WARKAH UNTUK PM


(Surat Terbuka Kepada YAB Perdana Menteri)
Assalamualaikum YAB Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia, semoga dalam perlindungan dan limpahan rahmat-Nya.
Ini bukanlah kali pertama saya menyampaikan permintaan dan harapan tentang soal mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kepada YAB Pak Lah, baik dalam suatu pertemuan yang khas di Putra Jaya mahupun melalui dua e-mel kepada http://www.warkahuntukpm.com.my/ Walaupun saya mengenali Pak Lah, dan juga sebaliknya, tetapi surat ini disampaikan sebagai seorang penulis rakyat biasa yang setia kepada negara dan sangat prihatin terhadap Bahasa Melayu (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan tanah air yang satu-satunya ini.
Bekas Perdana Menteri, Mahathir Muhammad (sekarang Tun) telah memberhentikan BM sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 2003. Ini memberi akibat sangat buruk terhadap status dan fungsi BM sebagai bahasa ilmu dan juga jati diri negara. Bagi saya ini adalah satu dosa besar yang dilakukan oleh seseorang pemimpin negara terhadap warisan, tamadun serta jati diri bangsanya. Semua bangsa maju (Cina, Jepun, Jerman, Perancis, dan Korea) membina kemajuan, ilmu, dan tamadunnya melalui bahasa kebangsaan masing-masing, dengan tidak menafikan sumbangan bahasa-bahasa antarabangsa sebagai sokongan. Tidak ada hujah yang rasional dan alasan yang kuat untuk menyingkirkan peranan Bahasa Melayu itu dalam sistem pendidikan negara setelah dilaksanakan dengan jayanya selama lebih 30 tahun.
Saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab YAB Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang berkuasa sekarang, memperbetulkan balik apa jua kerosakan atau kesalahan dasar serta pelaksanaan yang memberi kesan buruk terhadap nasib dan masa depan tamadun negara. Apabila generasi baru masa depan menjadi dewasa dan maju dalam budaya bahasa Inggeris dan kemudian berasa rendah diri kerana tidak memiliki bahasa kebangsaan yang bernilai ekonomi serta tidak menjadi wahana ilmu dan teknologi, kerajaan dan pimpinan negara dekad inilah yang patut dikecam. Apabila generasi masa depan itu menjadi maju dan bangga dengan bahasa, tamadun serta jati diri bangsanya , pemimpin hari inilah yang patut dipuji dan dihormati. Terlalu banyak wajah dan semangat masa depan itu perlu YAB Pak Lah rancang dan lakar secara berani pada hari ini juga.
Saya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi percayalah suara saya ini dikongsi bersama oleh ribuan individu lain terutama golongan penulis yang berasa sangat marah terhadap jenayah dan dosa terhadap Bahasa Melayu ini.
Akhirnya dengan rendah hati saya memohon YAB Pak Lah agar terbuka hati untuk menimbangkan isu ini secara serius dan mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu.
Saya berdoa semoga Allah merestui segala perbuatan dan niat yang baik, dan melindungi YAB .
Salam hormat daripada,
Baha Zain. 17 Jun 2008.
Tulisan Datuk Baha Zain (bahazain.blogspot.com)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?