Ke sudut manakah pengarang dan penyair pada Malam Karyawan II?

Ahad, 2008 Jun 08

Malam Karyawan II di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam; mengapa saya merasakan sedikit demi sedikit Keadilan makin mirip kepada Umno?Awalnya, saya menjangkakan ia lebih mirip kepada malam baca puisi. Dengan penyair yang diletakkan label penyair rakyat plus penyair segera yang muncul dengan jubah Keadilan; tugas membuat liputan mungkin seputar mengangkat subteks daripada jeritan dan pekikan puisi.Sebaik kenderaan menjengah masuk ke perkarangan bangunan itu, ada rasa hairan mengetuk-ngetuk. Kenderaan terlalu banyak. Terlalu untuk program sastera. Yang selalu sinonim dengan label miskin khalayak.Bagaimanapun, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat, tumpuan yang berlebih-lebih itu wajar dijangka. Parkir tidaklah penuh sebenarnya. Di persekitaran Dewan Jubli Perak, memang tidak ada ruang tetapi parkir di tingkat bawah masih banyak yang kosong.Namun, Dewan Jubli Perak penuh. Jurugambar sudah menanti di meja makan Press. Berserta beberapa wartawan dan jurugambar dari akhbar berbahasa Cina dan Bernama. Juga ada wartawan dari agensi berita rasmi Indonesia, Antara dan wakil Al-Jazeera (?).Dari meja makan Press, dapat mengesan beberapa rakan pengarang dan penyair dari kalangan generasi muda dan veteran. Juga Mohd Jimadie Shah Othman dari Malaysiakini Bahasa Malaysia (bersama rakan sejawatannya, Abdul Rahim Sabri yang rupa-rupanya sudah berkenalan sejak 2004). Beberapa penyair dan pengarang rasanya tidak wajar didedahkan melainkan mereka memberikan respons kerana mengingatkan negara ini masih rendah apresiasi demokrasinya.Barangkali masih ramai pengarang dan penyair yang hadir. Namun, saya hanya dapat mengecam mereka yang berada di persekitaran meja makan Press. Dalam diam saya mengharapkan, mereka yang berada di bahagian hadapan dan menghampiri tetamu kehormat adalah juga pengarang, penyair, karyawan dan sasterawan. Bukannya, mereka yang tiba-tiba dalam satu malam bergelar karyawan hanya kerana mahu menghimpit tokoh-tokoh besar.Kerana kalau karyawan yang sebenar, tersudut ke belakang dewan hanya kerana meja makan di bahagian hadapan lebih diisi penggiat dan aktivis parti, maka apa gunanya dengan label yang diberikan pada malam ini.Namun, ada ragu mengetuk pemikiran saya. Agak sukar untuk mengenali Malam Karyawan II itu adalah anjuran Kerajaan Negeri atau di bawah payung Keadilan. Meskipun nama penganjurnya jelas Kerajaan Negeri dan pemilihan tempat di bangunan Kerajaan Negeri, isyaratnya lebih memperlihatkan ia majlis anjuran parti. Fenomena yang selalu berlaku di bawah Barisan Nasional apabila garis pemisah antara kerajaan dan parti agak kabur, lalu sering dilangkah-langkahi serta diseberang-seberangi.Ada ucapan wakil karyawan dengan k bukan huruf kapital. Eddin Khoo yang menganggap dilahirkan latar budaya dikotak-kotakkan pada label kaum berpeluang meresap untuk merasai pengalaman budayanya di Kelantan, manakala Datuk Dr Siddiq Fadhil tampil berucap panjang dengan mengutip dan memetik (terlalu) banyak pandangan daripada sasterawan Indonesia. Memang ada bacaan puisi dan persembahan tarian moden (sedikit ngilu mengingatkan baru saja Dr Hassan Ali menolak Islam Hadhari) tetapi ia lebih kepada mengisi masa makan dengan Khalid Jaafar, Hasmi Hashim dan Sasterawan Negara (SN) Datuk (Dr) A Samad Said membacakan puisi.Yang utamanya sudah tentu ucapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Anwar sendiri.Dalam perjalanan pulang, keraguan masih mengetuk saya. Pertama: Di manakah sebenarnya kedudukan pengarang sastera dalam latar politik negara ini yang menuju kepada bipartisan atau sistem dua parti? Apakah harus memilih atau perlu menjadi watchdog kepada dua aliran yang menawarkan diri?Kedua -seperti yang bermain-main dalam pemikiran- apakah Keadilan makin mirip kepada gaya dan amalan politik Umno? Lalu sekira-kiranya ia benar berlaku, apakah nanti rakan politiknya, Pas dan DAP turut diheret sama menuju kepada kemiripan itu?Selesai menulis entri ini, sebagai pengarang kerdil mengharapkan mengkritik Keadilan dan Pakatan Rakyat tidak dianggap dosa politik kerana kita sudah tentu tidak mahu satu lagi projek Barisan Nasional tampil dalam bentuk baru!

karya·oleh· Nazmi Yaakub pada 11:18 0 pengucapan
Genre: ,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?