasa Inggeris (bahasa asing). Di sisinya terdapat seorang penterjemah yang menterjemahkan apa yang diperkatakan.

Padahal si pemimpin tersebut tahu berbicara dalam bahasa Inggeris, tetapi mengapa beliau tidak berbuat sedemikian?

Begitulah bangsa berjiwa besar memartabatkan bahasa bangsanya di persada dunia. Soal orang memahami atau tidak bahasa yang dituturkan itu adlah soal lain.

Dan jangan sesekali kita beranggapan orang lain tidak mampu memahami bahasa yang diungkapkan tadi. Boleh sahaja ia diterjemahkan, yang penting bahasanya telah dimartabatkan dan dunia melihat bahawa inilah bangsa yang berjiwa besar tadi.

awang geger
31 Oktober 2008 2:10 PTG

Bangsa Melayu perlu dididik dan diasuh untuk berjiwa besar. Dan bukannya menjadi bangsa yang rela dijajah kerana tidak tahu dan tak mahu membangunkan bangsanya. Waima dalam bahasa sendiri pun tidak mahu dimajukan dan rela mengambil bahasa bangsa yang maju. Hairannya tidak pula malu dengan sikap begitu.

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger